Kisah Palsu Kononnya al-Imam al-Tabarani Minta Tolong Kepada Nabi SAW Setelah Kewafatan Baginda

Al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam 8/535, Siyar A’lam al-Nubala’ 16/400 dan Tazkirah al-Huffaz 3/121 mengatakan:

وروي عن أبي بكر بن أبي علي قال: كان ابن المقرئ يقول: كنت أنا والطبراني وأبو الشيخ بالمدينة، فضاق بنا الوقت، فواصلنا ذلك اليوم، فلما كان وقت العشاء حضرت القبر، وقلت: يا رسول الله؛ الجوع! فقال لي الطبراني: اجلس، فإمّا أن يكون الرزق أو الموت

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abi Bakr bin Abi ‘Ali katanya: Dahulunya Ibn al-Muqri’ berkata: “Aku dan al-Tabarani dan Abu al-Syeikh ketika berada di Madinah, pernah kesempitan waktu, ketika kami sampai di Madinah pada hari tersebut pada waktu Isyak kami datang ke kubur baginda. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, kami dalam keadaan lapar. Kata al-Tabarani kepadaku: “duduklah, (kita hari ini) sama ada mendapat rezeki ataupun mati…”

Kisah ini disebut oleh al-Zahabi dengan sighah Tamridh (bermasalah) "رُوِيَ". Demikian juga Ibn al-Jauzi dalam al-Wafa' Bi Ahwal al-Mustafa 2/559 tanpa disertakan sanad. Kata Ibn al-Jauzi: "Daripada Abi Bakr al-Muqri' yang berkata: "Aku pernah bersama al-Tabarani dan Abu al-Syeikh di Haram (Madinah) Rasulullah SAW...” seterusnya beliau menyebut kisah yang dinyatakan.

Riwayat kisah tanpa sanad dan dengan Sighah Tamridh seumpama ini menunjukkan al-Imam Ibn al-Jauzi dan al-Imam al-Zahabi ingin memberi isyarat kisah tersebut tidak dapat dipastikan asal-usulnya. Maka ia tidak boleh dijadikan sandaran sama ada dalam bab hukum-hakam, apatah lagi dalam bab akidah.

Ditambah lagi, jika berdasarkan riwayat al-Zahabi antaranya dalam Siyar A'lam al-Nubala' dinyatakan Abu Bakr ibn al-Muqri' menyatakan yang menyebabkan mereka tidak makan adalah dengan katanya: فضَاقَ بِنَا الوَقْتُ "kami kesempitan waktu".  Jika ini sebabnya, maka ia bertentangan dengan perkataan yang kononnya dari al-Tabarani yang berkata: الرزق أو الموت "sama ada kita perolehi makanan atau mati". Bagaimana kenyataan ini boleh keluar, jika mereka tidak makan bukan kerana tiada makanan. Sebaliknya kerana kesempitan waktu?


Cetak  
Wallahu a'lam