Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh
Soalan yang bertanya, saya selalu mendapat video wasap dan pernah mendengar ceramah dari ustaz dan ustazah yang terkenal yang mengajak amalan membaca surah al-Fatihah untuk disedekahkan pahala kepada diri sendiri, ibu-bapa, kepada para Nabi dan Muslimin dan muslimat. Adakah ada ayat quran dan hadis yang menyarangkan perkara tersebut? adakah ianya sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat? Saya amat takuti jika perkara ini hanya diada-adakan, mohon penjelasan ustaz.
Jawapan:
Untuk menjawab soalan ini, yang pertama apakah ada ayat al-Quran atau hadis yang menganjurkan amalan tersebut? Maka saya jawab, tidak ada sesuatu hadis dari Nabi SAW, tidak ada juga dari sunnah Nabi SAW yang menganjurkan hal sedemikian. Bahkan sebenarnya amalan seperti itu adalah satu amalan yang ganjil dan pelik. Cuba kita tengak bagaimana mereka anjurkan supaya membaca surah al-Fatihah untuk disedekahkan kepada diri sendiri? Kenapa perlu sedekahkan pahala kepada diri sendiri? Sebenarnya seseorang yang membaca surah al-Fatihah yang merupakan salah satu surah di dalam al-Quran, sesiapa yang membacanya dengan niat beribadah dengan tilawah al-Quran, dia berhak mendapat pahala.
Di dalam hadis yang Sahih Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tidak katakan الم itu satu huruf, bahkan ا itu satu huruf, ل itu satu huruf dan م itu satu huruf pula. Maksudnya “Aku tidak katakan الم itu satu huruf, bahkan ا itu satu huruf, ل itu satu huruf dan م itu pula satu huruf. Setiap satu huruf itu akan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh.”
Hadis ini menunjukkan sesiapa yang membaca al-Quran dengan niat yang betul akan mendapat pahala bacaannya tersebut, tak perlu dia niatkan sedekah pahala kepada dirinya sendiri.
Kemudian isu sedekah pahala kepada ibu-bapa. Yang ini ada perbezaan pendapat di kalangan ulama. Di mana majoriti ulama mengatakan boleh sedekah pahala bacaan al-Quran kepada sesiapa sahaja yang telah meninggal dunia sama ada ibu-bapa atau lainnya. Tetapi pandangan ini berbeza dengan pandangan masyhur al-Imam al-Syafie seperti yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir RH. Yang penting isu ini isu khilafiah, iaitulah isu sedekah pahala bacaan al-Quran kepada mayat, di mana para ulama berbeza pandangan. Lalu tidak perlu dibesarkan.
Kemdian perkara ketiga iaitulah sedekah pahala kepada para nabi. Ini juga satu perkara yang amat pelik dan ganjil. Tidakkah mereka sedar baginda SAW ketika hidup tidak menerima pemberian sedekah? Tidakkah kita merasa malu nak memberi sedekah pahala kepada Nabi SAW? seperti baginda amat-amat mengharapkan bantuan daripada kita? Nabi SAW dan para nabi lainnya tidak memerlukan pahala daripada kita. Mereka telah memperolehi pahala yang berlipat ganda di sisi Allah. Seseorang yang membaca al-Quran, sekalipun dia tak teringatkan kepada Nabi SAW, pahala bacaannya tetap sampai kepada nabi SAW kerana melalui bagindalah manusia dapat membaca al-Quran. Nabi SAW sama sekali tidak memerlukan sedekah daripada kita. Sebaliknya kitalah memerlukan petunjuk dari baginda untuk memastikan amalan kita diterima oleh Allah SWT.
Demikian juga disebut di dalam soalan, sedekahkan pahala kepada Muslimin dan Muslimah ia sama seperti isu sedekah pahala bacaan al-Quran kepada ibu dan bapa, di mana para ulama berbeza pandangan.