Al-Qaradhawi: Pastikan Kesahihan Hadith Tentang Rejab

Oleh: Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Soalan:

Banyak kami dengari dari khatib Jumaat – terutama pada awal bulan Rejab – hadith-hadith yang mereka riwayatkan tentang pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah bagi orang yang hanya berpuasa sehari di dalam bulan Rejab. Antara hadith ini ialah: “Rejab bulan Allah, manakala Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.” Apakah pandangan tuan dengan hadith-hadith sebegini? Apakah hadith-hadith ini sahih? Apakah pula hokum sesiapa yang meriwayatkan hadith palsu yang dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. kepada orang ramai?

Jawapan:

Tidak ada satu hadith yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab sesuatupun, melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan yang haram (yang dimuliakan) yang disebut oleh Allah S.W.T. di dalam kitabnya: “Antaranya ada 4 bulan yang haram (dimuliakan).” (al-Taubah:36) iaitulah bulan Rejab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan al-Muharram, dan inilah bulan-bulan yang dimuliakan.

Tidak terdapat satu hadith yang sahih yang mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadith Hasan yang menyebut Nabi S.A.W. banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban, apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, dinyatakan: “Kerana Sya’ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada diantara Rejab dan Ramadhan.” Dari hadith ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan.

Adapun tentang hadith: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-ku dan Ramadhan bulan Umatku.” Ianya adalah satu hadith yang dusta dan sangat lemah, bahkan kebanyakan ulama mengatakan hadith ini palsu… iaitu ianya suatu yang didustai (atas nabma Nabi S.A.W.), hadith ini tidak ada nilai dari sudut ilmu dan agama.

Demikianlah juga hadith-hadith lain yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab kononnya sesiapa sembahyang sedemikian, maka baginya sedemikian pahala, sesiapa yang beristighfar sedemikian, baginya sedemikian pahala… semua ini berlebih-lebihan, dan semuanya adalah dusta.

Antara tanda kedustaan hadith-hadith seumpama ini, apabila ianya mengandungi unsur berlebih-lebihan dan gembar-gembur… para ulama berkata:

إنَّ الوَعْدَ بِالثَّوَابِ العَظِيْمِ عَلى أمْرٍ تَافَه، أوْ الوَعِيْدَ بِالعَذَابِ الشَّدِيْدِ عَلى ذَنْبٍ صَغِيْرٍ، يَدُلُّ عَلى أنَّ الحَدِيْثَ مَكْذُوْبٌ

 Maksudnya: “Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar atas perkara yang kecil, ataupun ancaman dengan azab yang keras atas dosa yang kecil, menunjukkan hadith tersebut adalah palsu.”

Sebagai contoh lain apa yang didakwa dari perkataan Nabi S.A.W.: (maksudnya) “Satu suapan kepada orang yang lapar lebih baik dari membina 1000 buah masjid.”

Hadith ini mengandungi kepalsuan dalam teksnya sendiri, kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dapat diterima oleh akal, satu suapan utk orang yang lapar, pahalanya lebih besar dari pahala yang diperolehi dari membina 1000 buah masjid.

Maka hadith yang ada dalam bab kelebihan bulan Rejab adalah termasuk di dalam jenis seperti ini. Ke atas ulama wajib memberi perhatian dari hadith-hadith seumapama ini yang palsu dan dusta dan memberi peringatan kepada orang ramai dari hadith-hadith seumapama ini. Nabi S.A.W. telah bersabda:

(Maskudnya): “Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia lihat hadith tersebut adalah palsu, maka dia termasuk salah seorang dari kalangan pendusta.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di Muwaddiman Sahihnya).

Akan tetapi kadang-kadang seseorang tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya itu adalah hadith yang palsu. Oleh kerana itu ia dia mesti mengetahui, dan mengenal pasti dari sumber-sumbernya… terdapat banyak kitab-kitab hadith yang dibuat rujukan, ada kitab-kitab yang khas yang memberitahukan tentang hadith-hadith lemah dan palsu seperti al-Maqasid al-Hasanah” oleh al-Sakhawi, kitab Tamyiz al-Toyyib min al-Khabith lima haduru ala alsinah al-Nas minal hadith oleh Ibn al-Diba’, kitab Kasful khafa’ wa al-Ilbas fima isytahara min al-Ahadith ‘ala alsinati al-Nas oleh al-‘Ajluni… dan banyak lagi kitab-kitab lain yang sepatutnya diketahui oleh para khatib dan memahaminya, agar mereka tidak mengambil satu hadith melainkan hadith itu dipercayai kesahihannya. Sesungguhnya termasuk dalam kemerbahayaan yang berlaku di dalam masyarakat kita ialah hadith-hadith yang palsu dan yang direka yang bercampuraduk di dalam khutbah, buku-buku dan percakapan manusia, hakikatnya ianya adalah hadith yang palsu dan yang direka.

Oleh kerana itu kita perlu membersih dan menyucikan masyarakat kita daripada hadith-hadith seperti ini. Sesungguhnya Allah mentaufikkan para ulama yang menjelaskan kepada orang ramai perkara-perkara yang asas dari yang direka, yang tertolak dari yang diterima. Dan kita hendaklah mengambil manfaat dari usaha mereka dan mengikut ilmu yang telah mereka terangkan


Cetak  
Wallahu a'lam