Soalan:
Assalamualaikum Ustaz.
Ustaz nak tanya tentang sedekah di waktu subuh. Ada saya terbaca saranan bersedekah di waktu Subuh sebelum waktu Syuruk dengan bersandarkan hadis tentang malaikat akan mendoakan mereka yang bersedekah di waktu pagi dan amalan sahabat Abu Bakar As Sidiq yang bila ditanya sahabat, siapa yang sudah buat beberapa perkara itu hanya Abu Bakar yang telah melakukan semua amalan yang Nabi SAW tanya.
Ada yang menyarankan disediakan satu tabung khusus untuk subuh itu niatkan untuk sedekah, cukup sebulan salurkan ke mana-mana yang memerlukan dan duit dalam tabung Cuma simbolik sahaja. Sebab sedekah nanti akan ditransfer guna duit dalam akaun.
Jawapan:
Soalan tentang sedekah di waktu Subuh berkaitan dengan hadis tentang malaikat yang mendoakan mereka yang bersedekah di waktu pagi. Ya sememangnya terdapat hadis yang sedemikian, iaitulah hadis yang disepakati oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim akan kesahihan hadis tersebut, di mana nabi SAW bersabda:
ما مِن يَومٍ يُصْبِحُ العِبادُ فِيهِ، إلَّا مَلَكانِ يَنْزِلانِ، فيَقولُ أحَدُهُما: اللَّهُمَّ أعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، ويقولُ الآخَرُ: اللَّهُمَّ أعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Tiada satupun seseorang hamba itu berada pada pagi hari melainkan akan ada dua malaikat yang turun ke bumi, dan salah satu malaikat itu akan berdoa dengan berkata: “Ya Allah, kurniakanlah kepada orang yang mengeluarkan infaq, gantian yang lebih baik dari infaq yang dikeluarkannya. Manakala malaikat yang satu lagi akan berkata dengan berdoa: “Ya Allah, berikanlah kepada orang yang tidak bersedekah itu kerugian.”
Jadi berdasarkan hadis ini sebahagian orang beranggapan ada anjuran untuk bersedekah pada awal pagi. Namun kita tak boleh nafikan juga dalam hadis lain, antaranya diriwayatkan oleh Imam Ahmad demikian juga oleh Ibn Hibban di dalam Sahih beliau dan hadis ini dinilai Sahih oleh al-Albani, hadis Abu al-Dardah, yang menyebut lebih kurang sama, yang ada menyatakan dua malaikat turun ketika hampir matahari nak tenggelam. Kedua malaikat itu juga membacakan doa yang sama iaitulah: اللَّهمَّ أعطِ مُنفقًا خلَفًا ، وأعطِ مُمسكًا تلفًا yang bermaksud: “Ya Allah, berikanlah kepada orang yang mengeluarkan infaq itu gantian dan berikanlah kepada orang yang kedekut itu kerugian.”
Dua hadis ini menunjukkan doa dua malaikat itu berlaku pada awal pagi demikian juga berlaku pada penghujung siang, iaitulah ketika matahari hampir tenggelam. Hadis ini menunjukkan kita boleh bersedekah pada bila-bila masa sama ada di awal pagi atau lewat siang. Tak semestinya kita kena sediakan tabung, tak perlu dikaitkan kita letak tabung untuk simbolik sedekah pada waktu pagi, supaya termasuk dalam doa malaikat. Sebenarnya semua orang yang melakukan infaq dan sedekah pada bila-bila masa, termasuk dalam doa malaikat seperti yang terdapat di dalam hadis.