Kepalsuan Hadith Gerhana Bulan Dan Matahari Serentak

Wednesday, November 12, 2008
Kepalsuan Hadith Gerhana Bulan Dan Matahari Serentak
Soalan:

Kami ada menerima beberapa email ramalan yang dikatakan dari salah seorang pelajar Melayu di Universiti al-Azhar Mesir yang meramalkan pada akhir tahun ini (2005) akan lahirnya Imam Mahdi dan dalam bulan puasa tahun ini akan berlakunya dua gerhana bulan dan matahari secara serentak. Email tersebut mendakwa ada hadith yang mengkhabarkan peristiwa ini. Saya mengharapkan penjelasan dari Ustaz apakah benar ada hadith sedemikian rupa ? Apakah benar juga ramalan tersebut ? Penjelasan dari Ustaz kami ucapkan terima kasih

Jawapan:

Hadith yang dimaksudkan itu sebenarnya bukanlah hadith dari Nabi saw, ia diriwayatkan oleh ad-Daraqutni (الدارقطني) di dalam sunannya dari perkataan Muhammad bin al-Hanifiyah. Di bawah ini adalah lafaz al-Daruqutni:

قال الدارقطني : حدثنا أبو سعيد الاصطخري ثنا محمد بن عبد الله بن نوفل ثنا عبيد بن يعيش ثنا يونس بن بكير عن عمرو بن شمر عن جابر عن محمد بن علي قال:

" إن لمهدينا آيتين لم تكونا منذ خلق السماوات والأرض تنكسف القمر لأول ليلة من رمضان وتنكسف الشمس في النصف منه ولم تكونا منذ خلق الله السماوات والأرض".

 

Daruqutni berkata: "Menceritakan kepada kami Abu Said al-Asytakhri, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abdullah bin Naufal, telah menceritakan kepada kami 'Ubaid bin Ya'ies, telah menceritakan kepada kami Yunus bin Bakir, daripada 'Amr bin Syamir, daripada Jabir, daripada Muhammad bin Ali katanya :

"Sesungguhnya bagi Mahdi kami itu kedatangannya ada dua tanda (aayatain), tidak berlaku tanda tersebut sejak diciptakan langit dan bumi, akan berlaku gerhana bulan pada malam pertama bulan Ramadhan, gerhana matahari pada pertengahan bulan Ramadhan. Perkara ini tidak pernah berlaku sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi."

Athar ini adalah PALSU dan PENDUSTAAN terhadap Muhammad bin Ali (Ibn al-Hanifiyah) ra seperti yang disebut oleh Dr. Abdul 'Alim Abdul 'Azim al-Bastawi (الدكتور عبد العليم عبد العظيم البستوي ) di dalam kitabnya "al-Mausu'ah fi Ahadith al-Mahdi al-Dhoiefah wa al-Maudhuah" (الموسوعة في أحاديث المهدي الضعيفة والموضوعة ) m.s. 169.

Dr. Abdul 'Alim Abdul 'Azim al-Bastawi di dalam bukunya tersebut menyebut senarai para ulama hadith yang mengkritik beberapa rowi atau periwayat yang terdapat di dalam riwayat ini terutama 'Amr bin Syamir al-Ja'fi al-Kufi.

Tentang perawi-perawi yang terdapat di dalam sanad Dr. Abdul 'Alim Abdul 'Azim al-Bastawi menyebut pada riwayat tersebut adanya:

- Yunus bin Bakir bin Wasil as-Syaibani (يونس بن بكير بن واصل الشيباني ), Abu Bakar al-Jammal al-Kufi (بكر الجمَّال الكوفي). : (Orang yang banyak melakukan kesalahan). Mati pada tahun 199 H.

- 'Amr bin Syamir al-Ja'fi al-Kufi (وعمرو بن شَمِر الجعفي الكوفي ) : Seorang Syi'ah yang banyak memalsukan hadith.

Berkata pula as-Sulaimani : “'Amr adalah orang yang memalsukan hadith untuk menyokong Rawafid (Syi'ah Rafidhah)."

Berkata al-Jauzjani : "('Amr itu) Pendusta dan Pengubah (Hadith).

Berkata pula al-Hakim : "Dia ('Amr) banyak meriwayatkan hadith-hadith Palsu daripada Jabir al-Ja'fi, tidak ada yang meriwayatkan hadith-hadith palsu yang buruk daripada Jabir selain dia."

Berkata pula Ibn Hibban : "Dia seorang Rafidh (Syi'ah Rafidhah), dia mencela para sahabat dan meriwayatkan hadith-hadith palsu yang direka-reka daripada thiqaat."

Berkata pula Abu Hatim : "Dia ('Amr) benar-benar Mungkar Hadith, ditinggalkan hadith daripadanya."

Demikianlah kritikan para ulama Hadith yang menolak 'Amr bin Syamir. Antara ulama lain lagi yang menolak beliau ialah al-Bukhari, al-Nasa-ie, Ibn Sa'ad, Daraqutni dan lain-lain.

Manakala Jabir al-Ja'fi pula ialah Matrukul Hadith (متروك الحديث ) iaitu ditinggalkan Hadith daripadanya. Akan tetapi beliau dithiqahkan oleh Syu'bah, Waki' dan al-Thauri. Namun begitu Ibn Ma'in, Abu Hanifah, Laith bin Abi Sulaim, al-Jauzjani, Ibn 'Uyainah, Ibn Kharrasy, Sa'id bin Jubair dan selain mereka menganggap ia sebagai pendusta, selain itu ramai ulama Hadith lain yang melemahkannya.

Kerana itu az-Zahabi berkata : "Syu'bah menthiqahkannya, tetapi (pendapat Syu’bah ini) Syaz, kerana al-Huffaz hadith yang lain meninggalkannya."

Berkata pula Ibn Hajar : "Dia lemah dan seorang Rafidhi (Syiah Rafidhah)."

Kesimpulannya : "Hadith ini adalah hadith PALSU, kepalsuan ini disebabkan adanya beberapa rawi yang tidak thiqah terutamanya 'Amr bin Syamir al-Ja'fi al-Kufi".

Berkata al-'Azim Abadi : "Amr bin Syamir dari Jabir ; perkataan mereka berdua adalah LEMAH. Tidak dijadikan hujjah dengan mereka berdua."


Cetak  
Wallahu a'lam