Hadis Palsu Tentang Kopi

Soalan: 

Ustaz betulkah ada hadis yang menyatakan sesiapa yang mati, di dalam perutnya ada kopi dia akan masuk ke dalam syurga?

Jawapan:

Kenyataan tersebut PALSU dan DUSTA.

Kopi atau qahwah yang disebut juga sebagai al-Bunnu البُنُّ belum diketahui di zaman Nabi SAW. Sebaliknya kopi diketahui dalam masyarakat Islam sebelum atau hampir kurun ke-10 Hijriy.  Ketika minuman kopi tersebar dalam kalangan masyarakat Islam, ia menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama, apakah ia halal atau haram yang akhirnya kesemua para ulama bersetuju ia termasuk dalam minum yang halal. Saya nukilkan perkataan al-Syeikh Jamal al-Din al-Qasimi di dalam risalahnya yang bertajuk Risalah Fi al-Syai wa al-Qahwah wa al-Dukhan, hal.: 18:

"Fasal kelima: berkaitan perkara yang diputuskan halal meminumnya. Kata al-Syihab Ibn Hajar di dalam al-I’aab (الإيعاب): "berlaku sebelum menghampiri kurun ke-10 (tersebarnya) minuman yang dibuat dari kulit al-Bunn yang dinamakan qahwah (kopi), panjang perbezaan pendapat ulama tentangnya dan yang benar ianya adalah harus selama tidak ada perkara lain yang menjadikan hukumnya haram." Beliau telah panjangkan perbicaraan tentangnya dengan baik. al-‘Allamah al-Khalili di dalam fatwanya pula berkata:

“Adapun kopi, ringkasnya adalah harus mengambil dan meminumnya sama seperti perkara-perkara harus yang lain umpama susu masam, madu dan seumpamanya kerana termasuk di dalam firman Allah SWT: “Katakan tidak aku dapati dalam apa-apa yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang haram memakannya… (sehingga ke akhir ayat). Maka jangan melihat kepada orang yang mengatakan kopi itu haram, dakwaannya ini amat lemah, lebih lemah dari sarang labah-labah.”


Cetak  
Wallahu a'lam