Kata Isteri Nabi SAW, Ummu Salamah RA:
أنَّ مُخَنَّثًا كانَ عِنْدَهَا، وَرَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ في البَيْتِ، فَقالَ لأَخِي أُمِّ سَلَمَةَ: يا عَبْدَ اللهِ بنَ أَبِي أُمَيَّةَ، إنْ فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الطَّائِفَ غَدًا، فإنِّي أَدُلُّكَ علَى بنْتِ غَيْلَانَ، فإنَّهَا تُقْبِلُ بأَرْبَعٍ وَتُدْبِرُ بثَمَانٍ، قالَ فَسَمِعَهُ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَقالَ: لا يَدْخُلْ هَؤُلَاءِ علَيْكُم
maksudnya: "Bahawa ada seorang mukhannath di sisinya (Ummu Salamah) dan Rasulullah SAW ketika itu berada di rumah. Mukhannath itu berkata kepada saudara lelaki Ummu Salamah: 'Wahai 'Abdullah bin Abi Umayyah. Jika ALlah berikan kemenangan ke atas kamu semua Ta-if pada esok hari. Aku akan tunjukkan kepada kamu anak perempuan Ghaylan. Dia datang dengan empat, dan pergi dengan lapan." Perkara itu didengari oleh Rasulullah SAW dan baginda bersabda: "Jangan benarkan lagi mereka (golongan mukhannath), masuk berjumpa dengan kamu semua." (HR Muslim, bil. 2180)
Dalam riwayat al-Bukhari:
maksudnya: "Nabi SAW masuk menemui kami dan di sisiku terdapat seorang mukhannath. Aku (Ummu Salamah) mendengar mukhannath itu bercakap kepada 'Abdullah bin Abi Umayyah: "Wahai Abdullah, aku ceritakan kepada kamu, jika ALlah memberi kemenangan kepada kamu semua di Ta-if esok hari, hendaklah kamu berusaha mendapatkan anak perempuan Ghaylan. Dia datang dengan empat dan pergi dengan lapan." Sabda Nabi SAW: "Jangan kamu semua biarkan mereka ini (golongan mukhannath) masuk menemui kamu semua lagi." Dalam sebahagian riwayat lain dinyatakan: "Dia (Abdullah) seorang yang mengepung Ta-if pada ketika itu Dalam peristiwa itu)."
Huraian
al-Mukhannath المُخنَّثُ ialah seorang lelaki yang serupa pergerakan, percakapan dan perbuatannya dengan orang wanita. Persamaan ini boleh berlaku kerana khilqah خِلْقةً sememangnya dia diciptakan begitu. Ada pula yang berlagak seperti perempuan (pondan atau maknyah)
Did alam hadis ini, Ummu Salamah menceritakan seorang mukhannath iaitulah seorang lelaki yang berperwatakan seperti perempuan masuk menemuinya di dalam rumah. DIkatakan nama mukhannath itu ialah Hit هِيتٌ, ada pula yang mengatakan namanya ialah Mati' ماتعٌ . Dia seorang hamba (maula) yang telah dimerdekakan oleh 'Abdullah bin Abi Umayyah RA.
Peristiwa ini berlaku selepas pembukaan kota Mekah (Fath Mekah). Ta-if sebuah kampung yang sedia diketahui oleh kebanyakan kita. Iaitulah kampung yang pernah menghalau Nabi SAW dan pendudukanya melontarkan batu kepada Nabi SAW ketika baginda berdakwah kepada mereka. Jarak Ta-if dari bandar Mekah hari ini sekitar 75 km.
Perkataan mukhannath: "Dia datang dengan empat dan pergi dengan lapan." iaitulah dia menceritakan sifat jasad dan pergerakan anak perempuan Ghaylan. Anak perempuan Ghaylan itu memeluk Islam selepas peristiwa pembukaan Ta-if, dan beliau selepas itu dikahwini oleh 'Abd al-Rahman bin 'Auf. Di dalam Awjaz al-Masalaik dinyatakan namanya ialah Badanah binti Ghaylan (بادنة بنت غيلان)
Ghaylan ialah Ghaylan bin Salamah, seorang pemimpin di Thaqif (Ta-if). Ketika memeluk Islam, beliau mempunyai 10 orang isteri. Setelah itu Rasulullah SAW memerintakan beliau memilih empat orang daripada mereka dan menceraikan bakinya. Beliau hidup sehingga penghujung zama pemerintahan ''Umar bin al-Khattab RA.
Dalam riwayat lain dinyatakan mukhannath menceritakan anak perempuan Ghaylan datang dengan empat 'Ukan عُكَنٍ dan pergi dengan lapan. al-'Ukan (العُكَنُ) ialah lipatan pada perut disebabkan kegemukan. (Lihat Awjaz al-Masalik Ila Muwattha Malik) Lipatan itu kelihatan empat lapis daging dari hadapan dan lapan lapis daging dari belakang.