SDI 1521: Hadith Makan Dengan Tiga Jari

Tuesday, May 13, 2008

Soalan:

mintak jasa baik ustaz untuk takhrij hadis di bwh:

makanlah dengan tiga jari (adakah adab ini juga terpakai dalam memakan nasi?)

Jawapan:

Hadith tentang Nabi SAW makan dengan tiga jari diriwayatkan antaranya oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, al-Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan al-Darimi:

أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏كان ‏ ‏يأكل بثلاث أصابع فإذا فرغ لعقها

Maksudnya: “(Ka’ab menceritakan) bahawasanya Rasulullah SAW makan dengan tiga jari, dan apabila selesai baginda menjilatnya.” (HR Muslim)

Dalam Tuhfah al-Ahwazi ketika mensyarahkan hadith Baginda SAW makan dengan tiga jari, dinyatakan:

‏وكان صلى الله عليه وسلم يأكل بأصابعه الثلاث بالإبهام والتي تليها والوسطى

Maksudnya: “Dahulnya Nabi SAW makan dengan tiga jari baginda iaitulah jari ibu, jari telunjuk dan jari tengah (hantu).”

Persoalan: Adakah adab ini dipakai ketika memakan nasi?

Jawapan bagi persoalan ini terdapat dalam ‘Aud al-Ma’bud iaitu Syarah bagi Sunan Abi Daud, iaitulah:

“Dahulunya Nabi SAW makan dengan tiga jari.” Pada teks hadith ini menunjukkan sunnahnya, makan dengan tiga jari, dan jangan memasukkan jari yang keempat dan kelima melainkan kerana keperluan seperti terdapat kuah/gulai/sup yang tidak memungkinkan dengan tiga jari. Berkata al-Hafidz: Diambil daripada hadith Ka’ab bin Malik, bahawasanya sunnah makan dengan tiga jari, jika guna lebih dari tiga jari ianya adalah harus. Sa’id ibn Mansur meriwayatkan dari Mursal Ibn Syihab: “Bahawasanya Nabi SAW apabila makan, baginda makan dengan lima jari, maka digabungkan hadith ini dengan hadith Ka’ab (menunjukkan, Baginda makan dengan tiga atau lima jari itu) dalam keadaan yang berbeza.”


Cetak  
Wallahu a'lam