SDI 1446: Kedudukan Hadis Yang Dihukum Sahih Oleh al-Hakim

Thursday, December 19, 2013

Soalan:

Saya ingin merujuk kepada jawapan ustaz tentang Khalid bin al-Walid selitkan rambut Nabi di dalam serban beliau. Kelihatan hadis tersebut telah dihukumkan sahih oleh al-Hakim. Namun saya keliru dengan kenyataan ustaz yang menyebut: 

“Khabar ini tidak thabit. Ia diriwayatkan oleh al-Hakim 3/299 dan beliau menilainya sebagai Sahih."

Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Penilaian Sahih oleh al-Hakim terhadap sesuatu hadis terutamanya di dalam kitabnya al-Mustadrak menerima kritikan dari ramai para ulama hadis. Hal ini kerana antara tujuan beliau menulis al-Mustadrak adalah bagi menjawab golongan menyelewang yang wujud pada zamannya, yang beranggapan jumlah hadis sahih amat sedikit. Lalu ketika menulis al-Mustadrak beliau memiliki kecenderungan yang amat kuat untuk memperbanyakkan hadis Sahih, sehingga terlepas pandang dari memerhatikan persoalan ‘Illah (kecacatan tersembunyi) yang ada pada hadis.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh al-Hakim di bahagian pendahuluan kitab al-Mustadrak dengan berkata: 

"Telah meminta kepadaku sekumpulan orang… agar aku menulis satu kitab mengandungi hadis-hadis yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang dijadikan hujjah oleh Muhammad bin Ismail dan Muslim bin al-Hajjaj dengan seumpamanya. Dan tiada jalan untuk tidak mengeluarkan (meriwayatkan) hadis yang tiada ‘illah, kerana kedua-dua mereka (al-Bukhari dan Muslim) juga tidak mendakwa seperti itu untuk diri mereka sendiri.”  

Dari perkataan ini menunjukkan beliau langsung tidak memerhatikan kepada ‘illah  kerana beranggapan al-Bukhari dan Muslim juga tidak melakukannya. 

Ternyata anggapan beliau ini tidak tepat. Sebaliknya al-Bukhari dan Muslim tidak akan meriwayatkan hadis-hadis di dalam kitab sahih mereka melainkan setelah melakukan kajian dan pemerhatian mendalam pada setiap hadis sehingga mencapai Ghalabatuz zhon, termasuklah tiada illah yang qadihah, kerana itu ulama meletakkan definasi kepada hadis yang sahih mestilah sesuatu hadis itu ...بغير شاذ ولا علة "…Tanpa ada Syaz dan Illah."   

 

Selain itu, al-Hakim ketika menulis al-Mustadrak, kekuatan hafalannya telah lemah seperti yang disebut oleh al-Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mu’allimiy al-Yamaniy, di mana ketika itu beliau berumur 72 tahun. (Sila lihat al-Tankil bima fi Ta’nib al-Kauthariy min al-Abatil oleh Al-Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mu’allimiy al-Yamaniy) 

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Dan adapun hukum Sahih oleh al-Hakim bagi hadis seperti ini dan seumpamanya termasuk perkara yang dibantah oleh para ulama yang mengetahui tentang hadis. Para ulama berkata: “Sesungguhnya al-Hakim mensahihkan beberapa hadis sedangkan hadis-hadis itu palsu dan dusta di sisi ahli ilmu dan yang berpengetahuan tentang hadis… demikian juga hadis-hadis yang banyak di dalam Mustadraknya beliau mensahihkannya, sedangkan hadis-hadis itu di sisi Ahli Ilmu hadis adalah palsu. Ada juga hadis mauquf yang dianggap marfu’ oleh beliau. Kerana itu Ahli ilmu hadis tidak berpada dengan hanya hukuman sahih oleh al-Hakim, sekalipun kebiasaan yang dihukumkan sahih oleh beliau itu adalah benar-benar sahih. Akan tetapi beliau pada kedudukan mereka yang menghukum sahih hadis berada seperti seorang thiqah yang banyak kekeliruan, sekalipun yang benar itu yang lebih banyak. Berbeza dengan Abi Hatim bin Hibban al-Bustiy, pensahihannya berada di atas pensahihan al-Hakim dan lebih tinggi kedudukannya. Demikian juga pensahihan al-Tirmizi, al-Daraqutniy, Ibn Khuzaimah, Ibn Mandah dan seumpama mereka lain yang mensahihkan hadis. Sekalipun sebahagian dari apa yang mereka nukilkan terdapat perbincangan, namun mereka lebih Atqan dalam bab ini berbanding al-Hakim.” 

al-Syeikh Muhammad Nasib al-Rifa’ie pula berkata: “Telah bersepakat para ulama bahawa apabila al-Hakim menyendiri dalam mensahihkan (sesuatu hadis) maka tiada nilai pensahihan itu melainkan jika dipersetujui oleh al-Zahabi, kerana bagi al-Zahabi terdapat  Mulahazaat penting dalam I’lal dan tashih hadis oleh al-Hakim.” (lihat al-Tawasshul ila Hakikah al-Tawassul, hal: 228-229)


Cetak  
Wallahu a'lam