Soalan:
Assalamualaikum ustaz, nk tanya satu soalan, adakah hadis di dalam al arbain an nawawi semuanya sohih?
Jawapan:
Kitab alArba'ien alNawawiah mengandungi sebanyak 42 buah hadis. Kesemua hadis-hadisnya adalah SAHIH menurut penilaian alImam alNawawi. Hal ini dinyatakan oleh beliau sendiri di dalam muqaddimah kitabnya itu:
وألتزم في هذه الأربعين أن تكون صحيحة، ومعظمها في صحيح البخاري ومسلم
Maksudnya: "Aku memastikan dalam alArba'ien ini adalah hadis yang sahih, dan kebanyakannya ada di dalam alBukhari dan Muslim."
Namun perkara menghukum sahih dan dhaif hadis adalah termasuk dalam perkara ijtihadi bagi mereka yang berkeahlian. Justeru ia membuka ruang perbezaan pendapat. Kerana itu, kita dapati terdapat sebahagian ulama yang mengkritik sejumlah hadis-hadis yang ada di dalam alArba'ien alNawawiah ini, antaranya alHafidz Ibn Rejab alHambali. Beliau mensyarahkan hadis-hadis yang disusun oleh alImam alNawawi dan mencukupkannya menjadi 50 buah hadis di dalam kitabnya Jami' alUlum wa alHikam. Dalam masa yang sama, di dalam kitabnya itu, beliau mengkritik beberapa hadis yang pada penilaiannya tidak memenuhi syarat sahih dan Hasan. Antara hadis-hadis yang beliau kritik ialah:
1) Hadis yang ke-12:
مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
2) Hadis yang ke-29:
وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ
3) Hadis yang ke-30:
إنَّ الله فَرَضَ فرائِضَ ، فَلا تُضَيِّعُوها ، وحَدَّ حُدُوداً فلا تَعْتَدوها ، وحَرَّمَ أَشْياءَ ، فلا تَنتهكوها ، وسَكَتَ عنْ أشياءَ رَحْمةً لكُم غَيْرَ نِسيانٍ ، فلا تَبحَثوا عَنْها
4) Hadis yang ke-31:
ازهَدْ فِي الدُّنيا يُحِبَّكَ الله ، وازهَدْ فيمَا في أيدي النَّاسِ يُحبَّكَ النَّاسُ
5) Hadis yang ke-39:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأَ ، وَالنِّسْيَانَ ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
dan;
6) Hadis yang ke-41:
لا يُؤمِنُ أَحدُكُم حتّى يكونَ هَواهُ تَبَعاً لِما جِئتُ بِهِ
Hadis-hadis ini dikritik pensahihannya oleh alHafidz Ibn Rejab dari sudut Sanad. Pun begitu hadis-hadis ini memiliki makna yang Sahih dan diterima melalui sokongan-sokongan lain. Dalam ertikata lain, lafaz hadis-hadis ini tidak sahih dari Nabi SAW pada sanad, namun maksud yang terkandung di dalamnya adalah betul.
AlAlbani di dalam Muqaddimah Riyadh alSolihin (halaman: 6) berkata:
"Barangkali keuzuran penulis (alImam alNawawi) dengan adanya hadis-hadis yang dhoief/lemah ini di dalam kitab beliau, sedangkan beliau bersungguh untuk berpada dengan hadis-hadis yang sahih sahaja, iaitulah hanya sahaja kerana kebiasaan beliau bersandar kepada hukuman Sahih dan Hasan oleh alTirmizi dan hadis-hadis yang tidak dikomen oleh Abu Daud (Sukut Abi Daud)... beliau (alImam alNawawi) sendiri tidak memberi tumpuan untuk melakukan proses penelitian terhadap hadis-hadis tersebut... jika alNawawi sendiri yang melakukannya atau beliau berkesempatan untuk memerhatikan sanad-sanad hadis tersebut, sudah tentu menjadi jelas kepadanya kecatatan dan kelemahan hadis-hadis tersebut, insyaAllah."
Ini pandangan yang dinyatakan oleh al-Albani. Ia tidak semestinya benar. Justeru mana-mana pandangan ulama yang berkeahlian yang dipegang dalam permasalahan seperti ini adalah dibolehkan.