Soalan:
Ustaz benarkah ada hadis dari Abu Hurairah tentang Nabi SAW tanya kepada Jibril berapa umurnya? Jibril beritahu ada bintang yang akan muncul sekali selama 70 ribu tahun, dan Jibril telah melihat bintang tersebut sebanyak 72 ribu tahun. Apakah hadis ini sahih ustaz?
Jawapan:
Hadis yang anda maksudkan ialah hadis yang didakwa dari Abu Hurairah RA yang berkata:
سأل النبيّ صلى الله عليه وسلم جبريل عليه السلام فقال: يا جبريل كم عمّرتَ من السنين؟ فقال: يا رسول الله لست أعلم ، غير أن في الحجاب الرابع نجمًا يطلع في كل سبعين ألف سنة مرة ، رأيته اثنتين وسبعين ألف مرة ، فقال النبيّ صلى الله عليه وسلم : ( وعزة ربي أنا ذلك الكوكب )
Maksudnya: “Nabi SAW pernah bertanya kepada Jibril AS: “Wahai Jibril, berapakah umurmu dalam hitungan tahun?” Jawab Jibril: “Wahai Rasulullah, aku juga tidak tahu. Cumanya pada hijab ke empat terdapat satu bintang yang akan terbit sekali dalam tempoh 70,000 tahun dan aku telahpun melihatnya sebanyak 72,000 kali.” Sabda Nabi SAW: “Demi keagungan tuhanku, dakulah bintang yang dimaksudkan itu.”
Hadis ini BATIL dan TIADA ASAL USUL. Tokoh sufi sendiri yang menghukum hadis ini sebagai palsu. Beliau ialah al-Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad al-Siddiq al-Ghumari RH, seorang sufi Maghrib, beliau berkata tentang hadis ini:
وروي في بعض كتب المولد النبوي عن أبي هريرة قال: " سأل النبيّ صلى الله عليه وسلم جبريل عليه السلام فقال: يا جبريل كم عمّرتَ من السنين؟ ... " فذكره ثم قال : " وهذا كذب قبيح ، قبّح الله من وضعه وافتراه
Maksudnya: “Diriwayatkan di dalam sebahagian kitab-kitab maulid nabi daripada Abi Hurairah yang berkata…" lalu disebut hadis di atas. "Riwayat ini satu pendustaan yang keji. Semoga Allah menjadikan hodoh sesiapa yang mencipta dan mengada-adakan hadis ini.”
Sambung al-Ghumari lagi:
ذكر بعض غلاة المتصوفة أن جبريل عليه السلام كان يتلقّى الوحي من وراء حجاب وكُشف له الحجاب مرة فوجد النبيّ صلى الله عليه وسلم يوحي إليه فقال جبريل: منك وإليك. قلت: لعن الله من افترى هذا الهراء المخالف للقرآن
Maksudnya: “Sebahagian kumpulan pelampau sufi ada menyebut bahawa Jibril AS dahulunya sering menerima wahyu dari balik tabir. Lalu tabir tersebut pernah sekali disingkap darinya. Jibril mendapati selama ini Nabi SAW yang menyampaikan wahyu kepadanya (dari balik tabir tersebut). Lalu Jibril berkata: “(semua wahyu itu) daripada kamu dan disampaikan semula kepada kamu?”
Kata al-Ghumari seterusnya: “Semoga Allah melaknat orang yang mereka-reka cerita karut ini yang menyanggahi al-Quran.” (Mursyid al-Ha-ir, hal: 11 - 12)