Masuk Syurga Lebih Awal Dari Orang Yang Mati Syahid

Daripada Talhah bin 'Ubaidillah RA

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ رَضِيَ الله عَنْهُمَا، أَنَّ رَجُلَيْنِ مِنْ بَلِيٍّ قَدِمَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ إِسْلَامُهُمَا جَمِيعًا فَكَانَ أَحَدُهُمَا أَشَدَّ اجْتِهَادًا مِنْ الْآخَرِ فَغَزَا الْمُجْتَهِدُ مِنْهُمَا فَاسْتُشْهِدَ ثُمَّ مَكَثَ الْآخَرُ بَعْدَهُ سَنَةً ثُمَّ تُوُفِّيَ قَالَ طَلْحَةُ: فَرَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ بَيْنَا أَنَا عِنْدَ بَابِ الْجَنَّةِ إِذَا أَنَا بِهِمَا فَخَرَجَ خَارِجٌ مِنْ الْجَنَّةِ فَأَذِنَ لِلَّذِي تُوُفِّيَ الْآخِرَ مِنْهُمَا ثُمَّ خَرَجَ فَأَذِنَ لِلَّذِي اسْتُشْهِدَ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيَّ فَقَالَ: ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ يَأْنِ لَكَ بَعْدُ فَأَصْبَحَ طَلْحَةُ يُحَدِّثُ بِهِ النَّاسَ فَعَجِبُوا لِذَلِكَ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثُوهُ الْحَدِيثَ فَقَالَ: "مِنْ أَيِّ ذَلِكَ تَعْجَبُونَ؟" فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا كَانَ أَشَدَّ الرَّجُلَيْنِ اجْتِهَادًا ثُمَّ اسْتُشْهِدَ وَدَخَلَ هَذَا الْآخِرُ الْجَنَّةَ قَبْلَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "أَلَيْسَ قَدْ مَكَثَ هَذَا بَعْدَهُ سَنَةً؟" قَالُوا: بَلَى، قَالَ: "وَأَدْرَكَ رَمَضَانَ فَصَامَ وَصَلَّى كَذَا وَكَذَا مِنْ سَجْدَةٍ فِي السَّنَةِ؟" قَالُوا: بَلَى، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "فَمَا بَيْنَهُمَا أَبْعَدُ مِمَّا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Mafhumnya: “Daripada Tolhah bin ‘Ubaidillah RA, bahawa ada dua orang lelaki dari Baliy (nama sebuah tempat) datang kepada Rasulullah SAW. Kedua-dua mereka memeluk Islam bersama. Salah seorang dari keduanya amat bersungguh untuk menyertai jihad (berpereang di jalan Allah) berbanding seorang lagi, lalu dia menyertai jihad dan dia gugur sebagai syahid. Adapun yang seorang lagi terus dipanjangkan umur, dan dia meninggal dunia setelah setahun pemergian kawannya yang mati syahid tadi. Tolhah berkata: “Suatu hari aku bermimpi, ketika aku berada berhampiran pintu Syurga, bersama dengan kedua-dua lelaki tadi, keluar satu malaikat dari Syurga, lalu mengizinkan lelaki yang meninggal dunia kemudian (yang bukan mati Syahid) untuk memasuki Syurga. Setelah itu (setelah beberapa ketika) keluar lagi malaikat itu dan mengizinkan lelaki yang mati syahid pula untuk memasuki Syurga, kemudian malaikat itu datang kepadaku dan berkata: “Pulanglah, kerana sesungguhnya belum tiba giliran kamu lagi (untuk memasuki Syurga)”. Apabila pagi hari, Tolhah menceritakan apa yang dilihatnya di dalam mimpi kepada orang ramai menyebabkan orang ramai merasa hairan. Perkara tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, lalu orang ramai menceritakan kepada baginda tentang mimpi Tolhah tersebut. Setelah itu baginda bersabda: “Apakah yang menyebabkan kamu semua merasa hairan?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, lelaki yang mati Syahid itu lebih bersungguh untuk berjihad berbanding kawannya dan ternyata dia memperolehi syahid. Sebaliknya kawan dia yang memasuki syurga terlebih dahulu darinya?”. Sabda Nabi SAW: “Bukankah kawannya itu terus hidup selepas kematiannya setahun?” Para sahabat menjawab: “Benar wahai Rasulullah.” Baginda bersabda lagi: “Bukankah dia juga sempat bertemu dengan Ramadhan, lalu dia berpuasa Ramadhan dan banyak menunaikan solat dalam tahun tersebut?” Para sahabat menjawab: “Benar wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW berikutnya bersabda: “Kedudukan mereka berdua amat berbeza, lebih jauh dari perbezaan langit dan bumi.” (Hadis dikeluarkan oleh Ibn Majah 3925, Ibn Hibban 2466, al-Baihaqi di dalam al-Zuhd 2/73, Ahmad 1/161-163, Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya 310, al-Hakim 1/200 dan hadis ini dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah 6/176. Al-‘Allamah al-Sindiy di dalam Syarh Sunan Ibn Majah berkata: hadis ini menunjukkan adanya kelebihan dipanjangkan umur beserta banyak amalan baik.”

Pengajaran Hadis 

Hadis ini menunjukkan salah satu perkara yang dapat menyebabkan seseorang dimasukkan terlebih dahulu ke dalam syurga berbanding seorang yang gugur di medan jihad. Antaranya adalah ganjaran yang diperolehi oleh seseorang yang benar-benar beribadah dengan ikhlas di dalam bulan Ramadan dan amalan ibadahnya itu pula bertepatan dengan sunnah Nabi SAW. Hal ini demikian kerana ibadah puasa Ramadan terhimpun di dalamnya tiga makna kesabaran. Iaitulah:

  1. Sabar menahan keperitan lapar dan dahaga.
  2. Sabar dari melakukan maksiat.
  3. Sabar dalam melakukan ketaatan.

Allah SWT berfirman:

قُلۡ يَٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمۡۚ لِلَّذِينَ أَحۡسَنُواْ فِي هَٰذِهِ ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٞۗ وَأَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٖ ١٠

Maksudnya: “Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dikurniakan pahala kepada mereka tanpa batasan.” (al-Zumar: 10)

Sabar adalah kemuliaan, kemuncak kebaikan sepertimana Sabda Nabi SAW:

مَا رُزِقَ عَبْدٌ خَيْرًا لَهُ وَلَا أَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ

Ertinya: “Tidak direzekikan kepada seseorang hamba suatu yang lebih baik baginya dan lebih luas berbanding kesabaran.” (Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain 3573)

Kata ‘Umar bin al-Khattab RA:

أفضل عيش أدركناه بالصبر

Ertinya: “Kehidupan yang lebih utama adalah apabila kami perolehinya dengan bersabar.”


Cetak  
Wallahu a'lam