Tentang Hadith Mimpi Sebahagian Daripada Kenabian

Thursday, April 24, 2008

Hadith dalam al-Bukhari dan Muslim, terdapat beberapa lafaz yang berbeza, antaranya:

إذا اقترب الزمان لم تكد رؤيا المؤمن أن تكذب، وأصدقهم رؤيا أصدقهم حديثا، والرؤيا ثلاث: فالرؤيا الصالحة بشرى من الله، والرؤيا تحزين من الشيطان، ورؤيا مما يحدث به المرء نفسه، فإذا رأى أحدكم ما يكره فليقم فليصل ولا يحدث بها الناس .

Maksudnya: “Apabila telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak berdusta, dan yang paling benar mimpinya di kalangan kamu ialah orang yang paling benar percakapannya. Mimpi itu ada tiga: Mimpi yang baik, khabar gembira daripada Allah, mimpi kesedihan daripada syaitan dan mimpi dari perkara yang dilaluinya sendiri. Maka apabila seseorang daripada kamu melihat apa yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bangun dan menunaikan solat, dan jangan dia ceritakan kepada orang lain." (HR Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud)

Dalam Sahih al-Bukhari pula dengan lafaz:

إذا اقترب الزمان لم تكد رؤيا المؤمن تكذب ، ورؤيا المؤمن جزء من ستة وأربعين جزءا من النبوة

Maksudnya: “Apabila telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak berdusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian…”


Hadith-hadith tentang bab ini, ia berbeza-beza dari sudut menyebut bilangan. Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith dalam bab ini menyebut beberapa riwayat yang berbagai. Sebahagian riwayat menyebut: “mimpi yang baik itu satu bahagian daripada 70 kenabian..” seperti dalam riwayat Muslim sendiri, di dalam muslim juga ada riwayat yang menyebut “sebahagian daripada 45 bahagian kenabian.” Riwayat yang masyhur menyebut 46 bahagian kenabian.

Selain dari riwayat Muslim, ada riwayat dari Ibn ‘Abbas dengan 40 bahagian, ada juga 49 bahagian, dari riwayat al-‘Abbas 50 bahagian, riwayat daripada Ibn ‘Umar 26 bahagian, riwayat ‘Ubadah menyebut 44 bahagian.

Sebahagian ulama berpendapat perbezaan ini merujuk kepada perbezaan keadaan orang yang mengalami mimpi tersebut. Sebagai contoh seorang yang benar-benar soleh, mimpinya lebih benar berbanding orang yang fasik. Antara yang menyatakan pendapat ini ialah al-Imam al-Tobari.

Namun apakah maksud mimpi itu satu bahagian daripada kenabian?

Al-Syeikh Muhammad al-Munajjid dalam laman islamweb.net menyatakan, kenabian itu ada bahagian yang berbagai. Ada bahagian tentang pensyariatan dan hukum hakam, ada bahagian tentang khabar-khabar dahulu dan akan datang yang termasuk perkara-perkara ghaib. Demikian juga ada bahagian tentang khabar gembira dan ancaman, dan mu’jizat.

Al-Syeikh Muhammad al-Munajjid juga menyatakan, mimpi yang benar itu, mungkin menunjukkan suatu yang akan berlaku akan datang, sama ada ia berbentuk khabar gembira atau sebagai peringatan. sama ada ia suatu yang baik atau tidak, atau tentang suatu keburukan yang akan berlaku, agar seorang mukmin dapat bersedia berhadapan dengan perkara keburukan yang akan berlaku itu. Mimpi juga mungkin berlaku sebagai perkhabaran-perkhabaran sesuatu yang akan berlaku akan datang, sepertimana kenabian, satu bahagian daripadanya adalah perkhabaran-perkhabaran, maka mimpi menjadi satu bahagian daripada kenabian dalam bab ini.

Pandangan beliau Ini dikuatkan dengan hadith Nabi SAW:

‏لَمْ يَبْقَ مِنْ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ قَالُوا وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ قَالَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Tidak akan kekal dari kenabian melainkan al-Mubassyiraat. Para sahabat bertanya: apakah mubassyiraat itu? Jawab baginda: Mimpi yang benar.” (HR al-Bukhari)

Al-Imam Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadith ini menyertakan sama sebuah hadith Abu Ya’la daripada Anas bin Malik:

إِنَّ الرِّسَالَة وَالنُّبُوَّة قَدْ اِنْقَطَعَتْ وَلَا نَبِيّ وَلَا رَسُول بَعْدِي وَلَكِنْ بَقِيَتْ الْمُبَشِّرَات قَالُوا : وَمَا الْمُبَشِّرَات ؟ قَالَ : رُؤْيَا الْمُسْلِمِينَ جُزْء مِنْ أَجْزَاء النُّبُوَّة

Maksudnya: “Sesungguhnya risalah dan kenabian itu telah terhenti, tidak ada nabi lagi dan tidak ada rasul lagi selepas-ku, akan tetapi akan kekal al-Mubassyiraat. Sahabat bertanya: Apakah al-Mubassyiraat itu?” Jawab baginda: Mimpi orang muslim satu bahagian daripada bahagian-bahagian kenabian.”

Ibn al-Tiin (اِبْن التِّين) berkata: “Maksud hadith ini ialah bahawasanya wahyu akan terhenti dengan kematian-ku (Nabi SAW), dan tidak akan kekal apa yang diketahui daripadanya apa yang akan berlaku, melainkan mimpi.”

Al-Syeikh Masyhur Hasan Salman pula berkata tentang hadith ini (http://www.almenhaj.net) ketika ditanya dengan soalan:

“Apakah maksud hadith: “Mimpi yang benar itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian?”

Jawapan beliau: “Hadith ini mempunyai dua maksud. Maksud yang aku lihat lebih benar dan yang masyhur, dan yang ditarjihkan oleh al-Hafidz Ibn Hajar dalam al-Fath ialah, tentang tempoh kenabian (Nabi SAW) iaitu selama 23 tahun. Tempoh penurunan wahyu kepada Nabi SAW melalui mimpi yang benar selama enam bulan. Maka hadith itu menceritakan nisbah mimpi yang benar dari bahagian-bahagian kenabian menyamai 1 dari 46 (bahagian). Inilah pendapat yang lebih benar, lebih zahir dan lebih selamat.”


Cetak  
Wallahu a'lam