Mengenali Sunan al-Tirmizi (1)
Kesemua para ulama sepakat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah kitab yang paling sahih selepas al-Quran. Cumanya mereka berbeza pandangan mana yang lebih utama apakah Sahih al-Bukhari atau Sahih Muslim.
Kebanyakan ulama Ahli al-Masyriq melebihkan Sahih al-Bukhari, berbeza dengan ulama Ahl al-Maghrib yang melebihan Sahih Muslim.
Perbezaan ini berlaku disebabkan perbezaan penilaian dan manfaat yang hendak diambil dari kedua-dua kitab. Ulama yang memberi tumpuan mendapatkan faedah fiqhiyyah akan melihat Sahih al-Bukhari lebih utama berbanding Sahih Muslim disebabkan istinbath fiqhiyyah yang dapat diperolehi darinya. Berbeza bagi ulama yang mahu mendapatkan himpunan hadis-hadis Sahih melalui jalan periwayatan yang berbagai dengan mudah, akan mendapati Sahih Muslim lebih utama berbanding Sahih al-Bukhari.
Selain itu, pendekatan yang dilakukan oleh al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya, di mana beliau tidak menyusun hadis berdasarkan lafaz hadis dan makna lughawi yang terdapat di dalam hadis semata-mata. Sebaliknya beliau menyusun hadis-hadis di dalam kitab Sahihnya menurut istinbath yang beliau kehendaki dari sesuatu hadis. Kerana itu didapati terdapat istinbath hukum berkaitan Haji yang diambil dari hadis bab Solat. Pendekatan beliau ini menjadikan seseorang yang hendak mencari sesuatu hadis melalui babnya, tidak akan menjumpai hadis yang dimaksudkan di dalam Sahih al-Bukhari, sedangkan hadis ini ada di dalamnya.
Berbeza dengan Muslim, di mana sesiapa yang ingin mencari sesuatu hadis, memadai dengan melihat kepada petunjuk lafaz, lalu dia akan mendapati hadis tersebut terdapat di bawah bab yang berkaitan.
Masing-masing kelebihan yang ada di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ini cuba digabungkan oleh anak murid mereka berdua iaitulah al-Imam al-Tirmizi dengan kitabnya Sunan al-Tirmizi. Melalui kitabnya ini, al-Tirmizi cuma menggabungkan pendekatan al-Bukhari dan Muslim. Beliau cuba menghimpunkan hadis-hadis menurut babnya seperti yang dilakukan oleh Muslim, yang lebih menekankan faedah sanadiyyah melalui himpunan riwayat-riwayat yang berbagai di tempat yang sama. al-Timizi juga melalui kitab Sunannya melakukan istinbath fiqhiyyah dari hadis-hadis, seperti yang dilakukan oleh al-Bukhari. Bahkan al-Tirmizi juga telah melakukan banyak perkara yang tidak dilakukan oleh dua orang guru beliau ini, termasukkan membuat perbahasan tambahan untuk setiap hadis satu-persatu, memperkenalkan mustalahat-mustalahat tertentu, membicarakan persoalan-persoalan ilmiah dari sesuatu hadis dan fiqh hadis yang tidak disentuh oleh gurunya al-Bukhari dan Muslim.