Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.
Soalan: Bolehkah Ustaz terangkan maksud sebenar Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu ketika menghidupkan salat Tarawih secara berjama'ah, beliau berkata: "al-Bid‘atu Hazihi" yang bermaksud: sebaik-baik bid'ah adalah yang ini?
Jawapan:
Perkataan ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau menghidupkan semula solat Tarawih secara berjemaah, di mana sebahagian riwayat menyebut ‘Umar berkata: نعمت البدعة هذه, sebahagian riwayat lain sebut: نعم البدعة هذه,. Hadis ini antaranya diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullah di dalam kitab Sahih beliau.
Baik, perkataan: نعمت البدعة هذه bermaksud lebih kurang: “Sebaik-baik bid'ah adalah yang ini.” Sedangkan salat Tarawih berjamaah itu telah dilakukan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di awal Ramadhan, lebih kurang dalam tiga atau empat hari. Kemudian apabila semakin hari semakin ramai jemaah para sahabat berhimpun untuk menunaikan solat Tarawih bersama dengan Rasulullah, maka Rasulullah tidak keluar dari rumah baginda untuk mengimamkan solat mereka. Kerana apa? kerana Rasulullah bimbangkan solat Tarawih itu akan difardhukan ke atas umat Baginda dan akhirnya akan memberi kesusahan dan kepayahan juga keberatan kepada umat baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Lalu apabila Rasulullah wafat, kebimbangan difardhukan solat Tarawih itu tiada lagi. Maka solat Tarawih berjemaah dilakukan semula oleh ‘Umar bin al-Khattab. ‘Umar bin al-Khattab radiallahuanhu berdasarkan riwayat itu berkata: "نعمت البدعة هذه, sebaik-baik bid'ah adalah yang ini.”
Jadi timbul persoalan, apa maksud perkataan 'Umar: "sebaik-baik bid'ah yang ini". Para ulamak berbeza pandangan. Kalau kita tengok Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah, beliau mengatakan maksud: نعمت البدعة هذه dari perkataan ‘Umar itu, beliau membawa maksud البدعة اللغوية iaitulah bidaah dari sudut bahasa, bukan البدعة الاصطلاحية akan tetapi ‘Umar maksudkan bidaah dari sudut bahasa, iaitulah dari sudut bahasa, sesuatu yang tidak lagi menjadi kebiasaan, lalu diwujudkan semula. Ini bid‘ah dari sudut bahasa. Manakala al-Imam al-Syatibi RH pula berpandangan, perkataan ‘Umar itu bukan memaksudkan البدعة اللغوية, tetapi البدعة المجازية iaitulah bidaah dari sudut majaz (kiasan) sahaja yang dimaksudkan oleh ‘Umar. Inilah pandangan Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dengan pandangan al-Imam al-Syatibi rahimahumullah, semoga Allah Ta'ala merahmati mereka berdua.
Namun ada satu pandangan lagi yang menarik, yang disebut oleh al-Syeikh Dr. Abdul Karim Khudhair, seorang tokoh yang saya rasa seorang tokoh contoh ataupun tokoh yang layak menjadi ikutan, atau tokoh yang sepatutnya diikuti, diikuti kuliah-kuliah beliau, ditekuni perkataan-perkataan beliau. Seorang yang begitu alim, seorang yang melaut ilmunya, iaitulah al-Syeikh Dr. Abdul Karim Khudhair hafizahullah, semoga Allah Taala memelihara beliau di dalam kesihatan, terus menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Beliau sebut, pada pandangan beliau, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Ibn Taimiyyah dan pandangan al-Syatibi, beliau tidak bersetuju. Akan tetapi pada pandangan beliau, dan saya ingat penjelasan beliau amat jelas dalam persoalan ini, iaitulah kata beliau, perkataan ’Umar: نعمت البدعة هذه adalah dalam bentuk المشاكلة dan المجانسة seperti yang terdapat dalam ilmu badi' dan balaghah. Jadi perkataan ‘Umar itu, menurut ilmu pada hari ini, setelah berlaku penyusunan ilmu, ia termasuk dalam ibarat atau ungkapan yang diungkapkan bagi tujuan المشاكلة dan المجانسة. Iaitulah ia sebagai satu jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan, dengan menggunakan perkataan yang sama dengan soalan yang dikemukakan.
Contohnya begini; Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Syura, ayat 40, Allah subhanahu wa ta'ala berfirman: وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا yang bermaksud: “dan balasan kejahatan itu adalah kejahatan yang seumpama dengannya.” Persoalannya apakah balasan dari Allah atas perbuatan jahat manusia itu satu kejahatan? Jadi apakah maksud balasan kejahatan itu dibalas dengan kejahatan oleh Allah? Mustahil kita kata balasan Allah ke atas orang yang melakukan kejahatan satu kejahatan, bahkan ia satu kebaikan dan keadilan.
Tetapi digunakan perkataan سيئة atau kejahatan di dalam ayat ini bagi tujuan المشاكلة dan المجانسة, itulah menggunakan ungkapan yang setimpal dan sama jenis bersesuai dengan perkataan atau perbuatan yang sedang dibicarakan. Inilah antara yang dapat difahami dari perkataan ‘Umar bin al-Khattab RA. Perkataan ‘Umar ini, apabila beliau menghimpunkan semula orang ramai melakukan solat Tarawih berjemaah, seperti ada seseorang berkata kepada ‘Umar: "ابتدعت يا عمر, kamu telah melakukan satu bid‘ah wahai ‘Umar.” Lalu ‘Umar menjawab dan beliau bukan maksudkan bidaah yang ditegah itu. Tetapi ‘Umar nak jawab perkataan orang yang bertanya dalam ungkapan yang sama dengan ungkapan digunakan oleh orang itu. Lalu ‘Umar jawab: "نعمت البدعة هذه sebaik-baik bid‘ah adalah yang ini." Ungkapan ini dalam ilmu badi’ dan balaghah disebut sebagai المشاكلة والمجانسة.
Contoh lain di dalam hadis, iaitulah ada hadis Nabi sallallahu alaihi wa sallam memerintahkan kita supaya beribadat menurut kemampuan. Jangan kita melampau-lampau di dalam beribadat. Nabi SAW kata: “kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehinggalah kamu semua jemu.” Takkan kita nak kata Allah Ta'ala ada sikap atau sifat jemu? Mustahil, tetapi perkataan Nabi SAW: “Allah tidak akan jemu selagi kamu tidak jemu” iaitulah sebagai balasan atau baginda gunakan ungkapan yang sama dan sejenis kepada tindakan jemu manusia. Lalu baginda kata: “Allah tidak akan jemu sehinggalah manusia jemu.” Dalam ilmu balaghah dan badi’ ia masuk dalam kumpulan ungkapan المشاكلة والمجانسة. Mudah-mudahan jawapan ini dapat memberi kefahaman, penjelasan dan ada manfaatnya