Makna Hadis “Mimpi yang baik itu satu juzuk dari 46 juzuk kenabian.” (1)

MAKNA HADIS “MIMPI YANG BAIK ITU SATU JUZUK DARI 46 JUZUK KENABIAN.” (1)

Hadis-hadis yang menyebut tentang mimpi (الرؤيا) sebagai sesuatu yang termasuk dalam juzuk-juzuk kenabian diriwayatkan dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza dalam bentuk perbezaan yang ketara. Di mana sebahagian riwayat ada yang menetapkan mimpi yang baik sebagai satu juzuk dari 25 juzuk kenabian, sebahagian yang lain pula menetapkan sebagai satu juzuk dari 46 juzuk kenabian dan ada lagi riwayat-riwayat lain dengan penetapan-penetapan jumlah yang lain.

            Termasuk dalam perkara prinsip iaitulah kenabian telahpun tamat dengan kewafatan Nabi SAW. Cuma yang menjadi tanggungjawab golongan agama menerangkan apakah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dengan sabda baginda mimpi yang baik itu termasuk dari bahagian kenabian.

 

HADIS TENTANG BAHAGIAN MIMPI

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW yang bersabda:

الرؤيا ثلاثة: فرؤيا الصالحة بشرى من الله، ورؤيا تحزين من الشيطان، ورؤيا مما يحدث المرء نفسه...

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga (bahagian); mimpi yang baik berupa khabar gembira dari Allah, mimpi yang mendatangkan kesedihan dari syaitan dan mimpi dari sebab apa-apa yang bermain di dalam fikiran seseorang…”

Di sisi al-Tirmizi dengan lafaz:

الرؤيا ثلاث: فرؤيا حق، ورؤيا يحدث بها الرجل نفسه، ورؤيا تحزين من الشيطان....

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga, mimpi yang benar, mimpi yang bermain di fikiran seseorang dan mimpi yang mendatangkan kesedihan dari syaitan…” kata al-Tirmizi: “Hadis ini Hasan Sahih.”

Di sisi Ibn Majah, hadis daripada ‘Auf bin Malik RA (عوف بن مالك), daripada Rasulullah SAW dengan lafaz:

إن الرؤيا ثلاث: منها أهاويل من الشيطان ليحزن بها ابن آدم، ومنها ما يهم به الرجل في يقظته فيراه في منامه، ومنها جزء من ستة وأربعين جزءاً من النبوة

Maksudnya: “Sesungguhnya mimpi itu ada tiga; antaranya ahawil dari syaitan bagi mendatangkan kesedihan kepada anak Adam, antaranya apa-apa yang diinginkan oleh seseorang ketika jaganya, antaranya pula mimpi yang berupa satu juzuk dari 46 juzuk kenabian.” Kata al-Busiri (البوصيري)[1]: “Isnad ini Sahih, para periwayatnya thiqat.”

Hadis-hadis ini menunjukkan mimpi terbahagi kepada tiga bahagian:

  1. Mimpi yang baik (الرؤيا الصالحة) iaitulah mimpi yang benar dan ia merupakan satu juzuk dari 46 juzuk kenabian.
  2. Mimpi dari diri sendiri (الحلم النفسي) iaitulah yang disebut di dalam hadis Abu Hurairah yang diterjemahkan sebagai: “mimpi dari sebab perkara yang bermain di dalam fikiran seseorang.” Di dalam hadis ‘Auf bin Malik pula menyebut dengan terjemahan: “apa-apa yang diinginkan oleh seseorang ketika jaganya, lalu dia melihat perkara itu ketika tidur.

Lafaz dari Abu Hurairah lebih bersifat umum dan luas cangkupannya berbanding lafaz dari ‘Auf bin Malik, kerana perkara yang bermain di dalam fikiran termasuk al-Hamm (الهم) dan selainnya.

Ini menunjukkan jika seseorang hendakkan sesuatu perkara, atau dia berangan mendapatkannya, atau dia berazam melakukannya atau fikirannya sibuk memikirkan perkara tersebut dan seumpamanya, perkara itu pula bermain di fikirannya, maka apabila dia bermimpi perkara itu di dalam tidurnya, maka mimpi sebegini berlaku dari dorongan dirinya sendiri (الأحلام النفسية).

  1. Mimpi syaitani (الحلم الشيطاني) yang dinyatakan dalam lafaz hadis Abu Hurairah sebagai: “mimpi yang mendatangkan kesedihan daripada syaitan.” Dalam hadis ‘Auf bin Malik pula dinyatakan sebagai: “ahawil dari syaitan bagi mendatangkan kesedihan kepada anak Adam”.

Oleh itu, mimpi-mimpi yang menggambarkan perkara-perkara yang menakutkan kepada seseorang dan mendatangkan rasa sedih kepada seseorang, ia termasuk dalam kategori ini iaitulah mimpi syaitani.

Namun hal ini tidaklah bermakna semua mimpi yang mendatangkan rasa takut dan sedih kepada seseorang semestinya mimpi dari syaitan, kerana boleh juga berlaku sesuatu mimpi yang datang dari sebab masalah dan kesusahan yang dialami dalam hidup seseorang sehingga perkara itu dilihatnya di dalam tidurnya. Jika ini faktor mimpi tersebut, maka ia termasuk dalam bahagian mimpi dari dorongan diri sendiri (الأحلام النفسية).

-------------------------------------- 

[1] Beliau ialah أحمد بن أبي بكر بن إسماعيل بن سليم الكناني الشافعي، أبو العباس، شهاب الدين dari kalangan huffadz al-Hadis. Meninggal dunia pada tahun 840H. Perkataan beliau ini dinukil dari kitab beliau Misbah al-Zujajah Fi Zawa-id Ibn Majah (مصباح الزجاجة في زوائد ابن ماجه), 3: 215 (1367), tahkik Musa Muhammad ‘Ali dan ‘Izzat ‘Ali ‘Atiyyah (Qaherah, Dar al-Kutub al-Hadithah).


Cetak  
Wallahu a'lam