SDI 1529: Lemahnya Riwayat Yang Mengatakan Kubur Nabi Hud AS Di Hadramaut, Yaman

Soalan:

Ustaz, benarkah dakwaan golongan habib yang mengatakan ada riwayat daripada Sayyidina Ali bin Abi Tolib mengatakan kubur nabi Hud AS berada di Hadramaut, Yaman?

Jawapan:

Ada athar yang didakwa daripada ‘Ali bin Abi Talib RA tentang kubur Nabi Allah Hud di Hadramaut, Yaman. Namun athar tersebut tidak sahih, seperti yang dijelaskan oleh Ahmad bin Hasan al-Mu‘allim dalam kitabnya Ziyarah Hud AS Wa Ma Fi Ha Min Dhalalat Wa Munkarat.

Dikatakan ‘Ali bin Abi Talib pernah bertanya kepada seorang lelaki dari Hadramaut, Yaman:

هَلْ رَأيْتَ كَثِيبًا أحْمَرَ يُخالِطُهُ مَدَرَة حَمْراء، ذا أراكٍ وسدْر كَثِيرٍ بِناحِيَةِ كَذا وكَذا مِن أرْضِ حَضْرَمَوْتَ، هَلْ رَأيْتَهُ؟ قالَ: نَعَمْ يا أمِيرَ المُؤْمِنِينَ. واللَّهِ إنَّكَ لَتَنْعَتُهُ نعتَ رَجُلٍ قَدْ رَآهُ. قالَ: لا ولَكِنِّي حدِّثتُ عَنْهُ. فَقالَ الحَضْرَمِيُّ: وما شَأْنُهُ يا أمِيرَ المُؤْمِنِينَ؟ قالَ: فِيهِ قبرُ هُودٍ، عَلَيْهِ السَّلامُ

Maksudnya: “Aku pernah mendengar ‘Ali bin Abi Talib RA bertanya kepada seorang lelaki dari Hadramaut: “Apakah kamu pernah melihat himpunan pasir berwarna merah bercampur tanah simen berwarna merah, terdapat banyak pohon arak dan Sidr di penjuru sekian-sekian tempat (secara terperinci) di bumi Hadramaut? Apakah ada kamu melihat kawasan tersebut?” Jawab lelaki itu: “Wahai Amirul mukminin, demi Allah, sungguh kamu benar-benar telah mensifatkan kawasan tersebut seperti seorang yang pernah melihatnya. Kata ‘Ali RA: “Tidak (aku belum pernah melihatnya), tetapi Aku diceritakan tentangnya.” Kata lelaki Hadramaut tersebut: “Mengapa dengan tempat itu wahai Amirul Mukminin?” Jawab ‘Ali RA: “Padanya terdapat kubur Nabi Allah Hud AS.”

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir 1/1135, al-Hakim dalam al-Mustadrak 2/564 dan Ibn Jarir dalam tafsirnya 12/507. Dalam sanad riwayat ini terdapat periwayat yang bernama Salamah bin al-Fadhl (سلمة بن الفضل) dan Muhammad bin ‘Abdillah bin Abi Sa‘id al-Khuzai‘e (محمد بن عبد الله بن أبي سعيد الخزاعي).

Status Sanad

  1. Sanad ini adalah dha‘if atau lemah. Salamah bin al-Fadhl al-Abrasyh (سلمة بن الفضل الأبرش), dalam al-Taqrib dinyatakan beliau seorang yang saduq, banyak melakukan kesalahan (صدوق كثير الخطأ). Tidak dijadikan hujah dengan menyendirinya beliau dalam periwayatan.
  2. Demikian juga Muhammad bin ‘Abdillah bin Abi Sa‘id al-Khuzai‘e (محمد بن عبد الله بن أبي سعيد الخزاعي), seorang majhul. Tiada yang mengambil riwayat daripada beliau selain Muhammad bin Ishak, seperti yang dinyatakan oleh Ibn Abi Hatim dalam al-Jarh wa al-Ta’dil. Beliau menyatakannya seperti yang didengar daripada bapanya.
  3. Jika diandaikan riwayat ini sahih daripada ‘Ali sekalipun, ia tetap tidak boleh dijadikan hujah untuk meletakkan kepastian kedudukan kubur Nabi Hud AS di Hadramaut, Yaman. Ini kerana ‘Ali tidak menyebut siapa yang menyatakan kedudukan kubur Nabi Hud AS di Hadramaut tersebut. al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Ithaf al-Maharah bi al-Fawa-id al-Mubtakarah Min Atraf al-‘Asyirah (إتحاف المهرة بالفوائد المبتكرة من أطراف العشرة), selepas menyertakan hadis ini yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak menyebut ia mauquf. Oleh itu ada kemungkinan yang menceritakan tentang tempat tersebut kepada ‘Ali bin Abi Talib adalah seorang dari Hadramaut juga. Justeru ia bukan perkhabaran dari Nabi SAW.

Cetak  
Wallahu a'lam