Tuesday, March 24, 2009
Terdapat dua hadith yang saling bertentangan di dalam masalaah ini.
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ رضي الله عنها قَالَتْ : مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ إِلا أَنَّهُ كَانَ يَصِلُ شَعْبَانَ بِرَمَضَانَ
Maksudnya: “Dari Umm Salamah r.’anha katanya: Tiada aku melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut, melainkan baginda menyambung (puasa) Sya’ban dengan Ramadhan.” (Hadith riwayat Ahmad 26022, Abu Daud 2336, al-Nasa-ie 2175, Ibn Majah 1648. al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Sahih al-Nasa-ie)
Dalam lafaz yang diriwayatkan oleh Abu Daud:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَصُومُ مِنْ السَّنَةِ شَهْرًا تَامًّا إِلا شَعْبَانَ يَصِلُهُ بِرَمَضَانَ
Maksudnya: “Bahawa Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam setahun sebulan penuh, melainkan (dalam bulan) Syaaban, baginda menyambungkannya dengan Ramadhan.” (al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Sahih Abi Daud, bil 2048)
Dua hadith di atas ini secara zahirnya menunjukkan Nabi saw berpuasa penuh di dalam bulan Syaaban dan Ramadhan. Namun terdapat hadith yang lain yang menyatakan Nabi saw berpuasa dalam kebanyakan hari pada bulan Syaaban melainkan sedikit sahaja. Hadith tersebut ialah :
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَتْ: كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ، وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّه، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلا قَلِيلا
Maksudnya: “Dari Abi Salamah katanya: Aku bertanya kepada ‘A-isyah r.’anha tentang puasa Rasulullah SAW. Beliau menjawab: Baginda berpuasa sehingga kita akan menyangka baginda sentiasa berpuasa, dan baginda berbuka (tidak berpuasa) sehingga kita menyangka baginda sentiasa berbuka (tidak berpuasa), dan aku tidak melihat baginda berpuasa dalam bulan yang lain lebih banyak dari puasa baginda dalam bulan Syaban. Adalah baginda berpuasa dalam bulan Sya’ban keseluruhannya, adalah baginda berpuasa dalam bulan Sya’ban melainkan sedikit (beberapa hari baginda tidak berpuasa) (Hadith riwayat Muslim 1156)
Para ulama berbeza pendapat dalam usaha menyatukan dua hadith ini. Sebahagian ulama berpendapat hadith ini menunjukkan masa yang berlainan, dengan maksud kadang-kala Nabi SAW berpuasa penuh dalam bulan Sya’ban pada tahun-tahun yang tertentu. Manakala pada tahun-tahun yang lain baginda berpuasa pada kebanyakan hari dalam bulan Syaban dan baginda tidak berpuasa dalam sebahagian kecil harinya. Al-Syeikh Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz memilih pendapat ini. Sila lihat Majmu’ Fatawa al-Syeikh Ibn Baz 15/416
al-Tibi (الطِّيبِيُّ) berkata: “Difahami bahawa Baginda telah berpuasa dalam bulan Syaban keseluruhannya kadang-kadang (sebahagian tahun) dan baginda berpuasa kebanyakan hari dalam Syaban yang lain (tidak puasa penuh) semoga tidak dianggap ianya wajib sepertimana Ramadhan.”
Sebahagian ulama lain pula berpendapat, Nabi saw tidak pernah berpuasa penuh dalam sebulan melainkan dalam bulan Ramadhan sahaja. Ulama yang berpandangan sebegini memahami hadith dari Ummu Salamah di atas (Tiada aku melihat Rasulullah saw berpuasa dua bulan berturut-turut, melainkan baginda menyambung (puasa) Sya’ban dengan Ramadhan.) membawa maksud baginda hanya berpuasa pada kebanyakan hari dalam bulan Syaaban, tidak keseluruhan hari. Mereka memahaminya sebegini kerana berdasarkan bahasa Arab apabila didapati seseorang banyak berpuasa dalam sesuatu bulan melainkan beberapa hari sahaja yang ia tidak berpuasa, orang tersebut dikatakan : “Dia telah berpuasa keseluruhannya.”
Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari berkata: “(Tentang hadith ‘A-isyah) Ia menerangkan maksud dalam hadith Ummu Salamah (Adalah baginda tidak berpuasa dalam setahun, satu bulan penuh melainkan Syaaban, baginda menyambungkannya dengan Ramadhan), yakni : Adalah baginda berpuasa kebanyakan harinya (dalam Syaaban). Al-Tirmizi menukilkan dari Ibn al-Mubarak yang berkata : Harus di dalam kalam ‘Arab, jika seseorang berpuasa pada kebanyakan hari dalam sebulan, dia dikatakan telah berpuasa keseluruhanya.”
al-Hafidz Ibn Hajar menyambung dengan berkatanya: “Dan (pendapat) yang pertama (di dalam tulisan ini pendapat yang kedua) itu adalah yang benar.” Yakni Nabi saw tidak pernah berpuasa penuh di dalam bulan Syaaban, melainkan kebanyakan harinya sahaja. Beliau berdalilkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (746), dari ‘A-isyah r.’anha katanya:
وَلا أَعْلَمُ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ الْقُرْآنَ كُلَّهُ فِي لَيْلَةٍ ، وَلا صَلَّى لَيْلَةً إِلَى الصُّبْحِ ، وَلا صَامَ شَهْرًا كَامِلا غَيْرَ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Dan tidak aku ketahui Nabi saw pernah membaca al-Quran keseluruhnya (mengkhatamkannya) dalam satu malam, dan baginda tidak pernah sembahyang sepanjang malam hingga ke Subuh, dan baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh melainkan Ramadhan.”
al-Sindi (السندي) ketika mensyarahkan hadith Ummu Salmah di atas berkata: (Maksud: Baginda menyambungkan Syaaban dengan Ramadhan) yakni baginda berpuasa dalam dua bulan itu keseluruhannya. Zahirnya menunjukkan Baginda berpuasa dalam bulan Syaaban keseluruhannya…. Akan tetapi terdapat dalil yang menyalahinya, maka kerana itu difahami atasnya bahawa Baginda hanya berpuasa kebanyakannya (hari-hari dalam bulan Syaaban), sehingga seolah-olah baginda berpuasa keseluruhannya dan baginda sambungkan dengan Ramadhan.”