SDI 1518: Daerah Kemaafan Dalam Islam

Monday, June 2, 2008

 

Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ تَعَالى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوْهَا ، وَحَدَّ حُدُوْدًا فَلَا تَعْتَدُوْهَا ، وَحَرَّمَ أشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوْهَا ، وَسَكَتَ عَنْ أشْيَاء - رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَان – فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Sesunggunya Allah SWT telah menfardhukan beberapa kefardhuan, maka janganlah kamu semua menguranginya. Allah juga telah menetapkan beberapa ketetapan, maka janganlah melampauinya. Dia juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan kamu mencerobohinya. Allah membiarkan beberapa perkara sebagai rahmat untuk kamu semua, bukan disebabkan terlupa, maka jangan kamu mencari-cari (untuk mengharam atau mewajibkan) nya.” (HR al-Daraqutni dan dinilai hasan oleh al-Nawawi dalam al-Arba’ien al-Nawawiah)


Pengajaran Hadith

Hadith di atas menggambarkan tabiat agama Islam. Ia merangkumi 4 perkara:

Kefardhuan-kefardhuan. Hadith di atas memberi petunjuk kepada setiap muslim supaya tidak meringan-ringankan dalam melaksanakan setiap kefardhuan. Yang dinamakan kefardhuan itu ialah perkara-perkara kewajipan yang diwajibkan oleh Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Ia merangkumi kewajipan setiap individu (Fardhu ‘Ain) dan kewajipan berkumpulan (Fardhu Kifayah). Maka apabila Allah dan Rasul mewajibkan sesuatu perkara, maka tidak ada ruang untuk mana-mana muslim membantah atau tidak mahu melaksanakannya. Ini kerana melaksanakan kewajipan Allah dan Rasul itu adalah buah daripada beriman kepada keduanya. Sepertimana firman Allah di dalam surah al-Anfal ayat 1: (Maksudnya) “Taatlah kamu semua kepada Allah dan RasulNya, jika kamu semua orang-orang yang beriman.”

Pengharaman-pengharaman. Hadith memberi petunjuk untuk meninggalkan semua maksiat keseluruhannya.

Ketetapan-ketetapan. Apabila ruang taklif itu merangkumi melaksanakan arahan/suruhan, meninggalkan larangan, berpegang dengan syariat dan beriltizam dengannya dan berada di atas ketetapan syariat tanpa melampauinya. Nabi SAW menegaskan lagi dengan menyatakan: “Allah juga telah menetapkan beberapa ketetapan, maka janganlah melampauinya”.

Hudud atau ketetapan-ketetapan merangkumi arahan-arahan Allah, tidak boleh keluar daripada perkara yang diizinkan. Ia juga merangkumi perkara-perkara yang terlarang dengan tidak mendekatinya juga. Ini kerana Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, diharamkan juga perkara yang boleh membawa kepadanya.

Perkara-perkara yang dibiarkan untuk kita. Terdapat perkara yang dibiarkan oleh Allah taala untuk kita. Biarnya Allah taala dalam beberapa perkara itu bukanlah disebabkan Allah terlupakannya. Namun ia berupa rahmat untuk kita semua. Nabi bersabada: “Jangan kamu semua mencari-cari (untuk mengharam atau mewajibkan)nya”, Sehingga disebabkan sikap mencari-cari itu mengetatkan agama dengan pertambahan bebanan dalam perkara yang diwajibkan atau perkara yang diharamkan. Inilah ruang kemaafan yang dibiarkan oleh syara’ untuk umat Islam bersesuaian dengan zaman, keadaan dan keperluan mereka.


Cetak  
Wallahu a'lam