SDI 1489: Simpulan Islam Yang Dirungkaikan

Friday, May 14, 2010

Ustaz tlg huraikan maksud hadith ini:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

Jawapan:

Hadith ini bermaksud lebih kurang: Daripada Abi Umamah al-Bahiliy daripada Rasulullah s.a.w. yang bersabda:

“Pasti akan dileraikan ikatan/simpulan islam, satu persatu. Maka setiap kali terlerainya satu simpulan, manusia bergantung ke simpulan yang berikutnya, dan simpulan pertama yang dirungkaikan ialah al-Hukmu dan yang akhir sekali ialah Solat.”

Keterangan:

Hadith di atas diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dalam Musnadnya, al-Tabrani dalam di dalam al-Mu'jam al-Kabir, Ibn Hibban di dalam kitab Sahihnya dengan sanad yang baik daripada Abi Umamah al-Bahiliy R.A.

Hadith ini menggambarkan keadaan agama Islam akhir zaman yang semakin menjadi asing di kalangan umat. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w.

Mafhum: “Islam itu bermula dalam keadaan ganjil, dan dia akan kembali dianggap asing dan bergembiralah mereka yang dianggap asing.”

Lantaran itu wujudlah ramai orang yang menyalahi agama dan perungkai-perungkai ikatan-ikatan agama. Dimaksudkan dengan ikatan/simpulan agama itu ialah kefardhuan-kefarduan dan arahan-arahan Allah s.w.t.

Perkataan Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Dan perkara terawal yang dirungkaikan ialah al-Hukmu” membawa maksud umat tidak berhukum dengan syariat Allah s.w.t. Dan ini merupakan reality yang berlaku dalam kebanyakan Negara yang dinisbahkan kepada Islam hari ini. Sedangkan umat islam sedia maklum, wajibnya berhukum dengan syariat Allah s.w.t. dalam semua perkara dan menjauhi dari berhukum dengan selain dari syariat Allah, seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’: 65, al-Maidah: 44, 45, 47, 49-50.

Para ulama juga menjelaskan, wajib ke atas setiap pemimpin Islam untuk berhukum dengan syariat Allah dalam semua urusan umat Islam dan dalam setiap apa yang diperselisihkan di kalangan mereka, sebagai mempraktikkan ayat-ayat al-Quran di atas. Dan para ulama juga menjelaskan, berhukum dengan selain dari syariat Allah, dan menghalalkan perbuatan tersebut merupakan perbuatan kufur yang mengeluarkan seseorang daripada agama Islam. Adapun jika tidak menghalalkan perbuatan tersebut, sebaliknya dia berhukum dengan selain syariat Allah itu disebabkan ada kepentingan tertentu dalam masa yang sama dia beriman bahawa perbuatannya itu tidak boleh, dan yang wajibnya ialah berhukum dengan syariat Allah. Maka dalam keadaan ini dia termasuk dalam kufur kecil, kezaliman yang kecil dan kefasikan yang kecil.

Perkataan Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Dan simpulan yang akhir sekali dirungkaikan ialah solat” membawa maksud ramainya orang yang meninggalkan solat. Perkara ini juga merupakan satu fenomena yang berlaku hari ini.”

Wallahu a’lam.

Nukilan dari Kitab Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi‘ah oleh Samahah al-Syeikh al-‘Allamah ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdillah bin Baz r.h. Jld 9, hal: 205.


Cetak  
Wallahu a'lam