Huraian Ringkas Berkaitan Athar Tawus Mayat Dikenakan Fitnah Dalam Kubur Selama Tujuh Hari

Athar yang diriwayatkan berkaitan fitnah kubur yang merujuk kepada soalan dan azab di dalamnya berlaku selama tujuh hari;

Daripada Tawus al-Yamani (طاوس اليماني). Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama bila tahun wafatnya, sebahagian mengatakan pada 106H dan sebahagian mengatakan pada tahun 101H. Kata Tawus RH:

إِنَّ الْمَوْتَى يُفْتَنُونَ فِي قُبُورِهِمْ سَبْعًا، فَكَانُوا يَسْتَحِبُّونَ أَنْ يُطْعَمَ عَنْهُمْ تِلْكَ الْأَيَّامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya mayat akan dikenakan fitnah di dalam kubur mereka selama tujuh hari. Maka para sahabat menganggap sunat diberikan makan (bersedekah makanan dan pahalanya diberikan kepada jenazah) pada hari-hari tersebut.”

Athar ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal dalam kitabnya al-Zuhd berdasarkan pernyataan al-Hafidz Ibn Hajar dalam al-Matalib al-‘Aliah 5/330, al-Suyuthi dalam al-Hawi li al-Fatawi 2/169 dengan sanad dari kitab al-Zuhd, kata Imam Ahmad, menceritakan kepada kami Hashim bin al-Qasim, (katanya:) menceritakan kepada kami al-Asyja‘ie (katanya:)  daripada Sufyan (al-Thauri), katanya: Telah berkata Tawus... (dinyatakan riwayat).

Semua rawi hadis ini dari al-Asyja‘ie, Sufyan dan Tawus adalah thiqah. Namun wujud perbezaan dalam kalangan ulama apakah Sufyan al-Thauri mendengar sendiri riwayat ini daripada Tawus? Atau sebenarnya ada periwayat yang tidak disebut namanya antara Sufyan al-Thauri dengan Tawus?

al-Suyuthi dalam al-Hawi li al-Fatawi 2/169 menyatakan: “al-Thauri pernah berjumpa dengan Tawus, kerana Tawus meninggal dunia pada tahun 110H lebih (110 – 119H) berdasarkan salah satu pandangan ulama.  Manakala Sufyan dilahirkan pada tahun 97H. Cumanya kebanyakan riwayat Sufyan (al-Thauri) dari Tawus adalah melalui perantara.”

Manakal al-Syeikh Dr. Sa‘ad Soleh ‘Abdul ‘Aziz al-Syathri, pentahkik kitab al-Matalib al-‘Aliah menyatakan semua rawi dalam senarai sanad riwayat ini adalah thiqah. Cumanya berlaku inqita’ (sanad terputus) antara Sufyan (iaitulah al-Thauri) dengan Tawus. Maka menjadikan riwayat ini lemah atau dhaief.

Penilaian al-Syeikh Dr. Sa‘ad bin Nasir bin ‘Abd al-Aziz al-Syathri ini selari dengan perkataan Ibn Hibban yang  mengatakan al-Thauri termasuk dalam kalangan rawi thiqah yang melakukan tadlis. Perkara ini juga dinyatakan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Nasa’i. Riwayat daripada beliau secara tiada pernyataan jelas mendengar sendiri adalah lemah. Ibn Hibban dalam Sahihnya 1/115 yang berkata:

وأما المدلسون الذين هم ثقات وعدول فإنا لا نحتج بأخبارهم إلا ما بينوا السماع فيما رووا. مثل الثوري والأعمش وأبي إسحاق وأضرابهم من الأئمة المتقنين وأهل الورع في الدين لأنا متى قبلنا خبر مدلس لم يبين السماع فيه، وإن كان ثقة لزمنا قبول المقاطيع والمراسيل كلها لأنه لا ندري لعل هذا المدلس دلس هذا الخبر عن ضعيف يهي الخبر بذكره إذا عرف. اللهم إلا أن يكون المدلس يعلم أنه ما دلس قط إلا عن ثقة فإذا كان كذلك قبلت روايته وإن لم يبين السماع. وهذا ليس في الدنيا إلا سفيان بن عيينة وحده فإنه كان يدلس ولا يدلس إلا عن ثقة متقن.

Maksudnya: “Dan adapun para mudallis yang terdiri dari kalangan para thiqat dan ‘udul, maka kita tidak menjadikan hujah dengan khabar-khabar dari mereka melainkan jika mereka menyatakan dengan jelas mendengar sendiri apa yang mereka riwayatkan. (mereka itu) seperti al-Thauri, al-A’masyh, Abi Ishak dan seumpama mereka dari kalangan para imam yang mutqin dan wara’ pada agama. Ini kerana apabila kita menerima khabar seorang mudallis yang tidak menyatakan dengan jelas dia mendengar sendiri khabar tersebut, sekalipun dia seorang yang thiqah, menjadikan kita mesti terima khabar-khabar yang munqati’ dan marasil seluruhnya, kerana kita tidak ketahui mungkin rawi mudallis yang melakukan tadlis dalam periwayatan sesuatu khabar ini dari seorang dhaief yang akan melemahkan khabar tersebut jika dia menyebut namanya jika diketahui. Kecuali mudallis yang diketahui sememangnya tidak akan melakukan tadlis melainkan dari seorang yang thiqah juga. Jika demikian keadaannya, maka riwayatnya diterima sekalipun dia tidak menyatakan dengan jelas mendenganya sendiri. Tiada di atas dunia ini seorang mudallis yang sedemikian keadaannya kecuali Sufyan bin ‘Uyainah sahaja. Beliau seorang mudallis, namun beliau tidak akan melakukan tadlis melainkan dari riwayat seorang thiqah lagi mutqin...”

Dalam riwayat Tawus ini, Sufyan tidak menyatakan dengan jelas beliau mendengar sendiri dari Tawus. Kerana itu riwayat ini dinilai lemah  oleh Dr. Sa‘ad bin Nasir bin ‘Abd al-Aziz al-Syathri.


Cetak  
Wallahu a'lam