Wednesday, April 23, 2008
Soalan:
Minta jasa baik ustaz untuk takhrij hadis di bawah:
Sabda Nabi: "Mahukah kamu aku tunjukkan satu amal yang paling baik paling suci di sisi Tuhanmu paling tinggi kedudukannya. lebih baik dari sedekahkan harta wang dan harta, lebih baik dari bergerak menggempur musuh, lebih baik dari membunuh atau terbunuh. Ketahuilah perbuatan itu ialah ZIKRULLAH" [Riwayat Tirmizi, Ibnu Majjah dan al-Hakim bersumberkan Abi Darda']
Jawapan:
Teks Hadith yang saudara maksudkan ialah:
ألا أدلكم على خير أعمالكم وأزكاها عند مليككم وأرفعها في درجاتكم وخير لكم من إنفاق الذهب والفضة وخير لكم من أن تلقوا عدوكم فتضربوا أعناقهم ويضربوا أعناقكم، قالوا: بلى يا رسول الله، قال: ذكر الله تعالى
Maksudnya: “Mahukah kamu semua aku tunjukkan amalan yang lebih baik dan lebih suci di sisi Tuhan-mu dan yang lebih tinggi kedudukannya? Lebih baik bagi kamu berbanding menginfakkan emas dan perak? Lebih baik dari kamu bertempur dengan musuh, kamu memancung mereka dan mereka memancung kamu?” para sahabat menjawab: “Bahkan wahai Rasulullah,” baginda bersabda: “Zikrullah taala.”
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (3377), Ibn Majah (3790), Ahmad (5/195), al-Tobrani dalam al-Dua' (1872), al-Hakim (1/496), al-Baihaqi dalam al-Da'awaat (20), dan al-Syu‘ab (516), Ibn 'Abd al-Barr dalam al-Tamhid: 6/58, Ibn Nu‘aim dalam al-Hilyah 2/11, al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah 1244, al-Asbahaniy dalam al-Targhib 1324 dan selain mereka dari jalan Abdullah bin Sa‘ied bin Abi Hind (عبد الله بن سعيد بن أبي هند), menceritakan kepada aku Ziyad bin Abi Ziyad (زياد بن أبي زياد) daripada Abi Bahriyyah (أبي بحرية) daripada Abi al-Darda'. Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak. Akan tetapi Imam Malik dalam al-Muwattho’ menganggapnya sebagai mauquf.
Namun al-Syeikh Abdullah al-Sa’d dalam muqaddimahnya kepada kitab al-Mustofa min Azkar al-Mustofa yang ditulis oleh al-Syeikh Khalid bin Abdillah al-Dabijiy berpendapat hadith seumpama ini bukan dari pandangan sahabat, kerana teks matannya berbunyi: “Mahukah kamu semua aku tunjukkan amalan yang lebih baik dan lebih suci di sisi tuhan-mu…” maka hukum hadith ini adalah hukum marfu’.
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Terdapat tiga kedudukan, pertama: Zikir (mengingati Allah) dan jihad, ia adalah kedudukan yang paling tinggi. Allah berfirman:
يا أيها الذين آمنوا إذا لقيتم فئة فأثبتوا واذكروا الله كثيراً لعلكم تفلحون
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.” (al-Anfal: 45)
Kedua: “Zikir (mengingati Allah) tanpa jihad, ini lebih rendah dari yang awal. Ketiga: Jihad tanpa zikir, ini yang paling rendah dari dua di atas. Dan orang yang berzikir lebih utama daripada jihad tanpa zikir ini, ini kerana disyariatkan jihad itu untuk zikirullah (mengingati Allah), maka maksud daripada jihad itu ialah mengingati Allah, diabdikan diri kepadaNya sahaja dan mentauhidkanNya, maka mentauhidkanNya, mengingatinya dan ibadah kepadanya adalah tujuan penciptaan.” (sila lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim 7/126)
Al-Son’ani berkata: “Hadith ini tidak bertentangan dengan hadith-hadith tentang kelebihan jihad, dan bahawasanya jihad itu lebih utama daripada zikir, ini kerana yang dimaksudkan dengan zikir yang lebih afdhal daripada jihad ini adalah zikir lisan, hati dan memikirkan/menghayati maknanya, dan merasai kebesaran Allah taala. Maka jika begini dia lebih afdhal daripada jihad, manakala jihad lebih afdhal daripada semata-mata zikir dengan lisan sahaja. Kata Ibn al-‘Arabi: “Sesungguhnya tidak ada satu amalan saleh melainkan zikir adalah syarat dalam penerimaannya, sesiapa yang tidak mengingati Allah (zikirullah) ketika bersedekah, puasa, solat atau haji, maka amalannya bukanlah amalan yang sempurna, kerana itu jadilah al-Zikr (mengingati Allah) amalan yang lebih afdhal pada pertimbangan ini.” (sila lihat Subul al-Salam 8/296).
wallahu a'lam.
(Sumber: http://islamtoday.net/pen/show_question_content.cfm?id=4175)