Soalan:
Saya pernah terbaca/terdengar/terlihat kenyataan: apabila seseorang selesai solat..tetap ditempat solatnya berzikir..maka malaikat akan mendoakan baginya dgn syarat..dia tidak bekata2 dgn org lain dan tidak terbatal wuduknya.
Soalan: apakah kenyataan tersebut sabit dgn mana2 hadis dan status hadis tersebut. Mohon pencerahan ustaz
Jawapan:
Kenyataan tersebut sabit dari hadis Nabi SAW, antaranya berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ الَّذِي صَلَّى فِيهِ مَا لَمْ يُحْدِثْ، تَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ
Maksudnya: “Para malaikat mendoakan seseorang daripada kamu yang kekal di tempat solatnya selagi orang tersebut tidak batal wudhunya. Para malaikat berdoa dengan berkata: “Ya Allah berilah keampunan kepada orang itu dan rahmatilah dia.”
Abu al-Hasanat al-Laknawi (W1304H) dalam al-Ta’liq al-Mumajjad, pada bab yang ke-97: بَابُ الرَّجُلِ يُصَلِّي ثُمَّ يَجْلِسُ فِي مَوْضِعِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ maksudnya: “Bab berkaitan seorang lelaki yang menunaikan solat, kemudian kekal duduk di tempat solatnya.” Dalam bab ini terdapat hadis daripada Abu Hurairah RA yang mengatakan Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ، ثُمَّ جَلَسَ فِي مُصَلاهُ لَمْ تَزَلِ الْمَلائِكَةُ تصلِّي عَلَيْهِ: اللَّهُمَّ صلِّ عَلَيْهِ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهمّ ارْحَمْهُ، فَإِنْ قَامَ مِنْ مُصَلاهُ، فَجَلَسَ فِي الْمَسْجِدِ يَنْتَظِرُ الصَّلاةَ لَمْ يَزَلْ فِي صَلاةٍ حتي يصلِّي
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu menunaikan solat, kemudian dia kekal duduk – dalam riwayat al-Bukhari terdapat tambahan: “menunggu solat” - di tempat solatnya. Sentiasalah para malaikat berdoa untuknya dengan berkata: “Ya Allah kurniakanlah selawat kepadanya, Ya Allah berilah keampunan kepadanya dan rahmatilah dia.” Jika orang itu bangun dari tempat solatnya, lalu duduk di dalam masjid menunggu solat, sentiasalah dia dikira berada di dalam solat sehingga dia menunaikan solat yang berikutnya.”
Di bahagian komentar hadis ini al-Syeikh Taqiyuddin al-Nadwi menyatakan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sentiasalah para malaikat (berdoa kepadanya)”, kata Ibn Battal: “Sesiapa yang banyak berdosa dan mahu dosanya itu dihapuskan darinya tanpa keletihan, maka berilah perhatian untuk mulazamah di tempat solatnya selepas menunaikan solat bagi mendapat banyak doa dan istighfar para malaikat yang merupakan tempat pengharapan kemustajaban berdasarkan firman Allah SWT: “Dan mereka (para malaikat) tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredai Allah.” (al-Anbiya’: 28).”
Kata al-‘Iraqi dalam Tarh al-Tathrib 2/366:
مَا الْمُرَادُ بِكَوْنِهِ فِي مُصَلَّاهُ هَلْ هُوَ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَرْضِ أَوْ بَعْدَ الْفَرَاغِ مِنْ الْفَرْضِ يَحْتَمِلُ كُلًّا مِنْ الْأَمْرَيْنِ وَقَدْ بَوَّبَ عَلَيْهِ الْبَيْهَقِيُّ التَّرْغِيبُ فِي مُكْثِ الْمُصَلِّي فِي مُصَلَّاهُ لِإِطَالَةِ ذِكْرِ اللَّهِ تَعَالَى وَهَذَا يَدُلُّ أَنَّ الْمُرَادَ الْجُلُوسُ بَعْدَ الْفَرَاغِ مِنْ صَلَاةِ الْفَرْضِ وَهُوَ ظَاهِرُ قَوْلِهِ أَيْضًا فِي مُصَلَّاهُ الَّذِي صَلَّى فِيهِ.
Maksudnya: “Apa yang dimaksudkan dengan keberadaan seseorang itu di tempat solatnya. Apakah sebelum atau selepas solat fardhu? Keduany-duanya boleh difahami. Al-Baihaqi telah menyebut satu bab sebagai “galakan seorang yang menunaikan solat kekal di tempat solatnya bagi memanjangkan zikrullah taala”. Ini menunjukkan yang dimaksudkan dengan duduk di sini ialah duduk selepas selesai solat fardhu. Maksud ini juga yang terzahir pada sabda baginda “di tempat solat yang dia tunaikan solat di situ.”
Maksud Kekal Di Tempat Solat
Maksud kekal di sini, kekal terus berzikir sekalipun berubah tempat. Ini pendapat Ibn Hajar al-‘Asqalani RH dalam Fath al-Bari 2/136, beliau berkata:
قَوْلُهُ فِي مُصَلَّاهُ أَيْ فِي الْمَكَانِ الَّذِي أَوْقَعَ فِيهِ الصَّلَاةَ مِنَ الْمَسْجِدِ وَكَأَنَّهُ خَرَجَ مَخْرَجَ الْغَالِبِ وَإِلَّا فَلَوْ قَامَ إِلَى بُقْعَةٍ أُخْرَى مِنَ الْمَسْجِدِ مُسْتَمِرًّا عَلَى نِيَّةِ انْتِظَارِ الصَّلَاةِ كَانَ كَذَلِكَ
Maksudnya: “Sabda baginda SAW: “(kekal) di tempat solatnya”, iaitulah di tempat ditunaikan solat dalam kawasan masjid. Baginda tuturkan sebegitu berdasarkan kebiasaan (baginda tidak maksudkan khusus kepada tempat orang tersebut tunaikan solat). Jika seseorang berada di tempat lain (selain tempat dia menunaikan solat) di dalam masjid, kekal dengan niatnya menunggu solat, maka demikian juga kelebihan yang diperolehinya.”
Pendapat ini juga yang ditarjihkan oleh al-Hafidz al-‘Iraqi dalam Tharh al-Tathrib 2/367 dengan katanya:
مَا الْمُرَادُ بِمُصَلَّاهُ؟ هَلْ الْمُرَادُ الْبُقْعَةُ الَّتِي صَلَّى فِيهَا مِنْ الْمَسْجِدِ حَتَّى لَوْ انْتَقَلَ إلَى بُقْعَةٍ أُخْرَى فِي الْمَسْجِدِ لَمْ يَكُنْ لَهُ هَذَا الثَّوَابُ الْمُتَرَتِّبُ عَلَيْهِ أَوْ الْمُرَادُ بِمُصَلَّاهُ جَمِيعُ الْمَسْجِدِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ؟ يَحْتَمِلُ كُلًّا مِنْ الْأَمْرَيْنِ وَالِاحْتِمَالُ الثَّانِي أَظْهَرُ وَأَرْجَحُ بِدَلِيلِ رِوَايَةِ الْبُخَارِيِّ الْمَذْكُورَةِ فِي الْأَصْلِ مَا دَامَ فِي الْمَسْجِدِ وَكَذَا فِي رِوَايَةِ التِّرْمِذِيِّ فَهَذَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِمُصَلَّاهُ جَمِيعُ الْمَسْجِدِ وَهُوَ وَاضِحٌ وَيُؤَيِّدُ الِاحْتِمَالَ الْأَوَّلَ قَوْلُهُ فِي رِوَايَةِ مُسْلِمٍ وَأَبِي دَاوُد وَابْنِ مَاجَهْ «مَا دَامَ فِي مَجْلِسِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ
Maksudnya: “Apa yang dimaksudkan dengan tempat solatnya? Apakah dimaksudkan kepada tempat yang seseorang itu dirikan solat di dalam masjid sehingga jika dia berpindah ke tempat lain dalam masjid yang sama, dia tidak akan memperolehi pahala yang dinyatakan? Atau yang dimaksudkan dengan “tempat solatnya” itu adalah seluruh Kawasan masjid yang dia tunaikan solat di dalamnya? Kedua-duanya boleh difahami. Pemahaman kedua (memaksudkan kepada seluruh kawasan masjid) adalah lebih zahir dan rajih berdasarkan bukti dari riwayat al-Bukhari yang asal dinyatakan “selagi orang itu berada dalam masjid”. Demikian juga berdasarkan riwayat al-Tirmizi. Ini menunjukkan yang dimaksudkan dengan “tempat solatnya” itu adalah seluruh tempat dalam masjid yang seseorang itu menunaikan solat di dalamnya. Maksud ini satu yang jelas. Manakala yang menguatkan pemahaman pertama (dimaksudkan kepada tempat orang tersebut menunaikan solat) adalah sabda baginda SAW dalam riwayat Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah: “Selagi orang itu pada tempat yang dia tunaikan solat di situ.”
Pendapat kedua, pahala yang dijanjikan hanya kepada mereka yang kekal di tempat solatnya tanpa berpindah ke tempat lain sekalipun dalam masjid. Ini bermaksud selepas solat dia kekal di tempatnya tanpa berpindah. Berdasarkan pendapat kedua, hadis ini difahami secara literal. Ini seperti pendapat al-Baji dalam al-Muntaqa.
Namun kebanyakan ulama bersetuju dengan pendapat yang pertama. Ini kerana hadis bertujuan memberi galakan agar berterusan berzikir. Apatah lagi mungkin ada orang yang ingin terus berzikir, tetapi kakinya sakit, atau perlu mengubah tempat kerana sesuatu hal. Jika ganjaran tersebut dibatalkan kerana itu, maka ia suatu yang membebankan.