SDI 1517: Kepercayaan Tentang Nur Muhammad

Soalan:

Jabir r.a. berkata:-

Aku bertanya pada Rasulullah tentang perkara yang pertama yang Allah cipta sebelum segala-galanya. Maka Nabi Muhammad menjawab:

“Huwa nuru Nabiyyika !!! Ya Jaabir, khalaqahu-Ullahu tsumma khalaqa minhu kulla khairin wa khalaqa ba'dahu kulla syai-in."

Maksudnya: "Ia (yakni perkara pertama yang diciptakannya oleh Allah) adalah nur Nabimu, wahai Jabir, Allah menciptakan nur kemudian diciptakan daripada nur itu akan setiap kebaikan dan diciptakan selepas nur itu setiap sesuatu." Abdurrazzaq

Jawapan:

Hadith Jabir tentang Nur Muhammad ini bertentangan dengan beberapa ayat al-Quran yang menyatakan Nabi SAW adalah seorang manusia yang sama seperti kita semua (diciptakan dari tanah). Cumanya Nabi SAW diberikan wahyu kepada baginda. Antara ayat-ayat tersebut terdapat dalam surah al-Kahfi: 110, al-Anbiya’: 7,8, dan al-Furqan: 20

ALLAH SWT tidak menyebut adanya makhluk lain yang diciptakan daripada cahaya melainkan Malaikat. Demikian juga Nabi SAW dalam hadith-hadith yang sahih dari baginda menyebut perkara yang sama.

Kepercayaan Nabi SAW diciptakan dari Nur atau cahaya, dan menolak penciptaan baginda SAW sama seperti manusia yang lain, seolah-olah hendak menyamakan Nabi SAW dengan Malaikat. Ini samalah halnya dengan orang-orang Musyrik yang tidak mempercayai Rasulullah SAW hanya kerana baginda diutuskan dari kalangan manusia yang kewujudannya sama seperti manusia lain. Firman ALLAH SWT:

وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَن يُؤْمِنُوا إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ إِلَّا أَن قَالُوا أَبَعَثَ اللَّهُ بَشَرًا رَّسُولًا

Maksudnya: “Dan apakah yang menghalang manusia untuk mereka beriman tatkala datang kepada mereka petunjuk (Rasulullah SAW), melainkan mereka berkata: “Apakah ALLAH mengutuskan manusia sebagai seorang Rasul?” (al-Isra’: 94)

Dalam surah yang sama ALLAH SWT menyuruh Nabi SAW menyatakan yang baginda bukanlah seorang malaikat yang diciptakan daripada cahaya sepertimana sangkaan sebahagian orang.

قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا

Maksudnya: “katakanlah (Muhammad) maha suci tuhan ku, tidaklah aku ini melainkan seorang manusia yang dilantik sebagai Rasul.” (al-Isra’: 93)

Kefahaman yang mempercayai Nabi SAW diciptakan dari nur atau cahaya, datang dari golongan yang berlebih-lebihan dalam memuliakan Baginda Nabi SAW. Tidak ada dalam al-Quran, demikian juga dalam hadith-hadith sahih yang membezakan Nabi SAW dari manusia lain yang diciptakan dari tanah.

Ramai para ulama yang menolak kepercayaan Nur Muhammad ini, antara mereka:

  1. Al-Suyuti mengatakan: “Tidak ada bagi (hadith itu) isnad yang boleh dijadikan sandaran.(al-Hawi lil Fatawi)

 

  1. Abdullah bin al-Sadiq al-Ghumari mengatakan Zahir hadith itu adalah palsu, dalam: ملحق قصيدة البردة لعبد الله الغماري.Beliau juga mengatakan hadith tentang Nur Muhammad ini palsu, mengandungi lafaz-lafaz yang lemah (untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w.) dan makna-makna yang mungkar. المغير على الأحاديث الموضوعة في الجامع الصغير(المقدمة:ص/7)

 

  1. Syeikh Muhammad Ahmad ‘Abdul Qadir al-Syanqiti mengatakan hadith ini palsu dalam risalahnya : تنبيه الحذاق على بطلان ما شاع بين الأنام من حديث النور المنسوب لمصنف عبد الرزاق

 

  1. al-Qaradhawi mengatakan perkataan ini tidak sahih secara riwayat, dan tidak dapat diterima akal.

 

  1. As-Syeikh 'Atiah Saqr (ketua Lujnah Fatwa al-Azhar yang dahulu) pula berkata:

    ".... Sesungguhnya ar-Rasul SAW tidak diciptakan daripada Nur, dan Baginda dari zuriat Adam dan Adam (diciptakan) daripada tanah...."

 

  1. As-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz dalam fatwanya pula menyebut:

 

"Apa yang diperkatakan oleh manusia bahawasanya Rasulullah SAW diciptakan daripada nur, maka semua ini tidak ada asal padanya. Mereka berkata bahawasanya baginda diciptakan daripada nur atau nur Baginda itu yang terawal diciptakan. Semua dakwaan ini adalah palsu tidak ada asal. Tidak terdapat juga asas tentangnya dari Nabi SAW. Bahkan ia adalah kepalsuan dan pembohongan atas ar-Rasul SAW.


Cetak  
Wallahu a'lam