Sifat Fizikal Rasulullah SAW (6)

Daripada Ibrahim bin Muhammad[1] dari kalangan cucu ‘Ali bin Abi Tolib, katanya: “Dahulunya Ali apabila mensifatkan Rasulullah SAW, beliau akan berkata:

إِبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدٍ مِنْ وَلَدِ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ ، قَالَ : كَانَ عَلِيٌّ إِذَا وَصَفَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالطَّوِيلِ الْمُمَغَّطِ ، وَلا بِالْقَصِيرِ الْمُتَرَدِّدِ ، وَكَانَ رَبْعَةً مِنَ الْقَوْمِ ، لَمْ يَكُنْ بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ ، وَلا بِالسَّبْطِ ، كَانَ جَعْدًا رَجِلا ، وَلَمْ يَكُنْ بِالْمُطَهَّمِ , وَلا بِالْمُكَلْثَمِ ، وَكَانَ فِي وَجْهِهِ تَدْوِيرٌ , أَبْيَضُ مُشْرَبٌ[2] ، أَدْعَجُ الْعَيْنَيْنِ ، أَهْدَبُ الأَشْفَارِ ، جَلِيلُ الْمُشَاشِ وَالْكَتَدِ ، أَجْرَدُ , ذُو مَسْرُبَةٍ ، شَثْنُ الْكَفَّيْنِ وَالْقَدَمَيْنِ ، إِذَا مَشَى تَقَلَّعَ كَأَنَّمَا يَنْحَطُّ فِي صَبَبٍ ، وَإِذَا الْتَفَتَ الْتَفَتَ مَعًا ، بَيْنَ كَتِفَيْهِ خَاتَمُ النُّبُوَّةِ ، وَهُوَ خَاتَمُ النَّبِيِّينَ ، أَجْوَدُ النَّاسِ صَدْرًا ، وَأَصْدَقُ النَّاسِ لَهْجَةً ، وَأَلْيَنُهُمْ عَرِيكَةً ، وَأَكْرَمُهُمْ عِشْرَةً ، مَنْ رَآهُ بَدِيهَةً هَابَهُ ، وَمَنْ خَالَطَهُ مَعْرِفَةً أَحَبَّهُ ، يَقُولُ نَاعِتُهُ : لَمْ أَرَ قَبْلَهُ , وَلا بَعْدَهُ مِثْلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Dahulunya ‘Ali bin Abi Tolib apabila mensifatkan Rasulullah dia akan berkata: “Baginda bukanlah seorang yang amat terlalu tinggi, bukan juga seorang yang rendah, baginda terserlah diantara orang ramai, bukan seorang yang berambut amat kerinting, bukan juga seorang yang berambut lurus, sebaliknya rambut baginda pertengahan antara keduanya, baginda bukan seorang yang gemuk, bukan seorang yang bermuka terlalu bulat, sebaliknya menghampiri bulat, seorang yang putih bercampur merah (yang sedikit), berwarna hitam pekat kedua-dua biji mata, berbulu mata lebat dan panjang, jelas sendi tulang (seperti bahu, lutut dan siku), tidak berbulu di badan, namun terdapat bulu halus dari dada hingga ke pusat, dua tangan dan kaki yang berisi. Apabila berjalan baginda cergas seperti menuruni tempat rendah, apabila berpaling, baginda akan memalingkan seluruh tubuh baginda. Antara dua bahu baginda terdapat cop kenabian, iaitulah cop nabi terakhir[3]. Baginda seorang yang pemurah, seorang bercakap benar, paling lembut budi-pekerti, paling mulia dalam pergaulan, siapa yang memandang baginda kali pertama akan terasa haibah kepada baginda, siapa yang bergaul dengan baginda akan sayang kepada baginda. Yang mensifatkan baginda akan berkata: “Tidak pernah saya melihat seseorang sebelum dan selepas baginda seumpama baginda SAW.”[4]

Makna Ungkapan Dan Perkataan

  • Ungkapan penafian لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالطَّوِيلِ الْمُمَغَّطِ diterjemahkan sebagai: “Baginda bukanlah seorang yang amat terlalu tinggi,” dimana kalimah الْمُمَغَّطِ menunjukkan bersangatan. Ini berdasarkan perkataan al-Ashma’ie yang berkata ketika menerangkan maksud الْمُمَغَّطِ, katanya: “Aku pernah mendengar seorang Arab Badwi berkata dalam percakapannya: تَمَغَّطَ فِيْ نُشَّابَتِه iaitulah bermaksud: “Dia menarik anak-anak panahnya dengan bersangatan.” Jadi ungkapan ini bermaksud baginda SAW bukanlah seorang yang bersangatan tinggi.
  • Ungkapan penafian وَلا بِالْقَصِيرِ الْمُتَرَدِّدِ dimana kalimah الْمُتَرَدِّدِ bermaksud rendah yang tenggelam di tengah-tengah orang ramai. Oleh itu baginda bukan seorang yang rendah

 

  • Ungkapan penafian لَمْ يَكُنْ بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ dimana kalimah الْقَطَطِ bermaksud bersangatan keringting. Jadi baginda bukan seorang yang berambut sangat kerinting.

 

  • Ungkapan كَانَ جَعْدًا رَجِلا dimanaka kalimah رَجِلا bermaksud: bengkok yang sedikit (تَثَنٌّ قَلِيْلٌ). Iaitulah rambut baginda bukan bersangatan kerinting, bukan juga terlalu lurus. Sebaliknya membengkok sedikit.

 

  • Ungkapan penafian وَلَمْ يَكُنْ بِالْمُطَهَّمِ dimana kalimah الْمُطَهَّم bermaksud seorang gemuk dan berisi besar. Justeru ungkapan ini menafikan baginda seorang yang gemuk dan berisi besar.

 

  • Ungkapan penafian وَلا بِالْمُكَلْثَمِ, dimana kalimah الْمُكَلْثَمِ bermaksud bermuka benar-benar bulat. Justeru ungkapan ini menafikan muka baginda benar-benar bulat sebaliknya ia diantara bulan dan bujur. Kerana itu terdapat ungkapan yang menyebut وَكَانَ فِي وَجْهِهِ تَدْوِيرٌ yang menunjukkan muka baginda berbentuk bulat dan sedikit bujur.
  • Manakala ungkapan أَبْيَضُ مُشْرَبٌ bermaksud putih baginda bukan putih bersangatan sebaliknya putih yang bercampur dengan sedikit kemerahan.
  • Ungkapan أَدْعَجُ الْعَيْنَيْنِ pula bermaksud kedua-dua mata baginda bewarna hitam. Manakala أَهْدَبُ الأَشْفَارِ dimana kalimah الأَشْفَارِ adalah bulu yang tumbuh di hujung kelopak mata (bulu mata, sama ada kelopak atas mahupun bawah), dimana baginda memiliki kedua bulu mata yang panjang.
  • Manakala ungkapan جَلِيلُ الْمُشَاشِ وَالْكَتَدِ dimana kalimah الْمُشَاشِ bermaksud hujung tulang, kerana itu diterjemahkan sebagai jelas sendi tulang (baginda). Manakala kalimah الْكَتَدِ adalah himpunan dua bahu. iaitulah bermaksud lebar antara dua bahu baginda.
  • Kalimah أَجْرَدُ bukan bermaksud berbulu badan yang banyak. Sebaliknya tubuh badan baginda disifatkan sebagai ذُو مَسْرُبَةٍ iaitulah memiliki bulu halus yang tumbuh menuruni dari bahagian dada ke pusat.
  • Ungkapan إِذَا مَشَى تَقَلَّعَ memaksudkan baginda berjalan dengan penuh kecergasan. Tidak seperti memberatkan langkah kaki, seperti berjalan menuruni kawasan rendah.
  • Manakala ungkapan وَإِذَا الْتَفَتَ الْتَفَتَ مَعًا bermaksud apabila baginda berpaling ke belakang, baginda akan memalingkan keseluruhan tubuh badan baginda. Ia termasuk sifat santun dimana baginda tidak hanya memalingkan muka sahaja sedangkan tubuh badan masih menghadap ke hadapan. Namun jika memandang sesuatu ke arah kanan atau kiri, ia tidak termasuk dalam dalam maksud ungkapan ini.
  • Ungkapan بَيْنَ كَتِفَيْهِ خَاتَمُ النُّبُوَّةِ bermaksud di belakang iaitulah antara dua bahu baginda terdapat cop kenabian. Cop kenabian tersebut adalah potongan daging yang timbul dengan jelas. Akan dijelaskan nanti.
  • Ungkapan أَجْوَدُ النَّاسِ صَدْرًا bermaksud luas dan berlapang dada, jauh dari sifat membebani dan menyukarkan.
  • Ungkapan وَأَصْدَقُ النَّاسِ لَهْجَةً iaitulah yang paling bercakap benar. Semenjak baginda kecil sememangnya dikenai sebagai seorang yang benar (الصادق) dan dipercayai (الأمين).
  • Ungkapan وَأَلْيَنُهُمْ عَرِيكَةً di mana kalimah العَرِيكَةً bermaksud tabiat dan budi pekerti. Dimana baginda adalah seorang yang lembut atau lunak tabiat dan budi pekerti. Baginda bukan seorang yang kasar dan keras. Sebaliknya seorang yang lembut, lunak, berlapang dada, tawadhu’ dan mudah urusan.
  • Manakala ungkapan وَأَكْرَمُهُمْ عِشْرَةً bermaksud seorang yang mulia pergaulan, perkawanan dan persahabatan.
  • Ungkapan مَنْ رَآهُ بَدِيهَةً هَابَهُ bermaksud sesiapa yang melihat baginda buat kali pertama akan berasa haibah iaitulah berasa takut disebabkan rasa hormat yang dikurniakan oleh Allah kepada sesiapa yang melihat baginda.
  • Ungkapan وَمَنْ خَالَطَهُ مَعْرِفَةً أَحَبَّهُ menunjukkan sesiapa yang bersahabat, berjalan dengan baginda dan merapati baginda akan rasa sayang kepada baginda SAW. Hal ini demikian kerana dia tidak akan dapati dari baginda melainkan sesuatu yang mendorongnya supaya menyayangi baginda disebabkan akhlak mulia dan elok pergaulan baginda SAW. Telah benarlah Allah yang berfirman:

Maksudnya: “maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Ali Imran: 159)

 

[1] Anak kepada Muhammad bin al-Hanafiah

[2] Bermaksud warna putih yang bercampur sedikit kemerahan.

[3] Seperti firman Allah dalam surah al-Ahzab: 40

[4] Diriwayatkan oleh al-Tirmizi di dalam al-Manaqib bilangan 3742.  Beliau berkata: “Hadis Hasan Gharib, Isnadnya tidak bersambung.” Al-Albani berkata: “Tiada wajah untuk menghasankan isnad riwayat ini yang inqita’ (terputus). Bagaimana mungkin sedang di dalamnya ada ‘Umar bin ‘Abdullah maula Ghufrah, dan beliau adalah lemah (dhoief) sepertimana yang terdapat di dalam al-Taqrib. Dari jalannya juga dikeluarkan oleh Ibn Sa’ad 1/410. Namun al-Syeikh ‘Abdul Razak bin ‘Abdul Muhsin al-Badr pula berkata: “Di dalam isnadnya ada pertikaian, (kerana) ‘Umar bin Abdullah maula Ghufrah adalah Lemah. Pada isnadnya juga terdapat inqita’ (terputus) diantara Ibrahim bin Muhammad dengan ‘Ali RA. Kerana itu penulis (al-Tirmizi) menganggapnya ada illah di dalam kitabnya al-Jami’ (3638) ketika meriwayatkannya kemudian menyatakan di hujungnya: “Hadis ini isnadnya tidak bersambung.” Adapun yang terdapat di dalam sebahagian naskhah (kitab Jami’ yang lain) al-Tirmizi, beliau berkata: “Hadis ini Hasan Gharib, Isnadnya tidak bersambung.” (ungkapan: Hadis ini Hasan Gharib) adalah satu kesilapan dari pihak para penukil (kerana) ia bertentangan dengan perkataan al-Tirmizi: “Isnadnya tidak bersambung.” Mereka yang menukilkan ungkapan ini daripada al-Imam al-Tirmizi, seumpama al-Hafidz al-‘Iraqi dan selain beliau, dimana tiada tambahan ini (iaitulah tambahan: Hadis ini Hasan Gharib). Maka hadis ini adalah Lemah isnadnya. Akan tetapi lafaz-lafaznya saling sokong menyokong.” Lihat Syarh Syamail al-Nabi SAW.


Cetak  
Wallahu a'lam