Hadis 'Amr bin Syu'aib bin Muhammad bin 'Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash

‘Amr bin Syu‘aib daripada bapa dan daripada datuknya. Silsilah (rantaian sanad) ini, di mana ‘Amr bin Syu‘aib bersendirian meriwayatkannya daripada bapa dan daripada datuknya diperselisihkan di kalangan ulama. Di kalangan ulama ada yang menilainya sebagai sahih secara mutlaq, sebahagian lain pula menilainya sebagai dhaief secara mutlaq dan ada pula yang meletakkan perincian. Kesimpulannya ialah riwayat ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya dan daripada datuknya adalah riwayat yang dhoief[1] kerana alasan-alasan di bawah[2]:

  • Berlaku pertembungan antara al-Jarh dan al-Ta’dil terhadap ‘Amr bin Syu‘aib. Namun al-Jarih adalah lebih ramai dari al-Mu’addil. Sedang suatu yang diperakui di dalam ‘Ilm al-Hadis bahawa apabila bertembung antara al-Jarh dan al-Ta’dil, maka al-Jarh didahulu dan diutamakan jika al-Jarih lebih ramai berdasarkan ijmak. Demikian juga jika sama al-Jarh dan al-Ta’dil seperti yang dinyatakan oleh al-Subki[3].
  • Di kalangan ulama thiqat yang masyhur, yang meriwayatkan hadis dari ‘Amr bin Syu’aib adalah Ayyub al-Sakhtiyani. Terdapat nukilan dari beliau yang memberi peringatan terhadap riwayat ‘Amr bin Syu’aib, daripada bapa dan datuknya, iaitulah perkataan beliau kepada al-Laith bin Abi Sulaim:

شد يدك بما سمعت من طاووس ومجاهد وإياك وجواليق وهب بن منبه وعمرو بن شعيب فإنهما صاحبا كتب يرويان عن الصحف

Maksudnya:  “Genggam tanganmu (bersungguh-sungguh) dengan apa yang kamu dengar dari Tawus dan Mujahid. Jauhi kamu dari Jawaliq Wahab bin Munabbih dan ‘Amr bin Syu’aib, kerana mereka berdua pemilik kitab-kitab yang meriwayatkan dari lembaran kitab semata-mata.”[4]

  • Ishak bin Rahawaih ketika menghukum tiqah kepada ‘Amr bin Syu’aib meletakkan syarat, hendaklah rawi yang mengambil riwayat dari ‘Amr seorang yang thiqah. Akan tetapi sukar diterima riwayat seorang thiqah dari seorang rawi dhoief menjadikan rawi dhoief itu thiqah? Sedangkan rawi itu sendiri lemah. Syarat ini termasuk perkara yang amat ganjil kerana berapa ramai rawi thiqah meriwayatkan dari rawi dhoief, namun kedhaiefan rawi dhaief kekal seperti riwayat Sufyan al-Thauri (thiqah) daripada ‘Abdullah bin Muslim bin Hurmuz al-Makki (dhaief) dan selainnya.
  • Ramai dari kalangan imam al-Jarh wa al-Ta’dil yang menjelaskan bahawa riwayat ‘Amr bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya adalah dhaief kerana riwayat tersebut dalam bentuk Wijadah Sahifah (وجادة صحيفة), iaitulah Syu’aib tidak mendengarnya sendiri dari datuknya ‘Abdullah bin ‘Amr. Antara kenyataan tersebut ialah:
  • Kata Sufyan bin ‘Uyainah RH:

حديث عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده فيه عند الناس شيء

Maksudnya:  “Hadis ‘Amr bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya di sisi orang ramai (ulama) ada masalah.”

  • Kata ‘Ali bin al-Madini tentang ‘Amr bin Syu’aib:

ما روى عن أبيه عن جده فإنما هو كتاب وجده فهو ضعيف

Maksudnya: “Apa yang dia (‘Amr bin SYu’aib) dari bapanya, dari datuknya adalah dia riwayat dari kitab yang diperolehinya. Ia riwayat yang dhaief.”

  • Kata Yahya bin Ma’ien:

ما روى عن أبيه عن جده لا حجة فيه وليس بمتصل وهو ضعبف من قبل أنه مرسل وجد شعيب كتب عبد الله بن عمرو فكان يرويها إرسالا...

Maksudnya: “Apa yang dia riwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya bukan hujah dan bukan muttasil, ia riwayat yang dhaief dari sudut ia mursal, Syu’aib mendapati kitab-kitab ‘Abdullah bin ‘Amr, maka beliau meriwayatkannya dalam bentuk irsal…”

  • Ketika Abu Daud ditanya tentang ‘Amr bin Syu’aib:

عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده عندك حجة؟ قال: لا، ولا نصف حجة

Maksudnya: “(riwayat) ‘Amr bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya hujah di sisimu?” beliau menjawab: “tidak, sekalipun hujah yang setengah.”[5]

  • al-Jarh terhadapnya mufassar, di mana sebahagian ulama berkata:

إنه كان يروي عن صحيفة وروايته لها وجادة بلا سماع. والصحف يدخل في روايتها التصحيف لا سيما في ذلك العصر إذ لا شكل ولا نقط بخلاف الأخذ من أفواه الرجال

Maksudnya:  “Beliau meriwayatkan dari sahifah, riwayat beliau dari sahifah itu secara wijadah tanpa mendengar secara langsung. Lembaran-lembaran sahifah terdedah dalam periwayatannya al-Tashif, terutamanya pada zaman dahulu di mana tulisan di dalam lembaran tidak memiliki tanda dan titik, berbeza jika hadis diambil dari mulut para periwayat hadis.”

            Di kalangan sebahagian ulama ada yang mengatakan ‘Amr bin Syu‘aib mendengar hadis yang sedikit dari datuknya, namun beliau meriwayatkan banyak hadis yang tidak didengarnya sendiri dari datuknya, menjadikan hadisnya mursal.   

  • Telah sabit tindakan ‘Amr bin Syu‘aib dan bapanya yang meriwayatkan hadis dari Sahifah. Sepatutnya periwayatan dari sahifah atau buku hendaklah dinyatakan dengan jelas periwayatan tersebut dari buku milik seseorang. Namun ‘Amr bin Syu‘aib meriwayatkannya dengan al-‘An’anah. Periwayatan seperti ini termasuk dalam kumpulan al-Tadlis al-Qabih seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Salah RH berkaitan dengan al-Wijadah dengan katanya:

وربما دلس بعضهم فذكر الذي وجد خطه، وقال فيه: "عن فلان أو قال فلان" وذلك تدليس قبيح إذا كان بحيث يوهم سماعه منه

Maksudnya: “Kadang-kala sebahagian mereka melakukan tadlis, dia menyebut apa-apa yang didapatinya dari tulisan dengan berkata: “daripada fulan atau telah berkata fulan”, demikian itu adalah tadlis qabih jika memberi sangkaan dia mendengar dari orang tersebut.”

Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani RH:

فعلى مقتضى قول هؤلاء يكون تدليسا، لأنه ثبت سماعه من أبيه، وقد حدث عنه بشيء كثير مما لم يسمعه منه مما أخذه عن الصحيفة بِعَن، وهذه إحدى صور التدليس، والله أعلم

Maksudnya: “Berdasarkan kandungan perkataan mereka (para ulama nuqqad), menjadikan beliau seorang tadlis, kerana telah sabit beliau mendengar hadis dari bapanya, namun beliau telah meriwayatkan dari bapanya sejumlah besar hadis yang tidak didengarnya sebaliknya didapatinya dari sahifah dengan periwayatan ‘an. Hal ini adalah salah satu bentuk al-Tadlis.”

            Justeru berdasarkan kaedah yang diperakui di dalam Ulul al-Hadis bahawa seorang thiqah yang melakukan tadlis, kemudian meriwayatkan hadis dalam bentuk tidak menggunakan lafaz jelas menunjukkan al-Simaatau al-Tahdis atau lafaz seumpama keduanya, maka riwayatnya itu adalah lemah. Dalam permasalahan ini, ‘Amr dan bapanya Syu‘aib, kedua-dua mereka telah dikritik oleh para nuqqad hadis sebagai melakukan tadlis ketika meriwayatkan dari sahifah.

  • Terbanyak secara jelas dalam lebih dari satu riwayat bahawa yang dimaksudkan dengan “datuknya” dalam ungkapan: ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya” adalah merujuk kepada datuk ‘Amr yang bernama Muhammad bukan datuk Syu‘aib yang bernama ‘Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash, seorang sahabat Nabi SAW yang masyhur). Muhammad adalah seorang tabi‘ie. Dari sudut ini juga riwayat tersebut menjadi mursal, atas andaian “datuknya” itu merujuk kepada Muhammad.
  • Wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama, apakah Syu‘aib mendengar dari datuknya (Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash). Bukti-bukti yang menunjukkan Syu‘aib ada mendengar hadis dari datuknya ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash tiada dalam bentuk yang jelas kerana kesemuanya dengan lafaz mu’an’anah. Dalam masa yang sama Syu‘aib juga ditohmah melakukan tadlis.  Terdapat dua kemungkinan, sama ada beliau melakukan tadlis dari sahifah datuknya (Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash), atau beliau benar-benar mendengar hadis-hadis tersebut dari datuknya. Namun dua kemungkinan ini tidak dapat dilakukan pentarjihan disebabkan, ada kemungkinan Syu‘aib menukilkan dari sahifah dengan menggunakan lafaz “daripada datukku ‘Abdullah (عن جدي عبد الله) atau “daripada ‘Abdullah (عن عبد الله)”, yang bermaksud beliau menukilkannya berdasarkan apa yang didapatinya di dalam sahifah datuknya ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash yang berkata: “Aku mendengar Nabi SAW…” atau: “Aku melihat Nabi SAW..” sedangkan Syu‘aib, tidak mendengar sendiri hadis itu daripada datuknya Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA.[6]

------------------------------------- 

[1] Imtinan al-‘Aliy bi ‘Adam Zakah al-Huliy oleh Farih bin Salih al-Bahilal, cetakan pertama 1411H/1991M, Dar al-‘Asimah, Riyadh hal. 92

[2] Lihat Imtinan al-Aliy bi ‘Adam Zakah al-Huliy

[3] Qaedah Fi al-Jarh wa al-ta’dil oleh al-Subki, hal. 50

[4] Al-Jarh wa al-Ta’dil oleh Ibn Abi Hatim 6/238 dan Siyar A’lam al-Nubala oleh al-Zahabi 5/178

[5] Sila lihat Imtinan al-‘Aliy bi ‘Adam Zakah al-Huliy, hal. 92-94 senarai 13 nama imam al-Jarh wa al-Ta’dil bersama komentar mereka terhadap Amr bin Syu’aib.

[6] Terjemahan beserta olahan semula dari Imtinan al-‘Aliy bi ‘Adam Zakah al-Huliy dari halaman 90-97


Cetak  
Wallahu a'lam