Soalan:
Saya tergerak hati ingin bertanya berkaitan isu silat yang dikatakan satu seni mempertahan diri bagi bangsa Malayu.
Tidak hiraulah apakah jenis silat, namun adakah ia merupakan satu kewajipan kepada umat Islam mempelajarinya? Namun ada sahabat saya yang berkata di dalam aktiviti silat ini mempunyai unsur-unsur keislaman dengan membaca ayat yang tertentu dari Al Quran. Terdapatnya juga upacara mandi bagi pelajar yang ingin ditingkatkan tahapnya maka digunakan dengan pelbagai bacaan.
Sebagai muslim adakah wajar kita turuti seni ini atau bergantung kepada Allah swt dengan dasar iman. Ada juga hadis yang menyatakan supaya mengajar anak kita supaya pandai menunggang kuda dan bermain pedang maka adakah ini merangkumi aktiviti persilatan. Mohon ustaz perjelaskan hal ini.
Jawapan :
Belajar seni mempertahankan diri tidak salah di dalam Islam. Ia termasuk di dalam usaha memelihara diri dari bahaya. Melengkapkan diri dengan seni mempertahankan diri tidak bermakna kita tidak bergantung dengan ALLAH. Usaha itu disuruh di dalam agama, menafikan usaha seolah-olah menafikan kebijaksanaan ALLAH menciptakan sebab musabah dalam sesuatu hal. Maka belajar seni mempertahankan diri merupakan usaha kita berdepan dengan sebab musabab yang boleh membawa kepada mudharat.
Tidak semestinya seni silat sahaja yang boleh dipelajari untuk mempertahankan diri, begitu juga dengan seni-seni mempertahankan diri yang lain. Yang penting seni mempertahankan diri itu mestilah jauh dari unsur-unsur syirik, khurafat dan bid'ah.
Kalau seni silat sekalipun, tetapi ianya mengandungi perkara-perkara syirik, khurafat dan bid'ah seperti mandi bunga, mandi limau, mandi tawassul dengan kain putih dan seumpamanya, maka sudah tentu kita tidak boleh menyertainya. Carilah seni mempertahankan diri yang lain yang jauh dari unsur-unsur syirik, khurafat bid'ah dan seumpamanya.
Berkenaan ungkapan:
علموا أولادكم السباحة والرماية ومروهم فليثبواعلى ظهور الخيل وثبا
Maksudnya: "Ajarlah anak-anakmu berenang dan memanah; dan perintahlah mereka supaya melompat di atas punggung kuda."
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya al-Halal wal Haram fi Islam (الحلال و الحرام في الإسلام) menyebut perkataan ini adalah perkataan Sayyidina 'Omar RA. Ia bukanlah hadith Nabi SAW. Perkataan ini termasuk dalam galakan bersukan dan latihan jasmani.