Darjat Hadis Doa Mengembalikan Barang Yang Hilang

Soalan: 

Adakah doa ini berdasarkan hadis yang sahih ust?

Jawapan: 

al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur fi al-tafsir bi al-Ma'thur menyatakan Ibn al-Najjar (ابْن النجار iaitulah al-Khatib al-Baghdadi) di dalam tarikhnya daripada Ja'far bin Muhammad al-Khuldiy (جَعْفَر بن مُحَمَّد الخُلْدِيِّ) yang berkata: "DIRIWAYATKAN daripada Nabi SAW yang bersabda: "Sesiapa yang membaca ayat ini ke atas sesuatu yang hilang darinya, ALlah akan mengembalikan semula barang yang hilang itu kepadanya, iaitulah: 

رَبَّنَا إنَّكَ جَامِعُ النّاسِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيْهِ إِنَّ اللهَ لَا يُخْلِفُ الْمِيْعَاد، اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيهِ اِجْمَعْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ مَالِيْ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

maksudnya: "Wahai tuhan kami sesungguhnya Dikaulah tuhan yang menghimpunkan manusia semuanya pada hari yang tiada keraguan padanya, sesungguhnya Allah tidak akan menyalahi janjinya." (Ali Imran: 9) "Ya Allah, wahai tuhan yang menghimpunkan seluruh manusia pada hari yang tiada keraguan padanya, himpunkanlah (kembalikanlah) antara daku dengan hartaku (yang hilang), sesungguhnya Dikau Tuhan yang maha berkuasa atas segala sesuatu."  (2/157) 

Riwayat ini jika dirujuk terus di dalam Tarikh Baghdad oleh al-Khatib al-Baghdadi menyatakan Ja'far bin Muhammad al-Khuldiy berkata: 

"Aku dahulu memiliki sebentuk cincin yang aku warisi dari bapaku. Satu hari aku melintasi Dijlah (Sungai Baghdad), lalu aku menghulurkan tanganku untuk menceduk airnya tiba-tiba batu cincinku jatuh ke dalamnya. Perkara itu benar-benar menyedihkan aku. Aku teringat satu hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang membaca ayat ini, atas sesuatu yang hilang daripadanya, ALlah akan kembalikan barang yang hilang itu kepadanya. Lalu aku membaca ayat tersebut dan tangan aku masih berada di dalam air mencari-cari batu cincinku yang hilang.  Tiba-tiba batu cincin yang aku cari itu berada dalam gengaman jari-jariku. Ayat yang dimaksudkan ialah:

 رَبَّنَا إنَّكَ جَامِعُ النّاسِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيْهِ إِنَّ اللهَ لَا يُخْلِفُ الْمِيْعَاد، اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيهِ اِجْمَعْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ مَالِيْ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

al-Syaukani di dalam kitab tafsirnya Fath al-Qadir selepas menyebut riwayat ini menyatakan: "Demikian itu dengan sighah tamridh (روي) yang kebiasaannya digunakan pada hadis-hadis yang tidak sahih dari Rasulullah SAW." 

Berdasarkan perkataan al-Syaukani ini menunjukkan riwayat ini tidak sahih dari Nabi SAW. Sekalipun demikian ia merupakan ungkapan doa yang tiada sebarang kesalahan dari sudut syara'. Kerana itu tiada masalah untuk berdoa dengan doa ini ketika kehilangan sesuatu barang.

Di dalam Hasyiah Ibn 'Abidin dinyatakan: 

"Ibn Hajar menyatakan di dalam Hasyiah al-Idhah daripada sebahagian ahli sufi, semoga Allah membersihkan niat-niat mereka yang menyatakan: "Apabila hilang dari kamu sesuatu perkara, maka ucapkan: 

يا جامِعَ النّاسِ لِيَوْمٍ لا رَيْبَ فِيهِ إنّ اللَّهَ لا يُخْلِفُ المِيعادَ، اجْمَعْ بَيْنِي وبَيْنَ كَذا ويُسَمِّيهِ بِاسْمِهِ فَإنَّهُ مُجَرَّبٌ

maksudnya: "Wahai tuhan yang menghimpunkan manusia semuanya pada hari yang tiada keraguan padanya, sesungguhnya Allah tidak akan menyalahi janjinya. Himpunkanlah semula (kembalikanlah) antara daku dengan demikian sambil dia menyebut nama barang yang hilang itu, sesungguhnya doa ini suatu yang terbukti berkesan. Kata al-Nawawi: "Sesungguhnya aku telah mencubanya dan aku dapati ia suatu yang bermanfaat untuk mengembalikan barang yang hilang dalam masa terdekat pada kebisaannya, dan beliau menukilkan dari sebahagian para syeikhnya sedemikian itu (pengalaman yang sama)." 


Cetak  
Wallahu a'lam