al-Imam al-Bukhari memulakan kitab Sahihnya dengan Basmalah dengan tidak disertakan Hamdalah serta Syahadah. Beliau mencontohi al-Quran al-Karim pada pendahuluan kitab, dan berdasarkan kesepakatan semua para sahabat yang memulakan setiap surah al-Quran dengan basmalah, kecuali surah al-Bara’ah atau al-Taubah. Demikian juga penulisan surat baginda SAW kepada para raja, seperti dalam kisah Heraclus, dan dalam penulisan perjanjian Hudaibiyah, menunjukkan baginda hanya berpada untuk pendahahuluan dalam penulisan surat dengan basmalah.
Namun ramai dalam kalangan ahli ilmu atau ulama memulakan penulisan mereka dengan hamdalah dan syahadah selepas basmalah seperti yang dilakukan oleh Imam Muslim dan selainnya. Sebahagian ulama yang lain pula berpada dengan basmalah sahaja seperti yang dilakukan oleh al-Imam al-Bukhari. Terdapat hadis yang menyebut:
كل أَمر ذِي بَال لَا يبْدَأ فِيهِ بِالْحَمْد لله فَهُوَ أقطع
Maksudnya: “Setiap perkara penting yang tidak dimulakan dengan alhamdulillah, maka perkata itu tiada sempurna (tiada keberkatan),” hadis ini dengan semua lafaz dan jalan periwayatannya tidak sahih menurut syarat al-Imam al-Bukhari. Oleh itu, beliau tidak mengamalkan hadis ini dalam penulisannya. Malah, majoriti ahli ilmu melemahkan hadis ini dengan semua jalan periwayatan dan lafaznya, sekalipun Ibn al-Salah dan al-Nawawi menganggap hadis ini hasan, seperti yang dinyatakan oleh al-Sindi dalam Hasyiahnya kepada Sunan Ibn Majah. Namun, ia tetap tidak menepati syarat Imam al-Bukhari.
Hamdalah dan syahadah hanya diperlukan pada permulaan khutbah, bukan dalam surat-menyurat, seperti yang jelas melalui riwayat daripada Nabi SAW. Dalam khutbah, baginda memulakannya dengan pujian atau hamdalah dan syahadah. Berbeza dengan surat-suratnya, di mana baginda berpada dengan basmalah di permulaannya.
Mungkin Imam al-Bukhari memaksudkan penulisan kitab beliau ini seperti surat-surat yang dihantar kepada ahli ilmu untuk mereka ambil manfaat dalam pembelajaran dan pengajaran. Ternyatakan kitab beliau ini memberikan manfaat yang besar kepada para ulama. Bahkan tiada kitab yang lebih bermanfaat selepas Kitab Allah, al-Quran melebihi kitab beliau ini. Tidak ada di muka bumi ini kitab yang lebih sahih berbanding kitab Sahih al-Bukhari selepas Kitab Allah, al-Quran.
Ada riwayat daripada alImam asy-Syafi‘e RH yang berkata:
مَا عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ كِتَابٌ فِي الْعِلْمِ بَعْدَ كِتَابِ اللَّهِ أَصَحُّ مِنْ كِتَابِ مَالِكٍ
"Tidak ada di muka bumi ini kitab ilmu selepas al-Quran kitab yang lebih sahih daripada kitab Malik." Kata al-Sakhawi perkataan beliau ini diucapkan sebelum wujudnya kitab Sahih al-Bukhari. Maka benarlah sebelum Sahih al-Bukhari, kitab al-Muwattha tulisan Imam Malik adalah kita yang paling sahih seperti yang diperakui oleh ulama. Namun setelah tertulisnya Sahih al-Bukhari, kitab al-Muwattha Imam Malik bukan lagi kitab yang paling sahih. Ini kerana Imam Malik tidak mensyaratkan hadis-hadis yang sahih sahaja dimuatkan dalam kitabnya al-Muwattha. Sebaliknya beliau masukkan juga riwayat mursal, munqati’ dan lainnya bagi tujuan dijadikan hujjah.
Al-Imam Abu Ali al-Naisaburi RH pula ada menyebut:
ما تحت أديم السماء كتاب أصح من كتاب مسلم
"Tidak ada di bawah langit ini kitab yang lebih sahih daripada kitab Muslim."
Perkataan beliau ini masyhur, namun ia bukan bermaksud Sahih Muslim lebih sahih berbanding Sahih al-Bukhari. Bahkan maksud perkataan beliau ini adalah dari sudut kedudukan Sahih Muslim itu setaraf dengan Sahih al-Bukhari, seperti yang dinyatakan oleh al-Syeikh Dr. ‘Abd al-Karim al-Khudair HFZ. Perkara ini telah diperakui oleh ramai dari kalangan ulama. Namun di sisi majoriti ulama, Sahih al-Bukhari lebih sahih, lebih hebat, dan lebih banyak faedah; disebabkan keistimewaannya dari sudut bersihnya sanad, matan hadis yang lebih terpelihara, dan ketelitian dalam istinbath hukum. Kata al-Imam al-Sakhawi dalam Fath al-Mugith 1/41:
أَوَّلُ مَنْ صَنَّفَ فِي الصَّحِيحِ ... مُحَمَّدٌ وَخُصَّ بِالتَّرْجِيحِ
وَمُسْلِمٌ بَعْدُ، وَبَعْضُ الْغَرْبِ مَعْ ... أَبِي عَلِيٍّ فَضَّلُوا ذَا لَوْ نَفَعْ
Maksudnya: “Orang pertama yang menulis hadis-hadis sahih … (adalah) Muhammad (bin Ismail al-Bukhari), dan dikhaskan apa-apa yang didatangkan secara bersanad dalam kitab sahihnya berdasarkan tarjihan (berbanding kitab-kitab sahih yang lain). (Kitab Sahih) Muslim selepas Sahih Bukhari. Manakala sebahagian ulama Maghrib (sebelah Afrika) bersama Abu ‘Ali (al-Husain bin ‘Ali al-Naisaburi), melebihkan Sahih Muslim (itupun) jika benar dapat dimanfaatkan (pandangan ini. Namun ia menyalahi majoriti dan dinukilkan bukan dalam bentuk yang jelas maksud mereka melebihkan Sahih Muslim berbanding Sahih Bukhari)”