Berhati-hatilah Dari Menjadi Seorang Yang Suci Di Hadapan Manusia, Tetapi Seperti Syaitan Ketika Bersendirian

 

عَنْ ثَوْبَانَ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ: "لأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا" قَالَ ثَوْبَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا، جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لاَ نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لاَ نَعْلَمُ، قَالَ : "أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ وَيَأْخُذُونَ مِنَ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا".

Mafhumnya: Daripada Thauban RA, daripada Nabi SAW yang bersabda: “Saya akan memberi tahu tentang beberapa golongan dari kalangan umatku akan datang pada hari kiamat dengan membawa beberapa kebaikan (pahala yang banyak) seperti gunung-ganang Tihamah yang bewarna putih, namun Allah SWT menjadikan kebaikan mereka yang banyak itu seperti debu yang berterbangan (tidak diterima oleh Allah SWT).” Thauban bertanya: “Wahai Rasulullah, sebut dan jelaskan sifat mereka kepada kami, agar kami tidak termasuk dari kalangan mereka, dalam keadaan kami tidak mengetahuinya.” Sabda Baginda SAW: “Adapun mereka adalah dari kalangan saudara-mara kamu (umat Islam) dan dari jenis kamu, mereka menunaikan solat malam seperti kamu semua menunaikannya (namun Allah SWT tidak menerimanya), akan tetapi mereka adalah golongan yang apabila bersendirian dengan perkara-perkara haram, mereka melanggar tegahan-tegahan Allah.” (Ibn Majah 2/1418, bil: 4245. Kata al-Munziri 3/170: “Para periwayatnya Thiqaat.” Al-Busiri berkata 4/246: “Isnad hadis ini Sahih, para periwayatnya Thiqaat.” Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah, bil: 4245)

وعَنْ سَعِيدِ بْنِ يَزِيدَ رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ: أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوْصِنِي؟ قَالَ: "أُوصِيكَ أَنْ تَسْتَحِيَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ، كَمَا تَسْتَحِي رَجُلًا صَالِـحًا مِنْ قَوْمِكَ".

Mafhumnya: Daripada Sa’ied bin Yazid RA, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah beriah pesanan kepadaku.” Jawab Baginda SAW: “Daku berpesan kepadamu, agar malu kepada Allah ‘Azza wa Jalla, sepertimana kamu malu terhadap seorang lelaki yang saleh (yang disegani) dari kaummu.” (Ahmad di dalam al-Zuhd, hal: 46. Al-Baihaqi di dalam al-Sya’ab 2/462/2. Isnad hadis ini dinilai sebagai Baik oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah 2/376)

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَأَبِي ذَرٍّ وَعُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " الإِحْسَانُ أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ".

Daripada Abu Hurairah, Abu Zarr dan ‘Umar RA, Nabi SAW pernah bersabda: “Ihsan itu adalah kamu (bersungguh-sungguh) beribadah kepada Allah, seolah-olah kamu melihatnya, jika tidak boleh seperti itu, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.” (Ahmad 2/426, bil: 9497. Al-Bukhari 1/27, bil: 50. Muslim 1/39, bil: 9. Ibn Majah 1/25, bil: 64)

Syahnun (سحنون) (al-Imam Abu Sa’ied ‘Abd al-Salam bin Sa’ied al-Qairawani: الإمام أبو سعيد عبد السلام بن سعيد القيرواني) berkata: “Jauhilah kamu dari menjadi musuh kepada iblis ketika terang-terangan (hadapan orang ramai) akan tetapi mengikutnya ketika bersendirian (atau di dalam hati).”


Cetak  
Wallahu a'lam