Soalan:
Assalamualaikum,ustaz.
apakah status khabar di dlm poster di bawah?
Jawapan:
Wa'alaikumussalam warahmatullah.
Ada hadis tentang cakaran syaitan yang dikaitkan oleh Nabi SAW dengan darah Istihadhah. Namun ia tidak semestinya begitu. Ini kerana terdapat berbagai lafaz hadis yang berbeza daripada baginda dalam menyatakan sebab darah Istihadhah, iaitulah:
1. Darah yang keluar dari sebab urat (berpenyakit) yang baginda nyatakan sebagai هذا عرق berdasarkan riwayat alBukhari dan Muslim daripada 'Aisyah RA.
2. Dari sebab syaitan, yang disebut oleh Nabi SAW sebagai هذا من الشيطان berdasarkan riwayat Abu Daud 296 dari hadis Asmaa' binti 'Umaish RA yang dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam Sahih Abi Daud.
3. Cakaran dari syaitan ركضة من الشيطان, urat yang terputus عرق انقطع, penyakit yang menimpa seseorang wanita داء عرض لها berdasarkan riwayat Ahmad 45/602 daripada 'Aisyah RA. Hadis ini dinilai sahih oleh para pentahkik kitab al-Musnad.
Cakaran dari syaitan juga diriwayatkan oleh alTirmizi 128 dan Abu Daud 287 dari hadis Hamnah binti Jahsy RA. Dinilai sahih oleh alAlbani dalam Sahih Abi Daud.
4. Geseran dalam rahim ركضة من الرحم berdasarkan riwayat alNasa'ie 209 daripada hadis 'Aisyah RA. Dinilah sahih oleh alAlbani di dalam Sahih alNasa'ie.
Tentang lafaz istihadhah itu dari syaitan atau dari sebab syaitan atau cakaran syaitan, ada sebahagian ulama yang berpandangan ia bermaksud kepada apa-apa yang terhasil dari tipu daya syaitan dengan darah tersebut, di mana seseorang wanita berkemungkinan akan menyangka dia masih berhaid lalu tidak menunaikan solat dan berpuasa, sedangkan darah yang keluar adalah darah istihadah. Bukan bermaksud darah itu sendiri dari kerja buat syaitan secara hakikat.
Pun begitu, amalan-amalan yang diajar tersebut bukan dari petunjuk Nabi SAW.