Soalan:
Assalamualaikum ustaz, sy pernah terbaca tentang riwayat Nabi menegur Bilal tentang perihal beliau menyimpan kurma, adakah haram menyimpan makanan utk dimakan pada hari-hari seterusnya seperti diamalkan kebiasaan.
Jawapan:
Terdapat satu hadis daripada Abu Hurairah RA yang berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دخل على بلال وعنده صُبرٌ مِنْ تَمْرٍ، فَقَالَ: مَا هَذَا؟ فقَالَ: أدخره. فقَالَ: (أَمَا تخشى أن ترى لَهُ بُخَارًا فِي نار جَهَنَّمَ؟ أَنْفِقْ بِلَالُ وَلَا تخش مِنْ ذِي الْعَرْشِ إِقْلَالًا
Maksudnya: "Bahawa Rasulullah SAW pernah menemui Bilal yang di sisinya terdapat simpanan tamar. Baginda bertanya: "Untuk apa ini?" Jawab Bilal: "Daku simpannya." Sabda Nabi SAW: "Tidakkah kamu takut, akibatnya nanti kamu akan dibakar ke dalam neraka jahannam? Infak wahai Bilal, jangan kamu takutkan Allah yang memiliki 'Arasy menyempitkan rezekimu."
Dalam sanad hadis ini terdapat seorang rawi bernama Mubarak bin Fadhalah (مبارك بن فضالة) seorang mudallis. Kata Ibn Abi Hatim RH tentangnya:
سئل أبو زرعة عن مبارك بن فضالة، فقال: يدلس كثيرا، فإذا قال حدثنا فهو ثقة
Maksudnya: "Pernah ditanya kepada Abu Zur'ah tentang Mubarak bin Fadhalah ini, beliau menjawab: "Beliau banyak melakukan tadlis. Jika ketika meriwayatkan hadis dia berkata: "Haddathana (menceritakan kepada kami) maka dia dipercayai (mendengarnya sendiri dari rawi sebelumnya)." (alJarh wa alTa'dil 8/339)
Panjang perbincangan ulama sekitar hadis dan sanad ini. Demikian juga melalui sanad-sanad yang lain. Namun al-Iraqi menyatakan semua sanad hadis ini adalah lemah. Di bawah ini perkataan beliau:
حديث: نهى بلالا عن الادخار وقال: ( أنفق بلالا ولا تخش من ذي العرش إقلالا ). رواه البزار من حديث ابن مسعود وأبي هريرة وبلال: دخل عليه النبي صلى الله عليه وسلم وعنده صبر من تمر، فقال ذلك. وروى أبو يعلى والطبراني في "الأوسط" حديث أبي هريرة، وكلها ضعيفة
Sekalipun begitu, terdapat pula ulama lain yang berbeza penilaian tentang hadis ini dan berpandangan sanadnya hasan, bahkan alAlbani menilai hadis ini sebagai sahih melalui himpunan sanadnya dalam alSilsilah alSahihah 6/350.
Kefahaman Hadis & Kesimpulan
1. Jika diterima pandangan ulama yang menilai hadis ini sebagai hasan atau sahih, hadis ini tetap tidak boleh difahami secara zahirnya, kerana makna zahirnya bertentangan dengan nas-nas lain yang menunjukkan tiada larangan menyimpan harta. Sebaliknya hanya yang diwajibkan ialah pengeluaran zakat.
2. Oleh yang demikian, kaedah alJam'u perlu dilaksanakan untuk mendapat kefahaman sebenar untuk hadis ini.
Kefahaman yang boleh diambil dari hadis ini, ia tidak memaksudkan larangan semata-mata menyimpan harta. Sebaliknya larangan tersebut kerana melihat kesan buruk yang terhasil dari perbuatan menyimpan harta dan makanan yang membawa kepada meninggalkan kewajipan membantu orang susah yang terdesak dari kalangan umat Islam, ahli keluarga, jiran tetangga dan seumpamanya. Kerana itu terdapat ungkapan Nabi SAW dalam hadis ini:
أَمَا تخشى أن ترى لَهُ بُخَارًا فِي نار جَهَنَّمَ؟
Maksudnya: "Tidakkah kamu takut, akibatnya nanti kamu akan dibakar ke dalam neraka jahannam?"
Pemahaman ini dikuatkan lagi dengan realiti keadaan umat Islam ketika itu yang diselubungi kefakiran terutamanya sebelum berlaku pembukaan Khaibar. Ramai dalam kalangan mereka yang berhijrah ke Madinah ketika itu berada dalam kefakiran dan dari kalangan mereka yang sememangnya fakir.
Perbuatan menyimpan makanan pula menafikan hak orang miskin, ibn sabil, ahli keluarga dan jiran tetangga yang ketiadaan makanan.
Hadis ini jika difahami dengan makna ini, ia selari dengan hadis Salamah bin alAkwa' yang berkata:
مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَبَقِيَ فِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَيْءٌ، فَلَمَّا كَانَ العَامُ المُقْبِلُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ المَاضِي؟ قَالَ: كُلُوا، وَأَطْعِمُوا، وَادَّخِرُوا، فَإِنَّ ذَلِكَ العَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ، فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا
Maksudnya: "Nabi SAW bersabda: "Siapa yang menyembelih haiwan korban, makan jangan dia berada pada pagi hari keempat dalam keadaan daging korban tersebut masih berbaki sedikitpun." Pada tahun berikutnya para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah kami perlu lakukan seperti tahun lepas?" Baginda menjawab: "Makanlah, berilah makan dan simpanlah. Sesungguhnya pada tahun lepas orang ramai dalam keadaan susah dan memerlukan makanan, maka daku mahu kamu semua membantu pada tahun tersebut." (alBukhari & Muslim)