Ahli Hadis Adalah Mereka Yang Beradab dengan Ulama Salaf, BUKAN Ahli Zahir

 Penterjemah mafhum: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Kata rawi (rawi yang dimaksudkan ialah Jaafar bin Muhammad bin 'Ali bin Husain bin 'Ali bin Abi Tolib, dikenali sebagai Jaafar al-Sadiq): "Bapaku (Muhammad bin 'Ali) berkata." - (kata rawi:) "tidaklah daku tahu bapaku menyebutnya melainkan dari Nabi SAW." Beliau memaksudkan bacaan surah al-Ikhlas dan al-Kafirun dalam dua rakaat solat sunat selepas Tawaf.

Pada ungkapan beliau ini menimbulkan keraguan, apakah pemilihan dua surah itu marfu' atau tidak kepada Nabi SAW? Pandangan yang Sahih, ia tidak marfu' berdasarkan huraian al-Khatib al-Baghdadi secara panjang lebar di dalam kitabnya al-Wasl wa al-Fasl dan beliau menjelaskan perkara ini termasuk perkara mudraj dan tidak sabit hadis bacaan dua surah ini di dalam solat selepas Tawaf. Perkara ini juga dinyatakan oleh para huffaz yang lain, namun penjelasan dari al-Khatib al-Baghdadi lebih baik.

Sekalipun begitu, para fuqaha bersepakat sunat membaca dua surah ini di dalam solat sunat dua rakaat selepas Tawaf. Perkara ini tidak sabit dari sudut periwayatan hadis, akan tetapi sunat membacanya disepakati oleh para fuqaha. Bagaimana fuqaha boleh bersepakat dalam perkara yang tiada hadis yang sabit tentangnya? Apa jawapannya?

- Jawapan dari para pelajar tidak jelas -

Bagus, iaitulah Jarayan al-'Amal Biha. Boleh berlaku sesuatu perkara yang diamalkan oleh ulama tidak diketahui dalil tentangnya dari alQuran mahupun alSunnah. Hal ini ada dijelaskan oleh Abu al-Faraj, Ibn Rajab di dalam Fath alBari dan beliau nyatakan contoh seperti isu takbir pada 10 hari awal bulan Zulhijjah. Takbir ini telah menjadi amalan sejak zaman Sahabat sehingga sekarang. Tidak diketahui ada riwayat dari Nabi SAW dalam perkara ini. Kerana itu antara ungkapan yang terbaik adalah perkataan Muhammad Anwar al-Kasymiri :

إنما جعل الإسناد لأن لا يدخل في الدين ما هو منه، لا ليخرج منه ما هو منه

Maksudnya: “Hanyasanya ilmu Isnad itu disusun bagi menghalang sesuatu yang bukan dari agama masuk ke dalam agama, bukan bertujuan mengeluarkan sesuatu amalan agama dari agama.”  

Sekarang sebahagian orang apabila ada sesuatu yang menjadi amalan (para ulama), dia berkata: "hadis tentang perkara ini tidak Sahih, kerana itu kita tidak mengamalkannya. Menjadi amalan para ulama bukan satu dalil."

Sesuatu yang menjadi amalan ulama dari satu generasi ke satu generasi adalah dalil, bahkan ia lebih kuat berbanding hadis-hadis. Kerana hadis barangkali ahad, akan tetapi amalan ini (yang dilakukan oleh para ulama) adalah mutawatir. Ini yang dinamakan oleh al-Syatibi sebagai al-Tawatur al-‘Amali. Perkara seumpama ini banyak terdapat di dalam agama. Sebagai contoh, dua khutbah hari raya. Tidak thabit tentang dua khutbah itu dari hadis. Akan tetapi tidak diketahui seorangpun dari kalangan ahli Islam (ulama) yang berkata atau beramal dengan satu khutbah untuk hari raya, melainkan pada kurun 15 sahaja. Ini menunjukkan satu khutbah untuk hari raya itu adalah bidaah.

Bukan apa yang diamalkan oleh ulama itu bidaah, hadis tentangnya tidak sahih. Agama ini diambil dari perkara yang tawatur dan istifadhah (yang tersebar luas). Ia adalah hujah, ia wujud di banyak tempat dalam syariah Islam. Bukan hanya di tempat yang dinyatakan ini sahaja, di tempat ini dan di tempat lain yang banyak juga. Yang telah disebutkan sebelum ini tentang al-Sabil (di dalam Ali Imran: 97) adalah merujuk kepada al-Zad (bekalan) dan al-Rahilah (kenderaan), tidak sabit dari hadis. Namun kata al-Tirmizi وعلى هذا العمل عند أهل العلم “inilah yang diamalkan oleh para ulama” al-Sabil itu adalah al-Zad dan al-Rahilah. Demikian juga berkaitan al-Isti‘azah iaitulah bacaan أعوذ بالله من الشيطان الرجيم (sebelum membaca al-Quran) juga tidak thabit dari hadis berdasarkan pandangan yang asah (lebih sahih) dari dua pandangan ulama hadis, inilah pandangan Imam Ahmad dan selainnya. Akan tetapi sentiasanya umat Islam apabila hendak membaca al-Quran, mereka akan membaca terlebih dahulu أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Jangan ada seseorang yang berkata, hadis ini tidak sahih, maka kami tidak akan beristi‘azah seperti itu, sebaliknya kami akan membaca أعوذ بالله sahaja atau بالله أعوذ, agar kami tidak jatuh ke dalam bidaah dengan beriltizam dengan sesuatu yang tidak ada di dalam hadis. (sebaliknya yang sebenarnya ialah) kamu beriltizam dengan sesuatu yang ada di dalam agama iaitulah penerimaan umat Islam (para ulama) umumnya, dan ia adalah termasuk dari jalan penukilan agama, berlaku pada banyak hukum-hakam.

Kemudian (hari ini) wujud orang yang menyalahi jalan ini, dengan sangkaan perkara itu tidak sahih dari hadis. Hal ini sebenarnya adalah dari kesan al-Zahiriyyah yang melata kepada para fuqaha hadis, namun fuqaha hadis yang awal tidak seperti ini seperti Malik, al-Syafie, Ahmad, Ishak Rahawaih, al-Humaidi dan yang seumpama mereka, bukan sebegini usul fiqh mereka dan maqasid ilmu syariah mereka.

Adapun orang kemudian secara umumnya, mereka bukan di atas usul ahli hadis. Mereka mendakwa ahli hadis, sebenarnya mereka di atas usul ahli Zahir (mazhab Zahiri). Perkara yang kami nyatakan ini, kamu akan dapati dari kalangan manusia orang yang mempertahankan apa yang menyalahi amalam orang ramai (ulama) dan berkata: “Inilah (bersalahan amalan ulama) yang ditunjukkan oleh hadis-hadis” dan dia meninggalkan apa-apa yang telah menjadi amalan ulama dari satu generasi kepada satu generasi (ما جرى به عمل الناس طبقة بعد طبقة)  (seolah-olah) tidak diketahui sesuatu dari ajaran agama melainkan dia seorang sahaja. Seperti dua khutbah hari raya, tidak diketahui bagi khutbah hari raya melainkan dua khutbah. Setiap faqih dari setiap mazhab di setiap negeri orang Islam menyatakan perkara ini. Ibn Hazm di dalam al-Muhalla juga sebut perkara ini. Al-Sarakhsi juga menyebut perkara ini dan beliau dari mazhab Hanafi. Kemudian datang sebahagian orang dan berkata “(berdasarkan) Sunnah tidak thabit perkara ini (dua khutbah hari raya), berdasarkan zahir sunnah khutbah hari raya hanya sekali, kerana di dalam hadis, Nabi SAW berkhutbah kepada orang ramai pada hari raya.”

Perkara ini antara musibah yang berlaku dalam kalangan orang ramai. Zahir yang dikatakan itu adalah zahir pada kefahaman dia yang berkata, bukan zahir pada pertimbangan lughawi, pada petunjuk syarak ke atasnya dan jarayan al-‘Amal, tidak. Sebaliknya hanya menurut kefahaman seseorang yang berada di kurun 15 yang bersalahan dan meninggalkan amalan ummah (ulama ummah) dengan dakwaan membela sunnah. Sebenarnya membela sunnah adalah dengan beramal berdasarkan amalan ahli sunnah bukan amalan fuqaha ahli sunnah pada satu qurun selepas satu qurun, terutamanya ikutlah ulama yang sedia dimaklumi mengikut hadis seperti Imam Malik, al-Syafie dan Ahmad. Mereka tidak mengamalkan sesuatu yang menyalahi sunnah.

Datang sebahagian orang, ringan padanya untuk berkata kepada fuqaha ahli athar, perkara ini sekalipun tokoh ini mengatakannya, tetapi ia bidaah. Perkara ini tidak ringan wahai saudara. Perkara ini seperti yang dikatakan oleh Imam Ahmad البدعة شديدة, dan kamu akan dapati pada kurun 15, ada orang yang memberi komen terhadap perkataan Imam Ahmad dalam sesuatu masalah, dia berkata: وإن قال به أحمد، إلا أنه بدعة “Sekalipun yang menyatakan perkara itu Imam Ahmad, namun perkara itu adalah bidaah.” Perkara ini menunjukkan takut kepada Allah di dalam hatinya terlalu sedikit. Imam Ahmad, pemilik sifat ittiba’ dan ibtida terhadap athar dikatakan bidaah? Sepatutnya engkau selidiki dan perhatikan terlebih dahulu, apakah Ahmad RH menyebutnya kerana menuruti perbuatan salah seorang sahabat atau berdasarkan athar dari tabi’ien. Hampir-hampir tidak ada pada perkataan Imam Ahmad khususnya melainkan ia memiliki athar. Hampir-hampir tidak ada, sekalipun dalam sebahagian perkara yang diingkari oleh sebahagian orang ianya dari perkataan Ahmad, kamu akan dapati ia dari perkataan sebahagian sahabat, atau tabi’ien atau atba’ al-Tabi’ien. Akan tetapi jahil dengan istinbath menjadikan sebahagian orang seperti yang ada pada hari ini. Mereka tidak tahu bahawa mereka itu tidak tahu, kemudian mereka melampaui batas terhadap para ulama.

Sebahagian orang hari ini ada yang berkata, minta halal ketika berlaku sesuatu kematian adalah bidaah. Apa dia “minta halal”? iaitulah orang yang berkata: “Berilah kemaafan kepada jenazah, halalkanlah untuk jenazah” perkara ini masyhur berlaku di banyak negara orang Islam. Ketika ada kematian, mereka berkata “halalkanlah untuk jenazah.” Kamu akan dapati ada sebahagian orang yang mengatakan perkara ini bidaah. Kenapa bidaah? Dia akan jawab: “Tidak ada hadis dan tidak thabit amalan (dari Nabi SAW).” Ini menunjukkan kejahilan orang yang berkata itu.

Al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari dari hadis Jarir bin Abdillah bahawa لما مات المغيرة بن شعبة رضي الله عنه، قام جرير فخطب الناس فقال: أيها الناس إن أميركم كان يحب الفعو، فاستعفوا له, apa makna فاستعفوا له? Iaitulah halalkanlah, berilah kemaafan kepada jenazah, kemudian disebut hadis Nabi SAW.

Kerana itu fiqh ahli hadis adalah fiah yang sempurnya. Akan tetapi di mana Ahli Hadis? Ahli Hadis bukanlah al-Zahiriyyah yang menghafal hadis kemudian beristinbath dan berkata zahir hadis adalah sekian, sekian. Ahli Hadis adalah orang yang menempuh susah payah memerhatikan athar sahabat, tabi’ien dan Atba’ al-Tabi’ien, amalan salaf. Bukan suatu yang ringan bagi mereka untuk menolak perkataan seorang daripada imam utama yang diikuti seperti Malik, Syafie dan Ahmad, kerana mereka takutkan Allah azza wa jall. Mereka mengagungkan para imam ini. Mereka sedar diri mereka, sedangkan semua tokoh ini adalah para ikutan.

Kemudian ada orang hari ini yang tidak datang solat berjemaah seminggu tiga kali, mengatakan “Sekalipun perkara ini dinyatakan oleh Imam Ahmad, namun ia bidaah?” Ahmad RH, orang yang menunaikan solat sunat sehingga dikatakan dia telah menunaikan solat sunat pada satu waktu Dhuha sebanyak 300 rakaat, kemudian ada orang hari ini kata berkaitan perkataan Imam Ahmad itu bidaah? 

Sebenarnya orang ini tidak takutkan Allah. Orang yang takutkan Allah tidak akan berbuat sebegitu kepada para ulama. Dia akan beradab dan berhati-hati, dia perhatikan dan membuat rujukan terlebih dahulu. Dia tidak akan mengatakan bidaah apa yang dikatakan oleh para ulama. berhati-hatilah, jangan kamu katakan kepada seorangpun ulama ikutan, apatah lagi kepada salah seorang sahabat.

Sekarang ini kamu akan dapati sebahagian orang, apabila ada sesuatu yang thabit dari sebahagian sahabat, dia berkata “ini bidaah”. Dikatakan kepada dia, ‘Ibn ‘Umar yang menyatakan perkara itu. Dia jawab: “Sekalipun Ibn ‘Umar yang berkata. Hujjah adalah pada firman Allah dan sabda Rasul SAW.”

Apakah kamu yang lebih mengetahui tentang firman Allah dan sabda Rasul SAW berbanding Ibn ‘Umar? Tidaklah kamu itu lebih mengetahui berbanding Ibn ‘Umar berkaitan firman Allah dan sabda Rasul SAW. Kerana itu ketika ditanya kepada Ibrahim al-Nakhaie tentang seorang lelaki yang dikatakan kepadanya: “Sesungguhnya ‘Umar bin al-Khattab berkata demikian dan demikian… tetapi dia tidak terima.” iaitulah tentang seorang lelaki yang dinyatakan kepadanya salah satu dari permasalahan fiqhiyyah bahawa 'Umar berkata demikian, namun tidak disebut ayat al-Quran ataupun hadis, yang ada hanya pandangan ‘Umar. Apa kata Ibrahim al-Nakhaie? Beliau berkata: “orang itu perlu diajarkan adab dan dikurung.” Dia tolak perkataan ‘Umar dia wajar dikenakan hukuman supaya diajar adab dan dikurung.

Maka bagaimana sekarang orang yang membuat perkara yang sama kepada perkataan Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Ibn Zubair dengan mengatakan ianya bidaah? Bagaimana apabila seseorang yang berada di kurun 15, yang Allah sahaja yang mengetahui keadaan sebenarnya, tentang kebaikannya, kebenarannya, keimanannya, takutnya kepada Allah SWT.

Kerana itu, ilmu ini adalah berat bukan ringan dan mudah. Tetap di atas jalan Ahli sunnah dan hadis bukan mudah, bukan dakwaan-dakwaan ahli zahiriyyah, kemudian seseorang datang dan mendakwa inilah jalan ahli hadis dan sunnah. Jika kamu mahu tahu jalan Ahli hadis, kamu baca Jami’ al-Tirmizi 10 kali, kamu akan tahu jalan ahli hadis dan sunnah. Adapun dengan kamu membaca Bulugh al-Maram, kemudian kamu kata zahir hadis demikian dan demikian. Zahir hadis itu pula dia sendiri yang faham sedangkan dia tidak mahir bahasa ‘Arab, sebaliknya dia hanyalah dari negara Arab, lalu dia kata zahir hadis demikian dan demikian, lalu dia mahu orang mengikut kefahamannya dan berkata perkataan yang lain dari perkataan dia adalah batil.

Inilah reality yang menyedihkan wahai saudara sekelian. Orang hari ini sampai ke tahap menolak ilmu generasi salaf dan menisbahkannya kepada bidaah, sedangkan mereka terjebak ke dalam bidaah yang menyalahi amalan umat Islam (para ulama) dan mereka menuruti jalan selain dari jalan umat Islam (para ulama). Kerana itu cepatnya fitnah ke atas agama mereka. Tiada seorang yang melampaui batas terhadap seorang dari wali Allah dari kalangan ulama dan orang soleh dengan perkataan-perkataan buruk seperti, ini bidaah, ini batil, perkara ini tidak dinyatakan oleh seorangpun dari kalangan ahli ilmu dan mulia yang mengatakannya. Orang seperti ini tidak akan kekal ilmunya, barangkali juga tidak akan kekal imannya, barangkali juga dia sendiri yang akan terjebak di dalam kesesatan-kesesatan, di dalam bidaah, mungkin juga dia akan terkeluar dari Islam. Perkara ini berlaku, ada orang yang melakukan tindakan ini, akhirnya dia tinggalkan ilmu seluruhnya. Ini kerana sesiapa yang memusuhi para wali Allah, Allah akan memeranginya. Sebahagian orang menyangka memusuhi wali Allah yang ditegah hanya apabila menyentuh maruah mereka, tidak. Memusuhi wali Allah juga pada tindakan tidak beradab bersama mereka.

Ada orang saudara sekalian, bila dia dengar ada orang kata ini perkataan Imam Ahmad, dia kata bidaah. Imam Ahmad adalah imam ahli athar, Imam Ahmad RH mengikut athar, Imam Ahmad RH bangun membela sunnah dan membela I’tikad salaf, Imam Ahmad memiliki pendirian benar dalam banyak keadaan. Bolehkah seseorang berkata, Imam Ahmad memiliki perkataan yang bidaah? Beliau (Imam Ahmad) bukan seorang yang ma’sum. Akan tetapi bukan perkara mudah dan ringan untuk kamu kata terhadap pendapat seorang Imam dari para imam yang sedia dimaklumi mengikuti athar sebagai bidaah. Alangkah baik jika ia sekadar sekali-sekala dinyatakan sedemikian, tetapi dalam banyak permasalan, dia berkata “Perkara ini termasuk dalam kejumudan ulama Hambali”, “Ini dari perkara taasub mazhab” dia sendiri taasub kepada dirinya atau kepada sebahagian orang kemudian. Kamu akan dapati dia sendiri sebenarnya dalam ketaasuban. Sama ada dia taasub kepada pandangan dia sendiri ataupun kepada sebahagian orang kemudian, lalu dia tinggalkan pandangan para imam yang diikuti dan dimuliakan, ahli wilayah dan solah, zuhud, ilmu dan ittiba’. Kemudian dia merujuk kepada dirinya, kepada gurunya atau salah seorang yang diagungkan dari kalangan orang kemudian. Perkara ini mesti diberi perhatian dan kefahaman agama hendaklah dibina di atas kefahaman yang benar.           


Cetak  
Wallahu a'lam