Soalan:
Adakah hadis tentang kelebihan 3 ayat awal surah alAn'am? Dikatakan siapa yang membacanya setiap hari, Allah akan mengutuskan 7000 malaikat yang akan bertasbih untuknya sehingga petang hari?
Jawapan:
Setakat semakan saya terdapat hadis yang disertakan di dalam Kanz al-'Ummal 2/144, hadis bilangan 3516 dengan disandarkan kepada Musnad al-Firdaus oleh al-Dailami, hadis dari Ibn 'Abbas RA dengan lafaz:
من صلى الفجر في جماعة، وقعد في مصلاه، وقرأ ثلاث آيات من أول سورة الأنعام، وكل الله به سبعين ملكا يسبحون الله، ويستغفرون له إلى يوم القيامة
maksudnya: "Sesiapa yang menunaikan solat Subuh berjemaah, setelah itu kekal duduk di tempat solatnya dan membaca tiga ayat permulaan surah al-An'aam, ALlah akan wakilkan 70 malaikat yang akan bertasbih kepada ALlah dan memohon keampunan untuknya sehingga hari kiamat."
al-Alusi (W1270H) di dalam Tafsirnya Ruh al-Ma'ani setelah mennyenaraikan beberapa hadis tentang kelebihan surah al-An'am termasuk beliau menyebut hadis di atas ini yang diriwayatkan oleh al-Dailami, setelah itu beliau menyebut pula hadis lain di dalam Musnad al-Firdaus oleh al-Dailami daripada Abu al-Syeikh daripada Hubaib bin Muhammad al-'Abid yang berkata:
من قرأ ثلاث آيات من أول الأنعام إلى قوله تعالى تَكْسِبُونَ بعث الله تعالى له سبعين ألف ملك يدعون له إلى يوم القيامة وله مثل أعمالهم فإذا كان يوم القيامة أدخله الجنة وسقاه من السلسبيل وغسله من الكوثر وقال: أنا ربك حقا وأنت عبدي
maksudnya: "Sesiapa yang membaca tiga dari awal surah al-An'am sehingga firman ALlah تَكْسِبُونَ Allah akan mengutuskan kepadanya 70,000 malaikat yang akan berdoa utnuknya sehingga hari kiamat, dan dia memperolehi pahala amalan seperti para malaikat tersebut. Apabila berlaku hari kiamat, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan akan diberi minum dari air Salsabil dan akan dimandikan dengan air sungai Kauthar dan Allah akan berfirman kepadanya: "Akulah tuhanmu yang sebenarnya dan dikaulah hamba-Ku."
Kebiasaannya hadis-hadis di dalam Musnad al-Firdaus oleh al-Dailami adalah hadis-hadis yang bermasaalah. Perkara ini terbukti dengan perkataan al-Alusi setelah beliau menyenaraikan dua hadis di atas dari Musnad al-Firdaus, beliau berkata:
إلى غير ذلك من الأخبار، وغالب ما في هذا المطلب ضعيف وبعضها موضوع كما لا يخفى
maksudnya: "Dan khabar-khabar (riwayat-riwayat) lain lagi yang pada kebiasaannya apa-apa yang ada di dalam sumber ini adalah lemah dan sebahagiannya palsu seperti yang tidak tersembunyi lagi." (Ruh al-Ma'ani Fi Tafsir al-Quran al-'Azhim Wa al-Sab' al-Mathaniy 4/72)