Soalan:
ustaz, hadis yg memceritakan ukasyah minta nak qisas nabi kerana baginda pernah terpukul perut beliau dlm peperangan adakah sahih? Dlm kisah itu semua sahabat tak setuju dgn perbuatan ukasyah. Tapi dia ttp nak qisas juga. Tapi sebenarnya dia nak mencium perut nabi. Benarkah kisah ini ustaz?
Jawapan:
Hadis tersebut sebuab hadis yang panjang diriwayatkan oleh al-Imam alTobari di dalam alMu'jam alKabir 3/58. Namun ia satu hadis yang TIDAK SAHIH. Kata alHaithami 8/605:
"Ia diriwayatkan oleh alTobari. Di dalamnya (sanad hadis) ada 'Abd alMun'im bin Idris عبد المنعم بن إدريس, dia seorang pendusta dan pemalsu hadis."
Selain alHaithami, ramai lagi para ulama yang mentajrih 'Abd alMun'im ini antaranya Imam Ahmad, Yahya bin Ma'in, Ibn alMadiniy, Abu Daud, Ibn Hibban, Daraqutniy dan selain mereka.
Terdapat riwayat lain yang hampir sama tentang minta qisas ini, namun bukan 'Ukasyah sebaliknya seorang sahabat lain yang bernama Usaid bin Hudair أسيد بن حضير RA yang pernah meminta qisas secara bergurau dari Nabi SAW. Abd alRahman bin Abi Laila daripada Usaid bin Hudair berkata:
"Ketikamana beliau sedang berbicara kepada sekumpulan orang - dalam bicaranya terdapat gurauan - ketika beliau membuatkan mereka tertawa - tiba-tiba Nabi SAW bergurau dengan menusukkan sebatang kayu ke rusuknya. Lalu dia berkata: "Bagi daku balas semula (ya rasulullah)." Lalu Rasulullah bersabda: "Laksanakanlah." Lalu dia berkata: "akan tetapi engkau berpakaian, manakala aku tidak berpakaian yang menutup rusukku." Maka Nabi SAW mengangkat pakaian baginda. Dengan segera Usaid memeluknya dan mencium rusuk baginda seraya berkata: "hanya ini yang hendak aku lakukan wahai Rasulullah."
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud 5224, alTobarani di dalam alMu'jam alKabir 1/205, alHakim di dalam alMustadrak 3/327 dan Ibn 'Asakir di dalam Tarikh Dimasyq 9/76. Hadis ini sanadnya dinilai Sahih oleh alHakim demikian juga alZahabi. Dinilai Sahih juga oleh alAlbani di dalam Sahih Abi Daud.