SDI 0584: Selawat Ke Atas Nabi Seperti Ibadat 80 Tahun?

Soalan: 
 
Siapa yang berselawat 80 kali pada hari jumaat sungguhnya ia mendapat pahala seolah beribadah 80 tahun. Betul kah ustaz? 
 
Jawapan: 
 
Ya, ada hadis yang diriwayatkan oleh Syahin di dalam alTarghib fi Fadhail alA'mal dari jalan عَوْن بْن عُمَارَةَ 'Aun bin 'Umarah, daripada Sakan alBurjumi سَكَن الْبُرْجُمِي daripada Hajjaj bin Sinan حَجَّاجِ بْنِ سِنَانٍ, daripada 'Ali bin Zaid, daripada Sa'ied bin alMusayyib, daripada Abu Hurairah RA yang berkata: "Rasulullah SAW bersabda:
 
الصَّلَاةُ عَلَيَّ نُورٌ عَلَى الصِّرَاطِ ، فَمَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً ، غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُ ثَمَانِينَ عَامًا
 
"Selawat ke atasku adalah berupa cahaya di atas titian sirat. Sesiapa yang berselawat ke atasku pada hari Jumaat 80 kali, akan diampunkan dosanya 80 tahun." Hadis ini adalah hadis Dhoief atau Lemah, bahkan ia bersangatan Lemah disebabkan sanadnya mengandungi tiga orang periwayat yang lemah. Mereka ialah: 
 
1. 'Ali bin Zaid bin Jad'an alBasri. Beliau seorang yang banyak masalah di sisi ramai para ulama hadis. (Lihat alMughniy fi alDhu'afaa oleh alZahabi 2/447)
2. Hajjaj bin Sinan. Beliau seorang yang Matruk seperti yang dikatakan oleh alAzdiy. (Lihat alMizan oleh Ibn Hajar 2/563) 
3. 'Aun bin 'Umarah alQaisiy. Seorang Mungkar alHadis, Dhoief dan tidak boleh dijadikan hujjah. (Lihat Tahzib alTahzib 8/173) 
 
Kerana itu ramai ulama hadis yang menilai hadis ini sebagai Lemah seperti alDaraqutni, alHafidz Ibn Hajar di dalam Nata-ij alAfkar 5/56, alSakhawi dalam alQaul alBadi' 284, alMunawi dalam Faidh alQadir 4/249 dan alAlbani dalam alSilsilah alDhoiefah 8/274. 
 
Tidak dinafikan hadis ini memiliki syawahid (sokongan) dari hadis lain. Namun hadis sokongan ini juga Lemah dan tidak boleh dijadikan penguat.
 

Cetak  
Wallahu a'lam