Hadis Akan Dilimpahkan Dunia Ke Atas Umat Nabi SAW Sehingga Mereka Akan Binasa

Daripada Abu Darda’ RA:

خرجَ علينا رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ ونحنُ نذكُرُ الفقرَ ونتخوَّفُه فقالَ آلْفَقْرَ تَخافون، والذي نفسي بيدِه لتُصبَّنَّ عليكم الدُّنيا صبًّا حتَّى لا يُزِيْغَ قَلْبَ أَحَدِكُمْ إِزاِغَةً إِلَا هِيَهْ، وَأَيْمُ اللَّهِ، لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ على مثلِ الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا وَنَهَارُهَا سواءٌ، قال أبو الدرداء: صدق، واللهِ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، تركَنا واللهِ على مثلِ الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا وَنَهَارُهَا سواءٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar bertemu dengan kami, ketika itu kami sedang berbicara tentang kefakiran dan kami bimbangkannya. Lalu baginda bersabda: “Apakah kefakiran yang kamu semua bimbangkan? demi jiwaku yang berada dalam genggaman tuhanku, akan dicurahkan dunia kepada kamu semua dengan curahan yang melimpah-ruah, sehingga tiada yang menyelewengkan hati seseorang daripada kamu satu penyelewengan melainkan dunia. Demi Allah, sesungguhnya aku telah tinggalkan kamu semua atas sesuatu yang jelas, malam dan siangnya adalah sama. Kata Abu al-Darda’: “Telah benarlah baginda, demi Allah, Rasulullah SAW telah meninggalkan kami, demi Allah di atas suatu yang jelas, malam dan siangnya adalah sama.” (HR Ibn Majah – Sahih)   

HURAIAN

Abu al-Darda’ ialah ‘Uwaimir bin Zaid bin Qais bin ‘Aisyah bin Umayyah bin al-Harith bin al-Khazraj al-Ansori al-Khazraji al-Sahabiy RA (عويمر بن زيد بن قيس بن عائشة بن أمية بن الحارث بن الخزرج الأنصاري الخزرجي الصحابي). Wujud perbezaan ulama tentang nama bapanya yang masyhur dengan gelaran kuniah. Mu’awiah melantiknya menjadi qadhi di Dimasyq berdasarkan arahan daripada ‘Umar bin al-Khattab RA. Meriwayatkan 179 hadis, dua hadis disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim, tiga hadis infirad al-Bukhari dan lapan buah hadis infirad muslim.   

Dalam hadis ini Abu al-Darda’ menceritakan satu hari Nabi SAW keluar dari salah satu bilik baginda, dan ketika itu beliau dan para sahabat lain sedang duduk di dalam masjid, berbicara tentang kefakiran yang merangkumi kesusahan, ketiadaan harta dan kemudharatan yang berlaku disebabkan kemiskinan. Kami menzahirkan kebimbangan dan ketakutan dari ditimpa kemiskinan dan kami menganggap kemiskinan itu satu kekurangan dan keaiban.

Melihat keadaan kami tersebut, Nabi SAW bersabda: آلْفَقْرَ dengan mad huruf Hamzah menunjukkan al-Istifham al-Inkari (pertanyaan bertujuan pengingkaran), menjadikan maksudnya: “Apakah kamu semua bimbangkan terkena kemiskinan? Jangan takutkan kemiskinan, والذي “Daku bersumpah kepada kamu semua dengan Allah yang “jiwaku (نفسي)” dan ruhku “di tangan-Nya (بيدِه)” yang suci, (لتُصبَّنَّ) dengan dhammah huruf “Ta”, fathah huruf “Sad”, huruf “Ba” bersyaddah dan huruf “Nun” thaqilah menunjukkan penegasan berdasarkan sighah mabniy li al-Maf‘ul, manakala Lam sebagai jawab al-Qasam; yang bermaksud: “demi Allah, pasti akan dicurahkan ke atas kamu semua” wahai sekalian umat akan perhiasaan dunia, iaitulah segala nikmat dan perhiasannya. (صبًّا) iaitulah dicurahkan dalam bentuk mencurah-curah seperti curahan air hujan yang lebat. (حتَّى لا يُزِيْغَ), di mana يُزِيْغَ adalah الإزاغة iaitulah cenderung kepada kebenaran. (قَلْبَ أَحَدِكُمْ), dengan baris fathah di hujung kalimah قَلْبَ kerana maf‘ulun bih bagi يُزِيْغَ. Dhamir pada إِلَا هِيَهْ kembali kepada الدُّنيا yang merupakan fi'iI bagi يُزِيْغَ.  

Hadis ini bermaksud: “Demi Allah, pasti dunia itu akan dilimpah-ruahkan kepada kamu semua, lalu dia menyibukkan kamu semua dari mengingati akhirat, sehingga tiada yang akan menjauhkan hati kamu dari kebenaran dan tiada yang akan menyibukkan kamu semua dari mengingati akirat melainkan dunia semata-mata, sehingga dunia itu akan membinasakan kamu semua.”

Ungkapan وَأَيْمُ اللَّهِ, asalnya ialah أَيْمُنُ اللَّه, dengan dibaris dhammah huruf Mim dan Nun. Huruf Alif di awalnya adalah Alif Wasl berasal dari al-Yumnu (اليُمْن) dan al-Barakah (البَرَكةِ) seperti yang dinyatakan oleh al-Sibawaih. Tiada pada kata nama lain yang bermula dengan alif wasl berbaris fathah melainkan kalimah ini. Namun al-Farra menyatakan huruf Alif di awal kalimah ini adalah alif qat’ (ألف قطع), yang merupakan kalimah jama’ atau plural bagi yamin (يمين), ia bermaksud dengan nama Allah sumpahku ini (واسم الله قسمي).

Ungkapan أَيْمُنُ اللَّه yang berupa kata nama yang digunakan bagi maksud sumpah. Apabila ia banyak digunakan, lalu bagi tujuan meringankan sebutan, dibuang huruf Nun, sama sepertimana dibuang huruf Nun dari ungkapan لَمْ يَكُ yang asalnya ialah لَمْ يَكُنْ.   ‘Abd al-Ghaniy di dalam Mu’jam al-Qawa-id al-‘Arabiyyah menyatakan; ia berupa kata nama yang digunakan untuk sumpah, huruf Hamzahnya pada asal ialah Hamzah Qat’, kemudian dengan sebab banyak penggunaan ia menjadi Hamzah wasl (همزةَ وصلٍ).

Ungkapan لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ على مثلِ الْبَيْضَاءِ, di mana lafaz مثلِ adalah lafaz muqham (لفظ مقحم iaitulah lafaz tambahan yang jika tiada, tidak memberi kesan kepada makna), manakala الْبَيْضَاءِ adalah sifat kepada sesuatu yang dihazafkan iaitulah dengan andaian: “demi Allah, sesungguhnya daku telah tinggalkan kamu semua wahai sekalian umat, di atas agama dan jalan yang jelas dengan dalil dari al-Quran dan ala-Sunnah (والله، لقد تركتكم أيتها الأمة على الملة والطريقة البيضاء: أي النيرة الواضحة بأدلتها من الكتاب والسنة).

Ungkapan لَيْلُهَا وَنَهَارُهَا سواءٌ ia bermaksud “kejelasan dan terangnya dengan dalil-dalil yang kekal, yang tidak akan dibatalkan sama ada pada masa yang dekat dengan kurunku atau yang jauh dari kurunku. Tidak aku tinggalkan kamu semua setelah kewafatanku melainkan agama ini jelas dengan dalil-dalilnya, kerana aku tinggalkan kamu semua atas dua asas utama iaitulah al-Quran dan al-Sunnah.”

Boleh juga ungkapan مثلِ dianggap sifat kepada perkataan millah (الملة agama) yang dihazafkan. Manakala الْبَيْضَاءِ pula adalah sifat kepada perkataan al-Ardh (الأرض bumi) yang dihazafkan. Maka jadilah maknanya: “demi Allah, sesungguhnya aku telah tinggalkan kamu semua di atas agama yang seumpama bumi yang jelas, iaitulah yang lapang dari pokok-pokok yang mengganggu penglihatan dan bebas dari haiwan buas. لَيْلُهَا وَنَهَارُهَا سواءٌ iaitulah “berjalan di permukaannya pada waktu malam mahupun siang adalah sama, tiada seorang yang melaluinya dalam keadaan takut dan bimbang dari pokok-pokok yang mengganggu penglihatan mahupun haiwan buas.”  


Cetak  
Wallahu a'lam