Unta Nabi SAW Disaingi, Demikianlah Peraturan Di Dunia

Sabda Nabi SAW:

إن حقًا على اللهِ عزَّ وجلَّ ، أن لا يَرْتَفِعَ شيءٌ مِن الدنيا إلا وضعَه

Maksudnya: “Sesungguhnya hak Allah Azza Wa Jalla bahawa tidak ada sesuatu yang menjadi tinggi di dunia, melainkan Dia akan merendahkannya.” (HR Abu Daud daripada Anas bin Malik RA. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)

Dalam riwayat lain, Anas bin Malik RA berkata:

كانَ للنبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ناقَةٌ تُسَمَّى العَضْباءَ، لا تُسْبَقُ - قالَ حُمَيْدٌ: أوْ لا تَكادُ تُسْبَقُ - فَجاءَ أعْرابِيٌّ علَى قَعُودٍ فَسَبَقَها، فَشَقَّ ذلكَ علَى المُسْلِمِينَ حتَّى عَرَفَهُ، فقالَ: حَقٌّ علَى اللَّهِ أنْ لا يَرْتَفِعَ شيءٌ مِنَ الدُّنْيا إلَّا وضَعَهُ

Maksudnya: “Dahulunya Nabi SAW mempunyai seekor unta bernama al-‘Adhbaa’ yang tidak dapat disaingi kelajuannya.” Kata Humaid: “Atau hampir-hampir tidak dapati disaingi.” Satu hari datang seorang Arab Badwi menunggang Qa‘ud[1], lalu berjaya menyaingi unta Nabi SAW. Perkara itu sukar diterima oleh umat Islam sehingga Nabi SAW dapat mengenalinya, seraya baginda bersabda: “Satu hak ke atas Allah untuk tidak terangkat sesuatu dari urusan dunia, melainkan Dia akan merendahkannya pula.” (HR al-Bukhari di dalam Sahihnya)

Pengajaran

Termasuk di dalam sunnatullah ialah apa-apa yang memiliki kedudukan tinggi dari kalangan makhluk-Nya, akan beriringan dengan kejatuhan dan kerendahan. Sesuatu kedudukan di dunia ini tidak akan kekal untuk seseorangpun.

 ----------------------

[1] Qa‘uud dengan dibaca fathah huruf Qaf ialah unta yang telah mula dapat dinaiki berusia antara dua tahun hingga masuk enam tahun. (Lihat Syarah al-Zarqani (W1122H) ‘Ala al-Mawahib al-Laduniyyah bi al-Minahi al-Muhammadiyyah oleh al-Qasthallani (923H) 5/110)


Cetak  
Wallahu a'lam