Maksud Hadis Tentang Jangan Terus Membunuh Ular Yang Masuk Ke Dalam Rumah

 

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Soalan dari seorang penyoal yang berkata:

Saya nak tanya, tak silap ada hadis yang menyatakan kalau ular masuk rumah, kita kena beri tempoh beberapa hari sebelum dibunuh? Bagaimana memehami hadis ini, adakah kalau ular masuk rumah, kita kena biar je untuk beberapa hari?

Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

Sememangnya ada hadis tentang perkara yang dinyatakan dan hadis itu sahih diriwayatkan dari Nabi SAW.

Para ulama berbeza pendapat dalam memahami perintah membunuh ular.

Pertamanya, semua ulama sepakat apabila kita jumpa ular di padang pasir yang bukan tempat orang tinggal atau bukan dalam rumah, maka kita disuruh untuk membunuhnya.

Keduanya, para ulama berbeza pandangan tentang ular yang masuk ke dalam rumah, apakah dibunuh terus atau perlu diberi peringatan selama tiga hari terlebih dahulu?  Jika dia tetap kekal berada di dalam rumah, barulah kita boleh membunuhnya.

Perkara ini disebabkan ada hadis daripada Abdullah bin Masud RA:

أنه أمر بقتل الحيات

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW pernah memerintahkan membunuh ular-ular.” Kemudian nabi saw bersabda:

فَمَنْ خَافَ ثَأْرَهُنَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “siapa yang takut membunuhnya, maka dia bukan daripada kami (bukan dalam petunjuk baginda).” Hadis ini sahih dari Nabi SAW.

Kemudian ada hadis lain daripada Abdullah bin ‘Umar RA yang ada dalam Sahih al-Bukhari dan Muslm, Nabi SAW bersabda:

اقتلوا الحيات، واقتلوا ذا الطفيتين والأبتر

Maksudnya: “Bunuhlah ular-ular, bunuhlah ular tufyatain dan ular Abtar.”

Ular tufyatain, maksud tufyah ialah garisan, jadi tufyatain adalah dua garisan, iaitulah ular yang memilik dua garisan di badannya. Sama ada bewarna putih atau berwarna hitam ataupun kuning seperti yang disebut oleh para ulama. Nabi SAW kata bunuhlah semua ular terutamanya ular yang memiliki dua garisan di badannya, dan ular abtar. Ular abtar adalah ular yang berekor pendek. Saya pun tidak pasti, saya tak banyak maklumat tentang ular, tetapi zahir hadis sebut sedemikian. Kemudian Abdullah bin umar berkata:

فرآني أبو لبابة أو زيد بن الخطاب وأنا أطارد حية فنهاني، فقلت: إن رسول الله صلى الله عليه وسلم أمر بقتلهن، فقال: إنه قد نهى بعد ذلك عن قتل ذوات البيوت

Maksudnya: “Suatu hari Abu Lubabah atau Zaid bin al-Khattab melihat aku, ketika itu aku mencari ular untuk dibunuh. Lalu Abu Lubabah melarang aku dan beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menyuruh membunuh ular. Namun baginda telah melarang selepas itu dari membunuh ular yang berada di dalam rumah.”

Kemudian di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi SAW diberitahu:

أن شاباً ضرب حية فاضطربت فخر ميتاً فما يدرى أيهما أسرع موتاً: الفتى أم الحية؟ فقال النبي صلى الله عليه وسلم: "إن بالمدينة جنَّا قد أسلموا ، فإذا رأيتم منهم شيئاً فآذنوه ثلاثة أيام، فإن بدا لكم بعد ذلك فاقتلوه، فإنما هو شيطان

Maksudnya:  “Bahawa ada seorang pemuda telah memukul seekor ular, sehingga ular itu bergerak kesakitan. Tiba-tiba pemuda itu jatuh tersungkur meninggal dunia. Tidak diketahui siapapakah yang meninggal terlebih dahulu, apakah pemuda itu ataupun ular tersebut? Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungghunya di Madinah terdapat jin yang telahpun memeluk Islam. Maka apabila kamu semua ada melihat mereka menyerupai sesuatu (seperti ular), maka berilah amaran kepadanya selama tiga hari. Jika ia masih jelas ada selepas daripada itu, maka bunuhlah ia, kerana sesungguhnya ketika itu apa yang kamu nampak itu adalah syaitan.”

Hadis ini sebut sedemikian, menyebabkan para ulama berbeza pandangan. Sebahagian ulama mengatakan hadis ini, arahan supaya memberi peringatan terlebih dahulu kepada ular yang masuk ke dalam rumah selama tiga hari itu, ia khusus untuk rumah-rumah di Madinah sahaja. Kerana di dalam hadis Nabi SAW sebut: إن بالمدينة جنَّا قد أسلموا “Sesungghunya di Madinah terdapat jin yang telahpun memeluk Islam…” bimbang yang nampak seperti ular itu adalah jin yang berubah bentuk menjadi ular. Kerana itu Nabi kata jangan bunuh terus, sebaliknya hendaklah memberi amaran terlebih dahulu dan suruh dia keluar. Jika dia tidak keluar selepas tiga hari, barulah dibunuh.

Saya secara peribadi berpegang kepada pandangan ulama yang mengatakan tegahan membunuh ular melainkan selepas tiga hari itu adalah khas untuk rumah-rumah di Madinah sahaja. Adapun rumah-rumah selain Madinah, kita dibenarkan membunuh ular yang masuk berdasarkan pandangan sebahagian ulama. Hal ini kerana keselamatan manusia adalah lebih utama dari haiwan berbisa seperti ular, selain kaedah yang menyebut درء المفاسد مقدم على جلب المصالح iaitulah  menolak keburukan adalah didahulukan berbanding mendapatkan kebaikan.  


Cetak  
Wallahu a'lam