Daripada 'Abdullah bin 'AMir bin Rabi'ah RA, katanya:
دعتْني أُمي يومًا ورسولُ اللهِ صلى اللهُ عليه وسلم قاعدٌ في بيتِنا فقالتْ: ها تعالَ أُعطيكَ فقال لها رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وما أردتِ أنْ تعطيهِ ؟ قالتْ : أُعطيهِ تمرًا، فقال لها رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : أما إنك لو لمْ تُعطيهِ شيئًا كُتبتْ عليكِ كَذِبةٌ
maksudnya: "Ibuku pernah memanggilku pada suatu hari dan ketika itu Rasulullah SAW berada di rumah kami. Kata Ibuku: "Datang kemari (wahai 'Abdullah), ibu akan berikan sesuatu kepada kamu (jika kamu datang). Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kamu sebenarnya tidak akan memberikan sesuatu kepadanya?" Jawab ibuku: "Daku akan berikan kepadanya sebutir tamar." Sabda Rasulullah SAW: "Adapun jika kamu tidak memberikan kepadanya sesuatu (setelah kamu menyatakannya) maka dicatit ke atasmu satu dosa berbohong." (Hadis dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)
Dalam hadis lain daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
من قال لصبيٍّ : تعالَ هاك ثم لم يعطِه فهي كذبةٌ
maksudnya: "Sesiapa yang berkata kepada seorang budak: "Datang ke sini, yang ini untukmu, kemudian orang itu tidak memberikannya, maka dia dicatit telah berdosa kerana berbohong."
PENGAJARAN
Berbohong adalah satu sifat keji. Seorang muslim sepatutnya berusaha memastikan sentiasa bercakap benar sekalipun ketika bergurau. Termasuk dalam tuntutan bercakap benar, iaitulah tuntutan kepada ibu dan bapa agar melaksanakan apa yang telah mereka janjikan kepada anak-anak kecil mereka sekalipun ketika mereka bergurau. Jika mereka tidak melaksanakan apa yang mereka janjikan sekalipun ketika bergurau, maka mereka dikira telah melakukan dosa berbohong kepada anak mereka.
Dalam hadis ini menunjukkan bagaimana Nabi SAW sentiasa memberi perhatian dalam mendidik umatnya sekalipun seorang ibu ketika bergurau bersama anaknya. Nabi SAW sama sekali tidak akan merestui apa-apa tindakan yang salah melainkan baginda akan memperbetulkannya. Demikian juga membiasakan diri berbohong ketika bergurau dengan anak kecil akan menjadikan si anak terdorong untuk bercakap bohong seperti yang ditunjuk oleh orang tuanya.