Benarkan Haiwan Korban Akan Menjadi Tunggangan Di Akhirat?

Soalan: 

ramai ustaz kata korban yang kita buat berfungsi menjadi tunggangan kita di akhirat kelak, betulkah ustaz?

Jawapan: 

Hal tersebut berdasarkan hadis yang bersangatan lemah, antaranya: 

استفرهوا ضحاياكم فإنها مطاياكم على الصراط

maksudnya: "Elokkan haiwan korban kamu semua (pilih yang mahal, gemuk dan kuat), kerana sesungguhnya ia menjadi tunggangan kamu di atas (titian) sirat."  (al-Qadhi 'Abd al-Jabbar di dalam Amalinya seperti yang terdapat di dalam al-Tadwin Fi Akhbar Qazwin 3/219, al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus seperti di dalam al-Talkhis al-Habir 4/152.)

Kalimah مطاياكم adalah berasal dari مطِيَّة yang bermaksud unta betina (الناقة) yang ditunggang Mataha مطاها iaitulah ditunggang di atas belakangnya. (Lihat al-Nihayah Fi Gharib al-Hadis 4/340 dan al-Misbah al-Munir 575) 

Dalam kedua-dua riwayat ini (dari al-Qadhi Abd al-Jabbar dan al-Dailami) terdapat rawi bernama Yahya bin Ubadillah dan dia seorang yang Dhaif Jiddan (bersangatan lemah) seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hajar dan al-Sakhawi. (lihat al-Talkhis al-Habir 4/152, al-Maqasid al-Hasanah 114 dan Taqrib al-Tahzib). Kata al-'Azluni di dalam Kasyf al-Khafa': 1/133: "al-Dailami meriwayatkannya dengan sanad yang dhaief jiddan (bersangatan lemah) daripada Abu Hurairah, dengan dirafa'kan. Terdapat juga di dalam Nihayah oleh Imam al-Haramain, kemudian di dalam Wasith dan Wajiz al-Ghazzali dengan lafaz

   عظموا ضحاياكم فإنها على الصراط مطاياكم

maksudnya: "Dapatkan yang besar haiwan korban kamu semua, sesungguhhnya dia di atas titian sirat menjadi tunggangan kamu." Akan tetapi Ibn Salah berkata: Ini satu yang sedia diketahui dan ia bukan sabit berdasarkan pengetahuan kami." Berkata Abu Bakr Ibn al-'Arabi: "di dalam Syarh al-Tirmizi: "Tidak ada dalam kelebihan korban  satu hadis yang sahih."  


Cetak  
Wallahu a'lam