SDI 0417: Air Lebihan Mandian Jenazah Nabi

Soalan:

Saya baru shj mendengar potongan kuliah Don Danial. Dlm kuliah tersebut katanya air mandi jenazah nabi disejat matahari menjadi awan. Lps tu bercampur dgn air hujan. Tempat yg dibina masjid adlh tempat turun air jenazah nabi tadi stlh bercampur dgn air hujan. Itulah yg terjadi berdasarkan mimpi seorg ulama hebat bernama mutawali dlm muktamar islami.

Jawapan:

TIDAK ADA athar yang sabit menceritakan tentang lebihan air yang dibuat mandi jenazah Nabi SAW. Jika ada sesuatu yang berlaku sudah tentu hal itu diriwayatkan kepada kita oleh para sahabat baginda.

Seorang yang berakal dan jelas panduan beragamanya akan mengambil pengajaran dari kewafatan baginda SAW dan hukum-hakam yang ada untuk diamal dan dicontohi. Bukan menyebarkan cerita-ceruta yang tidak diketahui asal usulnya. Jika ditanya kepada ustaz tersebut dari mana dia ambil cerita tersebut, sudah tentu dia tidak akan dapat mendatangkan sumber sama sekali melainkan cerita orang itu dan orang ini semata-mata.

Jika demikian cara beliau mengambil maklumat agama, apakah agama yang diamalkannya? Agama mimpi dan bualan orang ramai???

Jika maklumat berkaitan agama diambil dari mimpi dan bualan orang. Maka tidak perlu adanya al-Quran. Tidak perlu juga para ulama bersusah payah memasti dan mengasingkan hadis-hadis yang sahih dari yang tidak sahih. Sia-sialah kerja mereka. Kerana kita mabuk dengan cerita-cerita mimpi dan bualan orang.

Mendakwa tempat didirikan masjid adalah tempat turunnya air lebihan mandian jenazah Nabi SAW adalah termasuk perkara ghaib yang memerlukan sandaran kukuh. Tidak boleh dibina keyakinan ini hanya berdasarkan mimpi.

Kisah kewafatan Nabi SAW diceritakan oleh para sahabat Nabi. Tetapi tiada dalam riwayat tersebut yang menceritakan air tersebut disejat atau meruap menjadi awan.

Ada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ja'far bin Muhammad yang berkata tentang air lebihan mandian jenazah Nabi yang diminum oleh Ali bin Abi Tolib:

كَانَ الْمَاءُ مَاءُ غُسْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ غَسَّلُوهُ بَعْدَ وَفَاتِهِ يَسْتَنْقِعُ فِي جُفُونِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ عَلِيٌّ يَحْسُوهُ

Maksudnya: "Air tersebut ialah air mandian baginda SAW ketika mereka memandikan baginda setelah wafat. Air itu berkumpul di kelopak mata nabi SAW, dan Ali meminumnya."

Syeikh Syu‘aib al-Arna’auth setelah meneliti riwayat ini menilai sanadnya sebagai Dhoief atau Lemah.

Imam alNawawi berkata:

وأما روي أن عليا لما غسله اقتلص ماء محاجر عينيه فشربه وأنه ورث بذلك علم الأولين والآخرين ، فليس بصح

Maksudnya: "Dan adapun yang diriwayatkan bahawa ‘Ali ketika memandikan baginda SAW, beliau meminum air di dua kelopak mata baginda, dan beliau mewarisi ilmu awal dan akhir, bukanlah riwayat yang sahih." (Lihat Jam' al-Wasail Syarh al-Syamail oleh 'Ali alQari 274. Cetakan Dar alAqsa)

Seperti yang saya telah nyatakan, dakwaan ustaz selibriti tersebut tidak ada dinyatakan dari riwayat-riwayat yang sahih sama sekali. Bersihkan agama dari mimpi dan bualan orang ramai.


Cetak  
Wallahu a'lam