Hukum Riwayat Hadis Palsu

Sepakat para ulama mengatakan Haram meriwayatkan hadis Palsu jika mengetahui kepalsuannya samada yang berkaitan dengan hukum-hakam, kisah-kisah, al-Targhib dan al-Tarhib dan seumpamanya melainkan dinyatakan kepalsuannya. Kata al-Imam Ibn al-Solah:

اعْلَمْ أَنَّ الْحَدِيثَ الْمَوْضُوعَ شَرُّ الْأَحَادِيثِ الضَّعِيفَةِ ، وَلَا تَحِلُّ رِوَايَتُهُ لِأَحَدٍ عَلِمَ حَالَهُ فِي أَيِّ مَعْنًى كَانَ إِلَّا مَقْرُونًا بِبَيَانِ وَضْعِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa hadis Palsu adalah seburuk-buruk hadis-hadis Lemah, tidak halal meriwayatkannya bagi seseorang yang mengetahui kepalsuannya dalam apa sahaja makna melainkan disertai dengan penjelasan kepalsuannya.” (al-Muqaddimah 1/98)

Kata Imam al-Nawawi RH:

واعلم أن تعمد وضع الحديث حرام بإجماع المسلمين الذين يعتد بهم في الإجماع

Maksudnya: “Dan ketahuilah oleh mu bahawa sengaja memalsukan hadis adalah haram dengan ijmaa’ kaum muslimin  yang dipegang dengan ijmaa’ mereka.” (Syarh al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim 1/56. Dar Ihyaa’ al-Turath al-‘Arabiy, Beirut 1393H)

Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang memberi ancaman kepada sesiapa yang memalsukan hadis dari baginda. Abu Hurairah RA meriwayatakan baginda SAW bersabda:

من كذب علي متعمدًا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya: “Sesiapa yang berdusta atas nama ku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.” (Hadis Mutawatir riwayat Musim)

Al-Mughirah bin Syu’bah pula meriwayatkan baginda bersabda:

إن كذباً علي ليس ككذب على أحد، فمن كذب علي متعمداً فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya: “Sesungguhnya dusta ke atasku, bukan seperti dusta ke atas seseorang lain, sesiapa yang berdusta ke atasku dengan segaja, maka siapkanlah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis Mutawatir riwayat al-Bukhari – Kitab al-Jana’iz – Bab Ma Yukrah Min al-Niyahah ‘Ala al-Mayyit)


Cetak  
Wallahu a'lam