Terjemahan Salah Terhadap Maksud Potongan Hadis: "Cintakan Dunia & Takutkan Mati"

Menterjemahkan potongan hadis: حب الدنيا وكراهية الموت sebagai: "Cintakan dunia dan takutkan mati" adalah terjemahan yang tidak tepat.
Takutkan mati pada asasnya adalah sikap yang perlu ada, sehingga dengan rasa takut itu, kita membuat persiapan untuk menghadapinya dengan segera bertaubat dan memperelokkan amalan.
 
Seorang Imam dalam ilmu tafsir iaitulah alImam Ismail bin 'Abd alRahman alSuddiy (W127H) ketika menafsirkan firman Allah:
 
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُور
 
Maksudnya: "(Dialah tuhan) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu semua, siapakah yang lebih baik amalannya. Dialah tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (alMulk: 2)
 
Beliau (alSuddiy) RH berkata:
 
أي: أكثركم للموت ذكراً، وله أحسن استعداداً، ومنه أشد خوفاً وحذراً
 
Maksudnya: "iaitulah (Allah hendak menguji siapakah) orang yang lebih banyak mengingati mati dan memperelokkan persiapan untuk mati dan bersangatan takut dan berhati-hati terhadapnya." (Lihat Faidh alQadir Syarh alJami' alSaghir 2/84)
Kerana itu terjemahan yang lebih tepat untuk potongan hadis: حب الدنيا وكراهية الموت pada pandangan saya ialah: "Cintakan dunia dan bencikan kematian." Inilah terjemahan yang lebih tepat pada bahasa dan makna yang dikehendaki oleh hadis, bagi menggambarkan mereka yang tenggelam dalam kelazatan dunia dan hanya memikirkan jalan memuaskan nafsu semata-mata, lalu menjadikan mereka tidak suka dan benci sekalipun untuk mengingati kematian. 

Cetak  
Wallahu a'lam