SDI 1365: Periwayat Yang Dituduh Dusta Tidak Membalas Balik Tuduhah?

Soalan:

🟤 Ustaz yang dihormati, bagaimana hendak memahami hadis ini jika dalam konteks ilmu hadis dalam bab jarh dan tahdzir ulama hadis ke atas perawi hadis yg dicela sebagai matruk, dajjal dan lain2 sifat jarh nya? Saya tidak mengetahui jika si rawi yg dihukumi dengan celaan jarh tersebut membalas kembali atau membela diri mereka dengan menuduh kembali ulama2 tersebut dengan celaan yang sama. Adakah si rawi yg dijarh ini akan mendapat pahala atau tidak dapat apa2 kerana sifat2 yg ulama hadis hukumkan ke atas mereka itu adalah benar?

Jawapan:

Sebutan yang sebenar ialah Jarh الجَرْحُ dan Ta’dil التَعْدِيْلُ.

Jika tanya apakah seorang rawi yang telah dikritik dan dihukum sebagai dajal dan seumpamanya itu, apakah tidak membalas balik hukuman dan kritikan kepada ulama yang mengkritik dia? Maka saya jawab, wallahu a’lam, tidak mustahil mereka membalasnya. Cumanya kita kena tahu dahulu, bila ada seorang rawi yang dihukumkan oleh ulama hadis sebagi matruk atau dajal, di mana hukuman ini bukan tuduhan kosong, sebaliknya hukuman yang terbukti dan buktinya jelas. Ini kerana seorang yang melakukan pendustaan dalam periwayatan hadis, ulama hadis dapat tahu dan dapat kesan. Ulama hadis kenal seseorang guru hadis dan siapa yang mengambil hadis daripadanya. Anak murid itu pula bagaimana keakraban dia dengan gurunya. Apakah dia termasuk dari kalangan anak murid yang amat rapat sehingga dia telah mendengar kebanyakan hadis dari gurunya itu. Atau dia ada hubungan, tetapi hubungannya tidak begitu rapat, dia hanya riwayatkan beberapa hadis dari gurunya tersebut dan sebagainya.

Demikian juga, salah satu cara periwayatkan hadis dahulu adalah secara dianugerahkan kitab salinan hadis dari seorang guru kepada anak muridnya. Ada para pendusta hadis yang mencuri kitab atau buku ini. Lalu dia menyampaikannya, sedangkan anak-anak murid guru itu kenal orang itu mencuri buku tersebut. Ulama hadis tahu, orang itu tidak ada berguru dengan mana-mana ulama hadis, sebaliknya dia palsukan. Ada pula di kalangan para pemalsu hadis itu yang mereka-reka hadis kemudian dia cipta atau susun sanad sendiri. Dia sandarkan hadis yang direkanya itu kepada nama guru-guru hadis yang masyhur. Sedangkan guru-guru hadis tersebut tidak pernahpun meriwayatkan hadis sebegitu. Atau guru hadis pertama dalam sanad rekaan itu, tidak pernahpun berjumpa dengan guru hadis kedua yang disebut namanya dalam sanad rekaan itu. Ini sebahagian dari bukti pemalsuan hadis yang berlaku. Ada berbagai cara lagi yang dilakukan oleh para pemalsu hadis yang dapat dikesan dan dibukti oleh para ulama hadis.

Yang penting apabila seseorang rawi dihukum sebagai palsu oleh ulama hadis, ia memiliki bukti yang jelas, bukan tuduhan kosong. Ulama hadis amat berhati-hati dalam memberikan hukum kepada para periwayat yang palsu.

Tentang soalan “apakah mereka tidak kritik balik” maka jawapannya, tidak mustahil mereka kritik balik atau balas balik kritikan itu. Tetapi isunya apakah kritikan mereka itu akan dinukilkan oleh para ulama lain? Sudah tentu seorang yang terbukti melakukan pendustaan dalam hadis tidak akan diambil dan dinukilkan perkataannya oleh ulama.

Tentang soalan “apakah ulama yang mengkritik itu dapat pahala?” maka jawapannya, ya mereka mendapat pahala, kerana mereka  mengkritik bukan kerana masalah peribadi, tetapi bagi tujuan memelihara salah satu sumber agama selepas al-Quran ialah hadis Nabi SAW.


Cetak  
Wallahu a'lam