Hadis Sahih Li Ghairih
Hadis Sahih Li Ghairih adalah apabila hadis Hasan Li Zatih diriwayatkan melalui sanad lain yang seumpamanya atau lebih kuat darinya.
Ia dinamakan Sahih Li Ghairih, kerana kasahihan tersebut bukan disebabkan sanadnya sendiri, sebaliknya dengan sebab digabungkan sanad lain kepadanya.
Contoh:
Hadis riwayat al-Imam al-Tirmizi dari Muhammad bin 'Amr, daripada Abi Salamah, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kalau bukan kerana bebanan terhadap umatku, sudah pasti aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali hendak solat."
Kata al-Imam Ibn Solah:
"Muhammad bin 'Amr bin' Alqamah dari kalangan mereka yang benar dan siyanah (hafaz). Akan tetapi beliau dari kalangan mereka yang kurang ketelitian, menyebabkan sebahagian para peneliti menilai beliau seorang yang lemah dari sudut ketelitian hafalan, namun sebahagian lain menilainya sebagai thiqah dari sudut kebenaran dan kemasyhurannya. Maka hadisnya dari sudut ini adalah Hasan. Apabila hadis ini digabungkan dengan riwayat lain, maka gugurlah perkara yang dibimbangkan dari terdapat kecacatan kecil pada ketelitian hafalan beliau, riwayat lain itu dapat menampung kecacatan kecil beliau. Maka sanad ini sahih dan dinisbahkan kepada sanad darjat sahih.” (Muqaddimah Ibn Salah, 89)