Soalan:
Assalamualaikum,
Apakah status hadis riwayat Abu Daud (8, 964) berikut:
عن أنس، رضي الله عنه، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "عليكم بالدلجة، فإن الأرض تطوي بالليل"
(Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam)
Sekiranya ianya sahih/hasan, mohon dijelaskan maksud 'bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam'.
Sekian, terima kasih & wassalam.
Jawapan:
Wa'alaikumussalam warahmatullah.
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
عَلَيْكُمْ بِالدُّلْجَةِ فَإِنَّ الأَرْضَ تُطْوَى بِاللَّيْلِ
Maksudnya: “Bermusafirlah pada waktu al-Duljah, kerana sesungguhnya bumi terlipat (menjadi dekat) pada malam hari.” (HR Abu Daud dengan Sanad yang Hasan. Diriwayatkan juga oleh al-Hakim dan beliau berkata: Sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim. Dinilai juga sebagai Sahih oleh al-Albani)
Di sisi Imam Malik RH di dalam al-Muwatta’ dengan lafaz:
وعليكم بسير الليل؛ فإن الأرض تطوى بالليل ما لا تطوى بالنهار
Maksudnya: “Bermusafirlah pada malam hari, kerana sesungguhnya bumi itu terlipat pada malam hari apa yang tidak terlipat pada siang hari.”
Sebahagian ulama berpandangan kalimah الدُّلْجَة ialah bermusafir pada penghujung malam, iaitulah pada waktu Sahur. Manakala ada juga ulama lain yang berpandangan ia bermaksud bermusafir pada mana-mana waktu sepanjang malam.
Berkaitan bumi terlipat pada malam hari, Ibn ‘Abd al-Barr berkata:
وأما قوله : فإن الأرض تطوى بالليل ، معناه -والله أعلم- أن الدابة بالليل أقوى على المشي إذا كانت قد نالت قوتها واستراحت نهارها تضاعف مشيها، ولهذا ندب إلى سير الليل. والله أعلم.
Maksudnya: “adapun sabda baginda: “Kerana sesungguhnya bumi terlipat pada malam hari, maknanya – wallahu a’lam – tunggangan pada malam hari lebih kuat berjalan jika dia telah cukup berehat pada siangnya, maka akan bertambahlah kekuatan jalannya, kerana itu baginda menggalakkan bermusafir pada malam hari. Wallahu a’lam.” (Lihat al-Tamhid lima fi Muwattha’ min al-Ma’aniy wa al-Asanid)
Ibn al-Athir berkata:
تُقْطَع مسافَتُها لأنَّ الإنسان فيه أنشطُ منه في النَّهار وأقدرُ على المَشْي والسَّير لعدَمِ الحرِّ وغيره.
Maksudnya: “dipotong jarak permusafirannya, ini kerana insan pada waktu tersebut lebih cergas berbanding pada siang hari, demikian juga lebih berkeupayaan untuk berjalan dan bergerak kerana ketiadaan panas dan seumpamanya.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Athar)