Soalan:
Dari Aisyah dia berkata, “Bala yang pertama-tama sekali berlaku kepada umat ini sesudah kepergian Rasulullah ialah kekenyangan perut! Sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan merajalela lah syahwatnya!” (HR. Bukhari).
Betul ke hadith ni riwayat Bukhari, ustaz?
Ada matan Arabnya ustaz?
Jawapan:
Hadis di atas BUKAN riwayat alBukhari. Ia juga BUKAN sebuah hadis yang Sahih.
Ia ada disebut oleh Abu Tolib alMakki di dalam Qut alQulub 2/283, Abu Hamid alGhazali di dalam Ihyaa' Ulum alDin 3/86 dan alSon'ani di dalam Subul alSalam 2/652 yang dinisbahkan kepada 'Aisyah RA tanpa memiliki Sanad, dengan lafaz:
أول بدعة حدثت بَعْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الشبع
Maksudnya: "Bid'ah terawal yang berlaku selepas (kewafatan) Nabi SAW adalah bidaah kekenyangan."
Diriwayatkan juga daripada 'Aisyah RA oleh Ibn Abi alDunya di dalam kitab alJuu' (الجوع) halaman: 43, daripada Ghassan bin 'Ubaid alAzdiy alMausiliy, katanya: "telah menceritakan kepada kami, Hamzah alBasri daripada Hishah bin 'Urwah daripada bapanya yang berkata: "telah berkata 'Aishah RA:
إِنَّ أَوَّلَ بَلَاءٍ حَدَّثَ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ بَعْدَ قَضَاءِ نَبِيِّهَا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الشِّبَعُ ، فَإِنَّ الْقَوْمَ لَمَّا شَبِعَتْ بُطُونَهُمْ سَمِنَتْ أَبْدَانُهُمْ ، فَتَصَعَّبَتْ قُلُوبُهُمْ ، وَجَمَحَتْ شَهَوَاتُهُمْ
Maksudnya lebih kurang sama dengan terjemahan yang ada di dalam soalan.
Darjat Hadis:
Hadis ini Dhoief (Lemah) disebabkan Ghassan bin 'Ubaid telah dinilai sebagai seorang perawi lemah oleh al-Imam Ahmad. Ibn 'Adiy pula berkata tentangnya: "Dan kelemahan hadisnya adalah suatu yang jelas." (Lihat alKamil Fi Dhu'afaa' alRijal 7/115)
Kerana itu kata alAlbani di dalam Dhoief alTarghib 1239 tentang riwayat ini: "Mungkar Mauquf"