Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA yang berkata:
أنَّ جدَّتَهُ مُلَيْكةَ دعَت رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ لطعامٍ صنعتهُ ، فأَكَلَ منهُ ، ثمَّ قالَ : قوموا فلنصلِّ بِكُم ، قالَ أنسٌ: فقُمتُ إلى حَصيرٍ لَنا قَد اسودَّ مِن طولِ ما لُبِسَ ، فنَضحتُهُ بالماءِ ، فقامَ عليهِ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ وصفَفتُ عليهِ أَنا ، واليَتيمُ وراءَهُ ، والعَجوزُ من ورائنا ، فصلَّى بنا رَكْعتينِ ، ثمَّ انصرفَ
Maksudnya: “Bahawasanya nenek dia yang bernama Mulaikah, pernah menjemput Rasulullah SAW untuk jamuan makan yang disediakannya. Lalu Rasulullah makan dari jamuan tersebut. Setelah itu baginda bersabda: "Bangunlah, daku imamkan solat bersama kamu semua." Kata Anas: "Akupun bangun mengambil tikar kami yang telahpun hitam disebabkan lama telah digunakan. Aku percikkan air ke tikar tersebut." Lalu baginda Rasulullah SAW berdiri di atas tikar tersebut. Aku dengan seorang anak yatim berdiri di dalam saf di di belakang baginda, manakala nenek berdiri di belakang kami. Baginda solat dua rakaat mengimamkan kami. Setelah itu baginda beredar." (HR al-Tirmizi)
Mulaikah ini, para ulama berbeza pandangan. Perkataan rawi atau periwayat جدَّتَهُ, yang bermaksud “nenek dia”, gantinama “dia” itu kembali kepada Anas atau kembali kepada rawi yang mengambil hadis ini daripada Anas? Rawi yang ambil hadis ini daripada Anas ialah Ishak bin Abdillah bin Abi Talhah, daripada Anas bin Malik, bahawasanya neneknya. Kalau "neneknya" ini kembali kepada Ishak, iaitulah anak saudara Anas. Bapa Ishak adalah Abdillah bin Abi Talhah.
Abu Talhah berkahwin dengan emak Anas. Jadi Abdullah adalah adik kepada Anas satu emak.
Saya pernah cerita kepada tuan-tuan, emak Anas adalah Ummu Sulaim. Ketika Rasulullah datang ke Madinah, suami Ummu Sulaim, bapak Anas, yang bernama Malik, tidak mahu mengikut ajaran Rasulullah. Lalu dia lari ke Syam dan mati dalam perjalanan ke Syam. Mati dalam keadaan kafir.
Menjadi jandalah emak Anas, Ummu Sulaim di Madinah. Lalu Ummu Sulaim dipinang oleh Abu Talhah dan mereka berkahwin. Salah seorang anak yang dilahirkan hasil perkahwinan ini adalah Abdullah, bapa kepada Ishak yang meriwayatkan hadis ini daripada Anas.
Jadi hadis ini, daripada Ishak bin Abdillah bin Abi Talhah. Dia ambil daripada Anas, dia anak saudara kepada Anas, kerana bapanya Abdillah, adik kepada Anas satu emak.
Kalau nenek ini kembali kepada Ishak, maka nenek ini adalah emak Anas bin Malik. Emak Anas ialah Ummu Sulaim. Kata sebahagian ulama, Mulaikah ini adalah nama sebenar Ummu Sulaim. Kerana Ummu Sulaim bukan nama, sebaliknya kuniah atau gelaran yang bermula dengan Umm atau Abu. Sebahagian ulama kata begitu. Nenek di sini adalah nenek kepada Ishak, emak kepada Anas bin Malik.
Sebahagian ulama lain berkata أنَّ جدَّتَهُ “bahawa nenek dia” di sisi ialah nenek kepada Anas bin Malik, emak kepada Ummu Sulaim. Ada khilaf dalam masalah ini. Kenapa timbul isu ini? Kerana dalam sebahagian riwayat hadis menceritakan, seperti riwayat al-Tirmizi ini, disebutkan yang solat bersama dengan mereka itu adalah Mulaikah. Dalam sebahagian riwayat yang lain, sama ada Bukhari ataupun Muslim, ada sebut nama Ummu Sulaim yang sembahyang dengan mereka itu. Kes yang sama, cerita yang sama. Sebahagian riwayat sebut Ummu Sulaim, sebahagian riwayat sebut Mulaikah.
Menyebabkan timbul isykal, timbul persoalan di kalangan ulama, sebenarnya siapa dia yang sembahyang dalam peristiwa ini? Mulaikah atau Ummu Sulaim? Mulaikah ini orang yang sama dengan Ummu Sulaim atau dia orang yang berbeza?
Wallahu a’lam, sebahagian para pengkaji mengatakan pandangan yang lebih kuat, Mulaikah ini adalah nenek kepada Anas bin Malik. Ia dikuatkan dengan adanya riwayat lain yang bagitahu, Anas bin Malik pernah berkata:
أرسلتني جدتي واسمها مليكة
Maksudnya: “Nenek aku pernah mengutuskan aku kepada Rasulullah (untuk menjemput baginda) dan nama nenekku itu adalah Mulaikah.”
Bila ada riwayat ini, ia menguatkan pandangan ulama yang mengatakan, Mulaikah dalam riwayat ini adalah nenek kepada Anas bin Malik.
Tetapi ulama kena jawab, bagaimana dengan riwayat yang ada menyebut wanita yang solat bersama mereka itu adalah Ummu Sulaim yang merupakan emak kepada Anas, bukan nenek Anas.
Kata para ulama, tidak mustahil Ishak bin Abdilllah bin Abi Talhah meriwayatkan kisah ini berlaku dua kali. Salah satunya yang menjemput Rasulullah adalah Mulaikah iaitulah nenek kepada Anas. Dalam peristiwa lain Rasulullah dijemput oleh Ummu Sulaim iaitulah emak kepada Anas. Kisah ini berlaku dua kali.
Kerana itu kita akan tengak yang mengambil hadis ini daripada Ishak bin Abdillah bin Abi Talhah ini, dua orang atau ada dua jalan. Satu diambil oleh Imam Malik dan satu lagi diambil oleh Sufyan bin Uyainah. Kedua-duanya guru kepada Imam Syafie. Seorang guru Imam Syafie di Madinah (Imam Malik), seorang lagi guru Imam Syafie di Mekah (Sufyan bin Uyainah). Jadi satu hadis sebut Ummu Sulaim dan satu lagi sebut Mulaikah. Menunjukkan peristiwa itu berlaku dua kali.
Syeikh Idris al-Marbawi, ambil pandangan yang kata Mulaikah ini adalah Ummu Sulaim.