Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
Mafhumnya: “Bersegeralah dengan melakukan amalan-amalan soleh sebelum berlakunya fitnah seperti kepingan-kepingan malam yang gelap, (ketika itu) seorang lelaki beriman pada pagi harinya dan menjadi kufur pada petang harinya, dia beriman pada petang harinya dan menjadi kufur pada keesokan paginya, dia menjual agamanya dengan habuan dunia.” – Muslim: al-Iman (118). Al-Tirmizi: al-Fitan (2195). Ahmad: (2/303) –
SYARAH
Al-Fitan - الفِتَنُ – adalah kata jamak untuk Fitnah - فِتْنَةٌ –. Pada asalnya kalimah fitnah membawa maksud ujian, juga membawa maksud memasukkan emas ke dalam api bertujuan mengasingkan emas yang bernilai dengan yang tidak, dan untuk membersihkannya. Setelah itu kalimah fitnah digunakan sebagai maksud ujian dan cubaan. Kalimah fitnah bermaksudkan ujian dan percubaan dapat dilihat dari beberapa firman Allah SWT antaranya:
Mafhumnya: “dan Demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka dengan sebahagian mereka yang lain, supaya sebahagian mereka berkata: "Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah Allah kepada mereka?" (Allah berfirman): "Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepadaNya)?" – al-An’am: 53 –
Firman Allah SWT lagi:
Mafhumnya: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan.” – al-Anbiya: 35 –
Kalimah fitnah, jika dilafazkan secara umum ia memiliki beberapa maksud, antaranya:
1. Ujian yang berbentuk azab, maksud ini dapat diperhatikan dari firman Allah SWT:
Mafhumnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan ujian (menyiksa, mendatangkan bencana, membunuh dan seumpamanya) kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, Maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” – al-Buruj: 10 –
2. Sesuatu yang boleh mendatangkan azab. Maksud ini pula dapat diperhatikan dari firman Allah SWT:
Mafhumnya: “Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih.” – al-Nur: 63 –
Oleh yang demikian kalimah Fitnah jika disebut secara umum, maka ia membawa maksud azab atau sesuatu yang boleh mendatangkan azab seperti kekufuran, maksiat dan kesyirikan. Imam Ahmad bin Hambal pernah berkata:
أتدري ما الفتنة؟ الفتنة الشرك، لعله إذا رد بعض قوله أن يقع فى قلبه شيء من الزيغ فيهلك
Maksudnya: “Tahukah kamu apa itu fitnah? Fitnah adalah kesyirikan (sesuatu yang boleh membawa kepada kesyirikan), barangkali apabila seseorang menolak sebahagian sabdaan Nabi SAW, akan terdapat pada jantung hatinya sedikit dari penyimpangan, maka dia akan binasa.” – Ibn Battah di dalam al-Ibanah al-Kubra: 1/260 –
Justeru firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 191:
Mafhumnya: “…dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan.”
Ayat ini membawa maksud Fitnah iaitulah kesyirikan dan kekufuran adalah lebih besar bahayanya dari pembunuhan. Pada ayat lain dari surah yang sama Allah berfirman:
Mafhumnya: “Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah, dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh...” – al-Baqarah: 217 –
Maka ayat ini memberikan maksud fitnah yang dikehendaki, ia juga membawa maksud bentuk-bentuk ujian yang diberikan kepada manusia termasuklah kekacauan dan peperangan terutamanya peperangan yang tidak dapat dibezakan antara yang benar dan yang salah, sehingga di dalam sebuah hadis dari Abu Bakrah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ ، الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ ، وَالْقَائِمُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْمَاشِي ، وَالْمَاشِي خَيْرٌ مِنَ السَّاعِي
Mafhumnya: “Sesungguhnya akan berlaku fitnah, ketika itu orang yang duduk lebih baik dari yang berdiri, yang berdiri lebih baik dari yang berjalan, dan yang berjalan lebih baik dari yang berlari.” – al-Bukhari: al-Manaqib (3602), Muslim: al-Fitan wa Asyrath al-Sa’ah (2886), Ahmad 92/282) –
Hadis ini menggambarkan keadaan fitnah yang berupa kekacauan dan peperangan yang berlaku sehingga tidak dapat dibezakan yang mana benar dan yang mana salah, sehingga orang yang tidak terbabit dalam mencetus dan meneruskan fitnah tersebut merekalah yang terbaik di sisi pandangan Islam.
Di samping itu terdapat pula fitnah dari sudut maknawi, iaitulah fitnah nafsu syahwat dan syubhah. Syahwat dan Syubhah dikira fitnah dari sudut ia merupakan ujian kepada manusia. Apakah yang dimaksudkan dengan Syahwat dan Syubhah? Syahwat ialah apa sahaja yang menjadi keinginan manusia. Punca utama kepada fitnah syahwat ialah menuruti kesemua kehendak nafsu. Tanpa sifat sabar yang terdidik, akhirnya syahwah akan mengheret manusia untuk memenuhi setiap keinginannya tanpa memikirkan halal-haram dan akan memalingkan dia daripada tuntutan agama. Manakala syubhah pula merupakan kesamaran dan kekaburan, iaitulah samar dan kabur dari melihat perkara yang batil sebagai batil dan perkara kebenaran sebagai kebenaran, punca kepada fitnah syubhah ini ialah kejahilan. Tanpa kesungguhan dan kesediaan untuk menuntut ilmu, akhirnya manusia terus berada dalam keadaan jahil yang berpanjangan. Demikianlah secara umum maksud kalimah fitnah yang banyak dituturkan di dalam al-Quran dan al-Hadis.
Hadis yang menjadi tajuk perbincangan utama di atas, di dalamnya baginda SAW bersabda:
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا bermaksud: bersegeralah dan tinggalkan fitnah ke belakang, bersungguh-sungguhlah dalam melakukan amalan soleh sebelum diturunkan fitnah kepada kamu. Termasuk juga di dalam arahan bersegera ini agar bersegera sebelum datangnya hari tua, lemah badan dan sakit.
كَقَطْعِ الْلَيْلِ الْمُظْلِمِ bermaksud: “seperti kepingan-kepingan malam yang gelap,” sebagai isyarat kepada keadaan fitnah yang akan membantutkan perlaksanaan amalan soleh, dan menghalang manusia dari jalan Allah. Baginda membuat perumpamaan dengan kepingan-kepingan malam yang amat gelap kehitaman, termasuk di dalamnya semua seruan batil dan palsu seperti bid’ah dan kekufuran sama ada dalam persoalan keyakinan mahupun amalan, seruan kepada perkara-perkara haram, dosa dan maksiat. Oleh yang demikian selagi seseorang itu masih sihat, maka hendaklah dia bersegera melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah kepadanya, sama ada fitnah itu akan memantutkan perlaksanaan amalan soleh atau fitnah itu akan memesongkan terus seseorang itu dari kebenaran dan menjuruskan dia ke dalam kesesatan dan penyelewengan, seperti mana malam gelap menyekat cahaya penglihatan.
Hadis ini merupakan perkhabaran dari Nabi SAW akan keadaan akan datang, dimana fitnah akan berlaku, maka baginda SAW memberi peringatan kepada umat Baginda agar bersegera melakukan amalan soleh dan jangan melengah-lengahkannya lagi, kerana apabila sampai waktu fitnah seseorang itu tidak mampu lagi melakukan apa-apa amalan soleh.
Ternyata setelah wafatnya baginda SAW berlaku banyak fitnah yang menguji ketahanan iman dan keyakinan setiap muslim. Bermula dari berlakunya kemurtadan di kalangan masyarakat Arab dengan kewafatan baginda. Namun fitnah ini berjaya ditanggapinya oleh kesemua para sahabat yang diketuai oleh Khalifah yang pertama, Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq RA. Setelah api fitnah ini berjaya dipadamkan oleh para sahabat datang pula fitnah yang berikutnya dan ia berterusan merebak sehingga ke hari ini, iaitulah fitnah yang bermula dengan pembunuhan khalifah Islam yang ketiga Sayyidina ‘Uthman bin al-‘Affan RA. Pintu kepada fitnah ini adalah dengan kematian Khalifah yang kedua, Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA. Di dalam Sahih al-Bukhari, daripada Syaqiq yang berkata beliau mendengar Huzaifah RA berkata:
بَيْنَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ عُمَرَ إِذْ قَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ قَوْلَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْفِتْنَةِ قَالَ فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلَاةُ وَالصَّدَقَةُ وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيُ عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ لَيْسَ عَنْ هَذَا أَسْأَلُكَ وَلَكِنْ الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ قَالَ لَيْسَ عَلَيْكَ مِنْهَا بَأْسٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابًا مُغْلَقًا قَالَ عُمَرُ أَيُكْسَرُ الْبَابُ أَمْ يُفْتَحُ قَالَ بَلْ يُكْسَرُ قَالَ عُمَرُ إِذًا لَا يُغْلَقَ أَبَدًا قُلْتُ أَجَلْ قُلْنَا لِحُذَيْفَةَ أَكَانَ عُمَرُ يَعْلَمُ الْبَابَ قَالَ نَعَمْ كَمَا يَعْلَمُ أَنَّ دُونَ غَدٍ لَيْلَةً وَذَلِكَ أَنِّي حَدَّثْتُهُ حَدِيثًا لَيْسَ بِالْأَغَالِيطِ فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنْ الْبَابُ فَأَمَرْنَا مَسْرُوقًا فَسَأَلَهُ فَقَالَ مَنْ الْبَابُ قَالَ عُمَرُ
Mafhumnya: “Ketika kami duduk bersama ‘Umar, tiba-tiba beliau bertanya: Siapakah dari kalangan kamu semua yang menghafal hadis Nabi SAW tentang fitnah. Kata Huzaifah: Fitnah (kekurangan dalam melaksanakan kewajipan) seorang lelaki terhadap keluarga, harta, anak dan jirannya, akan dihapuskan dengan solat, sedekah, al-Amr bil Ma’ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar. ‘Umar berkata: Bukan fitnah itu yang saya maksudkan, akan tetapi yang saya tanyakan ialah fitnah yang memukul seperti gelombang laut. Jawab Huzaifah: Jangan bimbang wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya antara anda dan fitnah itu ada satu pintu yang tertutup. Berkata ‘Umar: Apakah pintu itu akan dipecahkan atau akan dibuka? Jawab Huzaifah: Bahkan ia akan dipecahkan. Kata ‘Umar: Jika demikian dia tidak akan ditutup lagi buat selama-lamanya. Jawab Huzaifah: Ya benar. Lalu kami bertanya kepada Huzaifah: Apakah ‘Umar mengetahui pintu tersebut? Beliau menjawab: Ya dia mengetahuinya sepertimana pengetahuannya akan ketiadaan hari esok tanpa terlebih dahulu datangnya malam, hal itu demikian kerana aku menkhabarkan kepadanya satu berita yang bukanlah kabur padanya. (kata Syaqiq) kami bimbang untuk bertanya kepada Huzaifah siapakah pintu tersebut, lalu kami meminta Masruk untuk bertanya, lalu Masruk bertanya kepada Huzaifah: Siapakah pintu tersebut? Jawab Huzaifah: pintu itu adalah ‘Umar.” – al-Bukhari: al-Fitan (6683), Bab al-Fitnah Yamuj ka Mauj al-Bahr –
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari ketika mensyarahkan hadis ini menyebut beberapa riwayat lain yang menceritakan tentang fitnah akhir zaman, beliau menyebut:
قوله : باب الفتنة التي تموج كموج البحر كأنه يشير إلى ما أخرجه ابن أبي شيبة من طريق عاصم بن ضمرة عن علي قال " وضع الله في هذه الأمة خمس فتن " فذكر الأربعة ثم فتنة تموج كموج البحر وهي التي يصبح الناس فيها كالبهائم أي لا عقول لهم. ويؤيده حديث أبي موسى : تذهب عقول أكثر ذلك الزمان " وأخرج ابن أبي شيبة من وجه آخر عن حذيفة قال " لا تضرك الفتنة ما عرفت دينك ; إنما الفتنة إذا اشتبه عليك الحق والباطل
Mafhumnya: “Bab yang disebut oleh al-Bukhari: Bab Fitnah Yang Memukul Seperti Gelombang Laut, seolah-olah beliau mengisyaratkan kepada apa yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada jalan ‘Asim bin Dhamrah daripada ‘Ali yang berkata: “Allah menjadikan lima fitnah untuk umat ini,” lalu beliau menyebut empat daripadanya, kemudian menyebut fitnah yang memukul seperti gelombang ombak, iaitulah fitnah yang menjadikan manusia seperti binatang-binatang ternak, tidak memiliki akal. Ia dikuatkan lagi dengan hadis Abu Musa yang menyebut: “Fitnah itu akan menghilangkan akal manusia pada zaman itu.” Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dari wajah yang lain daripada Huzaifah yang berkata: “Fitnah itu tidak dapat memudharatkan kamu jika kamu mengetahui agama kamu, hanyasanya fitnah itu apabila kamu tidak jelas antara kebenaran dan kebatilan.”
Fitnah kekacauan dan peperangan ini apabila berlaku ia akan terus berterusan. Ia merupakan fitnah yang menyesatkan manusia, termasuk di dalam fitnah kekacauan ini adalah fitnah politik, ideologi, keyakinan dan pengamalan yang dinyatakan oleh Nabi SAW seseorang itu boleh menjadi beriman pada pagi hari, namun apabila petang dia menjadi kafir, boleh jadi seseorang itu beriman pada petang harinya pula, namun pada pagi keesokannya dia menjadi kafir. Keadaan ini disebabkan seruan kebatilan yang dihadap dan diajukankan kepadanya sehingga dia tidak dapat membezakan lagi antara kebenaran dengan kebatilan.
Oleh yang demikian, beriltizam dengan melakukan amalan soleh merupakan sebab terselamat dari fitnah yang menyesatkan ini. Hal ini demikian kerana sesiapa yang berpegang teguh dengan agama Allah ketika dalam keadaan selesa dan selamat, maka ketika kedatangan fitnah ia akan tetap terselamat. Melakukan amalan soleh adalah dengan berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah, kerana kedua-duanya merupakan penyelamat dan pelindung daripada fitnah.
Di dalam hadis di atas juga Nabi SAW bersabda:
يَبِيْعُ دِيْنَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
Mafhumnya: “dia menjual agamanya dengan habuan dunia.”
Potongan hadis ini menunjukkan sebab seseorang itu terkena kesesatan dan fitnah, iaitulah apabila ia melebihkan dunia berbanding akhirat. Ternyata realiti yang berlaku membenarkan hadis ini. Kesemua fitnah yang membawa kepada penyelewengan, kesesatan dan kekufuran adalah disebabkan melebihkan dunia berbanding akhirat dan mengejar habuan dunia dengan mengabaikan tuntutan akhirat. Mengejar jawatan, pujian, penghormatan, kemasyhuran dan seumpamanya antara fitnah merbahaya yang sentiasa menunggu untuk menjerat individu-individu duniawi tanpa kecuali siapapun mereka. Kita memohon kepada Allah SWT untuk menyelamatkan kita dari fitnah-fitnah tersebut.